Friday - 9, May 2025

Anwar ucap tahniah kepada penganut Katolik atas pemilihan Paus Leo XIV

Share

KEMASKINI Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada penganut Katolik di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, atas pemilihan Paus Leo XIV.

Beliau berkata detik bersejarah ini menandakan lembaran baharu bagi komuniti Katolik dunia, dan yakin bahawa ia akan menjadi sumber tekad dan inspirasi yang diperbaharu.

“Malaysia menghargai hubungan dengan Holy See dan kami berharap dapat meneruskan jalinan kerjasama yang berteraskan sikap saling menghormati, dialog dan komitmen bersama terhadap keamanan dan maruah insan,” kata Anwar dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Kardinal Robert Prevost, kelahiran Chicago, Amerika Syarikat, telah dipilih sebagai Paus baharu, menggantikan Paus Francis.

Dengan pelantikan itu, beliau menjadi rakyat Amerika pertama dalam sejarah 2,000 tahun Gereja Katolik yang dilantik sebagai Paus.

Mengambil nama Leo XIV, beliau muncul di balkoni Basilika St. Peter dan menyampaikan ucapan sulung yang menekankan mesej perdamaian.

Berusia 69 tahun, beliau mengenakan jubah merah tradisi yang tidak dipakai oleh pendahulunya, Paus Francis, ketika dilantik pada 2013.

Jawatan terdahulu beliau sebagai ketua pejabat pemilihan uskup menjadikan Prevost tokoh berpengaruh dalam kalangan kardinal menjelang konklaf pemilihan Paus.

Terdahulu, seramai 135 kardinal yang layak telah menyertai proses pemilihan secara rahsia dikenali sebagai konklaf.

Sepanjang proses itu, mereka tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar. Hasil undian kekal rahsia.

Proses pemilihan pengganti Paus Francis hanya mengambil masa dua hari, menjadikannya antara konklaf paling pantas dalam beberapa dekad kebelakangan ini.-9/5/2025

Read more

khabar terbaru