Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand baru-baru ini berpotensi eksport berjumlah RM1.07 bilion yang merangkumi produk seperti alat ganti automatik, pembinaan, minyak dan gas, tenaga dan peranti perubatan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata minat untuk mendapatkan produk negara itu disampaikan menerusi mesyuarat meja bulat anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan pegawai tertinggi daripada lapan syarikat terkemuka Thailand untuk memudahkan peluang perdagangan antara kedua-dua negara.
Turut mengiringi Anwar dalam lawatan selama dua hari itu ialah Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
“Secara kolektif, syarikat ini menyediakan potensi gabungan nilai penyumberan sebanyak RM1.07 bilion (AS$244.04 juta) dari Malaysia, menunjukkan tarikan Malaysia sebagai rakan rantaian perdagangan dan bekalan yang boleh dipercayai,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Chaiwat Meesanthan berkata lawatan Anwar kali ini memberikan impak yang sangat positif kepada Thailand, khususnya mengenai isu kenaikan tarif Amerika Syarikat, keamanan di Myanmar, serta kestabilan serantau.
Antara yang turut menjadi fokus utama Anwar dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dalam pertemuan mereka ialah hubungan dua hala, kerjasama projek infrastruktur rentas sempadan khususnya di wilayah selatan Thailand.
“Ini boleh diterjemahkan sebagai pengiktirafan kepada hubungan istimewa kedua-dua negara serta peranan Thailand dalam ASEAN, menjadikan Bangkok sebagai pentas diplomasi serantau,” katanya.
Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Thailand sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022, selepas kunjungan pertamanya pada 2023 yang menyaksikan beliau bertemu dengan Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand ketika itu.
Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan nilai dagangan mencecah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).
Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencatatkan nilai US$3.96 bilion (RM17.65 bilion), meningkat berbanding US$3.67 bilion (RM16.80 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2024.-21/4/2025