Wednesday - 16, April 2025

Tun Abdullah selamat disemadikan ikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan

Share

SUASANA pilu menyelubungi Istiadat Pengebumian Negara bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini di Makam Pahlawan di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada kira-kira 2.30 petang.

Cuaca redup berlatarkan kibaran Jalur Gemilang separuh tiang di sekitar bangunan berhampiran Masjid Negara hari ini mengiringi perjalanan terakhir Tun Abdullah, yang disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 7.10 malam semalam pada usia 85 tahun.

Jenazah Tun Abdullah dibawa pulang ke kediaman beliau di Bait Badawi di Persiaran Tuanku Jaafar malam tadi sebelum dibawa ke Masjid Negara pada 8.15 pagi bagi urusan pengebumian.

Seawal jam 10 pagi, ribuan rakyat tanpa mengira kaum serta usia termasuk pemimpin tertinggi dari dalam dan luar negara hadir memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah, negarawan ulung yang juga terkenal dengan gelaran Mr Nice Guy.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin antara yang berkenan berangkat hadir bagi memberi penghormatan kepada Tun Abdullah.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, empat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Najib Razak; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta bekas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut hadir di Masjid Negara untuk memberi penghormatan terakhir.

Isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya Nori bersama suami bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin antara ahli keluarga yang berada di samping jenazah Tun Abdullah sepanjang upacara penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama Masjid Negara itu.

Anwar bersama-sama ribuan umat Islam kemudian memenuhi segenap ruang dewan solat utama itu untuk menyertai solat jenazah yang dilaksanakan selepas solat zuhur dengan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Usai solat jenazah, keranda membawa jenazah Tun Abdullah yang dilitupi dengan Jalur Gemilang diusung keluar ke Makam Pahlawan oleh kumpulan pengusung terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, antara simbolik kepada penghormatan Istiadat Pengebumian Negara yang diberikan kepada Allahyarham.

Ehsan turut menyempurnakan bacaan talkin pada istiadat itu usai jenazah Tun Abdullah disemadikan.

Tun Abdullah merupakan pemimpin kelima dikebumikan di Makam Pahlawan selepas Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn selain dua bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba.

— BERNAMA -15/4/2025

Pengkebumian Negara untuk Tun Abdullah, bersemadi di Makam Pahlawan – PMO

Jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan jenazah akan dibawa ke Masjid Negara pada 8 pagi dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.

“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu di sini, malam ini.

Menurut JPM pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak serta bersongkok hitam dan ‘lounge suit’ gelap bagi bukan Islam.

Pakaian bagi pelawat wanita Islam pula adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih.

“Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” menurut JPM.

JPM juga memaklumkan bahawa semua bangunan di dalam jarak radius dua kilometer daripada Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai istiadat pengebumian.

Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 7.10 malam.-15/4/2025

Read more

khabar terbaru