Polis Pelancongan Thailand berkata kawasan pelancongan di Ban Thon, Narathiwat masih selamat untuk dikunjungi selepas satu insiden letupan bom pada Ahad namun polis menasihatkan pengunjung untuk menggunakan laluan utama untuk ke destinasi itu.
Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand (Wilayah Ketujuh), Leftenan Kolonel Sakarin Anusamansakul berkata jalan kampung merupakan laluan terpencil yang jarang digunakan orang ramai, dikhuatiri boleh mendatangkan risiko keselamatan.
Beliau menegaskan bahawa kawasan pelancongan di Ban Thon masih selamat untuk dikunjungi kerana insiden letupan yang berlaku pada Ahad tidak menyasarkan orang awam, termasuk pelancong dari Malaysia.
“Mereka yang melakukan serangan itu menyasarkan pasukan keselamatan seperti polis, bukan orang awam. Oleh itu, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana keselamatan mereka tetap terjamin.
“Pihak berkuasa Thailand termasuk Polis Pelancong akan terus meningatkan kawalan keselamatan termasuk rondaan dan melakukan pemantauan di kawasan tumpuan yang sering dikunjungi rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama pada Isnin.
Pada Ahad, tujuh cedera selepas sebutir bom buatan sendiri meletup di tepi jalan berhampiran sebuah pondok polis di Ban Thon.
Ban Thon popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang mahu menikmati makanan autentik Thai seperti tom yam, pulut mangga, dan makanan laut segar.
Selain itu, pantai yang tenang, pemandangan indah, dan suasana perkampungan nelayan yang masih terpelihara menjadikan ia pilihan pelancong Malaysia menikmati keindahan semula jadi jauh dari hiruk-pikuk bandar.-22/4/2025