Majlis Media Malaysia boleh mengambil tanggungjawab untuk meneliti dan mengambil langkah wajar dalam mengatasi isu kesilapan bahan penerbitan termasuk yang menyentuh penggunaan salah logo dan lambang kebangsaan oleh media massa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata buat masa ini, kes-kes seumpama itu akan diadili menerusi siasatan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita harap bila ada Majlis Media Malaysia, itulah satu platform atau satu format baik untuk menyelesaikan isu seperti ini namun sehingga majlis itu dibangunkan dan dihidupkan, maka kita uruskan (siasat) dulu.
“Saya dan Timbalan Menteri sudah bertemu dengan pengurusan media berkenaan dan kita maklumkan bahawa siasatan pihak berkuasa berjalan,” katanya pada sidang media di Menara Angkasapuri, turut dihadiri timbalannya, Teo Nie Ching.
MCMC dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sudah memanggil pihak media Kwong Wah Yit Poh berhubung laporan berkaitan gambar bendera Malaysia tidak lengkap sifatnya yang dimuat naik diakaun Facebook rasmi organisasi media berkenaan semalam.
Sementara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan semalam memaklumkan sudah memulakan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar mereka.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan satu sesi taklinat mengenai tatacara penggunaan pempameran lambang kebangsaan iaitu jalur gemilang.
“Kita akan anjurkan sesi ini untuk rakan media dan juga (kakitangan) Unit Komunikasi Korporat (UKK) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dalam tempoh minggu ini,” katanya.
Menyentuh lawatan Presiden China, Xi Jinping, Fahmi berkata ia bukan saja berjaya merapatkan hubungan dagang, bahkan antara pemimpin utama kedua-dua negara.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang sedemikian rupa (tidak menentu dan mencabar), sudah pasti Malaysia sebagai negara dagang berharap akan dapat meneruskan dagang dengan pelbagai negara yang ingin berdagang dengan Malaysia.
“Sudah pasti lawatan negara Presiden China ini mencapai maksud tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi juga mengulangi komitmen kerajaan pusat untuk menyalurkan peruntukan yang adil kepada setiap negeri termasuk yang ditadbir oleh pembangkang.
Katanya, ini sorotan dari ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pahang dan Kelantan, memaklumkan peningkatan peruntukan di beberapa negeri termasuk Terengganu di mana angkanya bertambah kepada RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya.-17/4/2025