Monday - 21, April 2025

Bina bandar mesra pejalan kaki, berbasikal di Malaysia

Share

Bandar seperti Kaherah di Mesir, Riyadh di Arab Saudi dan Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE) direka bagi kereta, menjadikan perjalanan harian panjang, manakala berjalan kaki tidak digalakkan.

Hanya 17 peratus warga Dubai berjalan kaki setiap hari, berbanding Berlin (30 peratus) dan New York (40 peratus).

Ini membuktikan bandar mesra pejalan kaki lahir daripada perancangan, bukan kebetulan.

Malaysia turut menghadapi masalah serupa.

Di bandar raya utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, lebih 93 peratus isi rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta.

Pengangkutan awam masih belum cukup menarik, manakala berjalan kaki dan berbasikal sering tidak selamat kerana infrastruktur tidak mesra pengguna.

Tanpa kaki lima lebar, teduhan dan lintasan selamat, aktiviti berjalan kaki kekal pilihan tidak praktikal.

Sekilas pandang, bandar berorientasikan kereta kelihatan efisien dengan lebuh raya luas, jejambat moden dan tempat letak kenderaan mencukupi, tetapi sebenarnya tersembunyi pelbagai kos membebankan.

Pertama, perjalanan panjang memberi tekanan mental.

Di Kuala Lumpur, ramai menghabiskan lebih dua jam sehari dalam kesesakan lalu lintas, sedangkan ia sepatutnya diluangkan bersama keluarga atau kesejahteraan diri.

Kedua, kebergantungan kepada kereta menjadikan masyarakat terasing.

Individu tidak memiliki kenderaan menghadapi kesukaran akses kepada peluang pekerjaan dan perkhidmatan asas.

Jalan tidak mesra pejalan kaki mengehadkan interaksi sosial dan menghalang gaya hidup sihat.

Di kawasan tanpa infrastruktur pejalan kaki yang baik, kadar obesiti boleh meningkat hingga 30 peratus.

Malaysia mencatatkan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Apabila berjalan kaki tidak ‘digalakkan’, risiko diabetes dan jantung turut meningkat.

Natijahnya, kos kesihatan awam naik dan mutu hidup terjejas.

Di negara Malaysia, alasan sering digunakan untuk tidak berjalan kaki ialah cuaca panas dan lembap.

Dengan suhu melebihi 33 darjah Celsius dan kelembapan mencecah 80 peratus, siapa mahu berjalan?

Namun, Singapura yang mempunyai iklim serupa berjaya menggalakkan gaya hidup berjalan kaki dan penggunaan pengangkutan awam.

Bezanya ialah perancangan bandar yang teliti iaitu laluan pejalan kaki berbumbung, pengangkutan awam bersambung, papan tanda jelas serta zon mesra pejalan kaki.

Perancangan bandar yang baik menggalakkan pembangunan bercampur dengan rumah, kedai, sekolah dan tempat kerja berada dalam jarak berjalan kaki.

Ia juga membabitkan pembinaan jalan teduh dengan pokok, tempat duduk awam dan lintasan selamat.

Reka bentuk berfokuskan manusia tidak menolak penggunaan kereta, tetapi memastikan ia tidak menguasai ruang.

Walaupun inisiatif meningkatkan pengangkutan awam di peringkat Kerajaan Persekutuan seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) menunjukkan kemajuan, ejen perubahan sebenar adalah pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu majlis perbandaran dan majlis bandar raya.

PBT mengawal selia perancangan zon, reka bentuk jalan tempatan, penyediaan ruang awam, laluan pejalan kaki dan penguatkuasaan.

Namun, keputusan perancangan masih meletakkan kenderaan sebagai keutamaan berbanding keselamatan dan keselesaan pejalan kaki.

Kaki lima sempit atau dihalang, ruang awam terhad dan undang-undang zon yang masih memisahkan kawasan perumahan, komersial serta perindustrian, memaksa orang ramai memandu walaupun untuk jarak singkat.

Justeru, PBT mesti lebih aktif membina laluan pejalan kaki dan basikal lebih baik dengan lintasan selamat serta sambungan berterusan.

Selain, menanam lebih banyak pokok teduh di sepanjang laluan pejalan kaki dan reka bentuk semula ruang awam untuk keselesaan serta penggunaan komuniti.

PBT juga perlu menyokong zon bercampur untuk mengurangkan keperluan perjalanan jauh, menambah baik sambungan terakhir antara pengangkutan awam dengan kawasan kejiranan, selain babitkan komuniti dalam proses perancangan bandar.

Sebenarnya perubahan perbandaran itu boleh dicapai kerana Copenhagen, Denmark, dahulu dikuasai kereta, kini berubah menjadi antara bandar paling mesra basikal, manakala Seoul di Korea Selatan menutup lebuh raya tengah bandar untuk menghidupkan kembali sungai dan ruang awam.

Sudah tiba masanya kita ubah cara berfikir, iaitu mobiliti bukan lagi soal betapa laju memandu, tetapi betapa mudah dan baik menjalani kehidupan.

Dr Shahrul Azman Abd Razak
21/4/2025

Read more

khabar terbaru