Friday - 14, March 2025

Bukan dana hangus… RM1.1 bilion kepada Sapura adalah pinjaman

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) bukanlah ‘dana hangus’ tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman yang perlu dibayar semula.

“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu, mudah-mudahan, akan mengurus dengan lebih baik, mendapat keuntungan dan membayar semula dana suntikan RM1.1 bilion.

“Ia bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan pagi Khamis.

Sambil menegaskan bahawa pembiayaan itu hanya akan digunakan secara eksklusif untuk membayar balik vendor, Perdana Menteri berkata, jika tidak berbuat demikian dia akan tetap dikecam atas alasan yang lain pula.

“Daripada kira-kira 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah bumiputera yang telah menyumbang (kepada Sapura Energy). Bagaimana mereka (vendor) boleh dihukum?

“Kalau saya tak membantu, mereka (pengkritik) akan kata Anwar pengkhianat (yang), tidak lagi memperjuangkan nasib bumiputera, dia hanya jurucakap kepada DAP.

“Apabila kami bantu, mereka kata kami (kerajaan) hanya membantu syarikat itu.

“Saya bukannya menyelamatkan tauke-tauke kaya, (kerana) setiap sen dana akan disalurkan kepada vendor yang sudah bekerja, tetapi belum dibayar,” katanya.

Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui proses ketat termasuk pelaksanaan audit forensik oleh firma perakaunan antarabangsa, Ernst & Young (EY) bagi mengenal pasti masalah sebenar dalam syarikat tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan MADANI tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan.

Katanya, dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terbabit dalam pengurusan SEB.

“Pengurusan baharu profesional sudah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan media Kementerian Kewangan selepas perhimpunan tersebut menjelaskan ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat sebelum memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dapatan daripada ‘due diligence’ itu akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti.

“Proses audit sememangnya sudah dilaksanakan dan ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.

“Selanjutnya, dapatan ‘due diligence’ ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak,” katanya.-13/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru