Singapura membubarkan Parlimennya pada Selasa, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 negara.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 23 April, manakala mengundi pada 3 Mei.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pemilihan 97 Ahli Parlimen (AP), meningkat berbanding 93 AP sebelum ini, selaras dengan cadangan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya.
Lebih 2.75 juta rakyat Singapura layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Ini merupakan Pilihan Raya Umum (GE) Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri dan Setiausaha Agung penggal pertama bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Dalam satu hantaran Facebook pada 15 April, Wong berkata beliau memutuskan untuk mengadakan pilihanraya ketika dunia semakin bergejolak.
“Kita sedang menyaksikan perubahan besar di dunia. Ia menjadi semakin tidak menentu dan tidak stabil. Keadaan global yang membolehkan Singapura mencapai kejayaan sejak beberapa dekad lalu mungkin tidak lagi berkekalan.
“Justeru saya memutuskan untuk mengadakan pilihanraya umum ini. Pada persimpangan kritikal ini, rakyat Singapura harus memilih pasukan untuk memimpin negara, dan melakar hala tuju masa depan Singapura bersama,” kata beliau.
Pada 12 April, Wong menyatakan PAP akan menampilkan lebih 30 muka baru – jumlah calon baru paling ramai yang pernah ia tampilkan sejak kebelakangan ini.
Dalam PRU sebelum ini pada tahun 2020 menyaksikan PAP menang 61.23 peratus undi tetapi tewas GRC Sengkang di tangan Parti Pekerja (WP).
Dalam satu hantaran Facebook pada 15 April selepas writ dikeluarkan, Setiausaha Agung WP, Pritam Singh, yang juga Ketua Pembangkang, berkata ia merupakan satu penghormatan menjadi pembangkang di Parlimen.
Hantaran susulan beliau menyatakan disebabkan kos berkempen yang semakin meningkat, parti itu memohon sokongan agar ia kekal dapat menjadi wakil pembangkang di Parlimen.
“Sebagai parti pembangkang dengan kehadiran sederhana di Parlimen, kami terus bersuara untuk mereka yang mungkin terlepas pandang.
“Kami meneliti dasar sedia ada dan mencadangkan idea segar untuk memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat yang lebih pelbagai dan kompleks. Tetapi kita tidak boleh melakukan ini sendirian,” katanya.-16/4/2025