Imam Besar Al-Azhar Dr Ahmed Al-Tayeb telah melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Paus Francis, ketua Gereja Roman Katolik, yang disifatkannya sebagai “tokoh kemanusiaan terbilang dan sahabat yang dikasihi”, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam satu kenyataan, Dr Ahmed Al-Tayeb memuji Paus atas dedikasinya yang tidak berbelah bahagi kepada kemanusiaan, menggambarkannya sebagai seorang tokoh yang “mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada manusia, menyokong mereka yang tertindas, pelarian, dan mereka yang terpinggir.”
Imam Besar Al-Azhar turut menekankan komitmen Paus dalam memupuk dialog antara agama dan persefahaman antara pelbagai budaya dan agama yang berbeza.
Beliau mengakui perkembangan ketara dalam hubungan antara Vatican dan Al-Azhar di bawah kepimpinan Paus Francis.
Antara detik penting dalam kerjasama itu termasuk penyertaan Paus dalam Persidangan Keamanan Antarabangsa Al-Azhar pada 2017, diikuti pemeteraian “Dokumen Persaudaraan Insan” yang bersejarah pada 2019.
Sementara itu, pemimpin India, Pakistan, Bangladesh, dan Sri Lanka bersama tokoh dunia lain berdukacita atas pemergian Paus Francis pada Isnin.
Mereka menyanjung Francis atas sifat belas kasihannya serta peranannya sebagai pemimpin rohani komuniti Katolik di seluruh dunia.
“Dalam saat penuh dukacita dan ingatan ini, saya merakamkan ucapan takziah kepada komuniti Katolik global. Paus Francis akan sentiasa dikenang sebagai simbol belas kasihan, kerendahan hati dan keberanian rohani oleh jutaan insan di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri India Narendra Modi.

“Saya masih mengingati pertemuan saya bersama beliau dan amat terinspirasi oleh komitmennya terhadap pembangunan inklusif dan menyeluruh. Kasih sayangnya terhadap rakyat India akan sentiasa dihargai,” katanya.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pula menyifatkan pemimpin tertinggi Gereja Roman Katolik itu sebagai “sinar keamanan, kasih sayang dan keharmonian antara agama.”
“Kepimpinannya telah memberi inspirasi kepada berbilion orang, bukan hanya dalam Gereja Katolik, menerusi kasih sayang dan belas ihsan terhadap golongan kurang bernasib baik. Bagi pihak rakyat Pakistan, saya merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada Gereja Katolik serta semua yang merasai kehilangan besar ini,” katanya.
Pemimpin sementara kerajaan Bangladesh Muhammad Yunus dan Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake turut menyampaikan ucapan takziah dengan nada yang sama.
“Komitmen teguh beliau terhadap keamanan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan telah meninggalkan kesan mendalam kepada dunia. Semoga legasi beliau dalam memperjuangkan belas kasihan, keadilan dan keharmonian antara agama terus menjadi inspirasi generasi akan datang,” kata Dissanayake.
“Dengan pemergiannya, kita menyaksikan berakhirnya satu era kepausan yang bermaruah, dipimpin dengan keperibadian unggul demi memartabatkan maruah insan, keharmonian antara agama, dan keadilan buat golongan terpinggir. Kepimpinannya merentasi sempadan keagamaan dan mendorong jutaan orang untuk bergiat membina dunia yang lebih inklusif, bertolak ansur dan penuh belas kasihan,” kata Yunus dalam kenyataannya.
Paus Francis meninggal dunia akibat penyakit pernafasan pada usia 88 tahun.
Beberapa pemimpin politik India turut menyatakan kesedihan atas pemergiannya.
Paus, kata pemimpin kanan parti Kongres, Rahul Gandhi, “sentiasa berpihak kepada golongan tertindas dan terpinggir, bersuara lantang menentang ketidaksamarataan, dan memberi inspirasi kepada jutaan insan merentasi agama dengan mesej cinta dan kemanusiaan.”
“Saya turut berdukacita bersama saudara-saudari Kristian saya di India dan di seluruh dunia, dan berkongsi rasa kehilangan yang mendalam serta empati terhadap mereka,” kata Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee.-22/4/2025