Monday - 21, April 2025

Kenyataan Hadi ‘kemenangan politik lebih penting dari tunai haji dan umrah’ tidak mempunyai asas ilmu…

Share

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibidas selepas mendakwa ‘kemenangan politik’ bagi Islam patut diutamakan, berbanding menunaikan haji atau umrah.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Hadi ketika kempen PRK Ayer Kuning itu tidak mempunyai asas dalam Islam dan dibuat semata-mata demi kepentingan politik.

Katanya, ibadah umrah dan haji tidak boleh dibandingkan dengan mengundi, kerana umat Islam perlu menyimpan wang dan menunggu kuota untuk pergi ke Mekah, kadangkala sehingga beberapa tahun, sedangkan PRK boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Kenyataan bahawa mengundi itu lebih penting daripada haji dan umrah (seperti) yang disebut Hadi tak berasaskan apa-apa asas ilmu, melainkan ia hanya hawa nafsu untuk mengerakkan orang mengundi dengan menunggang isu haji dan umrah.

“Umrah bukan hari ini daftar, esok pergi. Kena kumpul duit, nak kena daftar. Himpun duit bertahun-tahun, tiba-tiba berlaku PRK, mana nak tahu. Ini (kenyataan Hadi) tak logik, tak masuk akal,” kata Mujahid menerusi akaun Tiktoknya.

Dalam pada itu, Mujahid menggesa PAS agar ‘berhenti termakan fatwa sesat’, sebaliknya kembali kepada ilmu dan tanggungjawab sebagai orang Islam.

“Jangan sesekali tunggang isu haji dan umrah untuk kepentingan politik,” katanya.

“Pandangan Hadi ini sukar diterima, sama ada dari segi syarak ataupun maslahah.”

Semalam, Berita Harian melaporkan Hadi berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan kerana ‘Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin’.

Menurut Hadi, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan itu, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.-21/4/2025

Read more

khabar terbaru