Bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib disebut-sebut sebagai antara yang dicalonkan sebagai TYT atau Yang Dipertua Negeri baharu Pulau Pinang.
Ramli, 84, dilahirkan di Pasir Salak, dilantik sebagai Menteri Besar dari 1982-1999, menjadikan beliau sebagai Menteri Besar yang paling lama berkhidmat.
Beliau pernah menjadi Speaker Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah itu juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sudah mengemukakan senarai nama calon TYT kepada Pejabat Perdana Menteri bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurutnya senarai nama calon itu dikemukakan selepas mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri.
“Kita tahu bahawa Yang Dipertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk satu penggal empat tahun dan penggal ini akan tamat pada 30 April 2025. Kalau dilanjutkan, ia juga perlu melalui proses lantikan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau tidak dilanjutkan maka perlu satu pelantikan baharu tertakluk kepada Perlembagaan Negeri.
“Saya minta kita semua sabar kerana ini adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan pada masa sesuai apa-apa pengumuman akan dibuat berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, hari ini.
Difahamkan, pengumuman TYT baharu Pulau Pinang akan dilakukan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.
Untuk rekod, beberapa ahli politik kini memegang jawatan TYT termasukan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Ali Rustam, kini memegang jawatan Yang Di-Pertua Negeri Melaka, menggantikan bekas Menteri Besar Pahang dan Menteri Penerangan, Tun Mohd Khalil Yaakob.
Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Wan Jaafar juga pernah memegang beberapa jawatan menteri sebelum dilantik sebagai Speaker Dewan Negara.-19/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK