Saturday - 24, May 2025

Inilah kali pertama SPRM berani geledah semua tauke besar…kata PM pertahan lanjut kontrak Azam Baki

Share

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan keputusan melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dengan beritahu ini pertama kali dalam sejarah beliau melihat SPRM lebih berani bertindak terhadap individu yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit, termasuk “tauke besar”.

“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM (selama) puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar.

“Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan kawan (Kabinet), boleh ganti esok, tapi saya tidak yakin (ketua pesuruhjaya) yang baru itu berani menyinggung tauke besar yang punyai bilion ringgit kekayaannya,” katanya.

Anwar menegaskan demikian semasa merasmikan Konvensyen Nasional PKR di Johor Bharu Jumaat malam.

Kontrak Azam Baki dilanjutkan selama setahun berkuat kuasa 13 Mei lalu.

Antara yang suarakan tidak setuju pada langkah itu ialah anaknya sendiri ,Nurul Izzah selaku Naib Presiden PKR dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli.

Anwar berkata tindakan SPRM kini turut membabitkan tokoh-tokoh berprofil tinggi, termasuk mereka yang bergelar Tan Sri, Tun dan Datuk Seri dan ia memerlukan sokongan.

“Keluarga besar seperti Tan Sri, Tun dan Datuk Seri. Beri ruang sekejap untuk orang yang diamanahkan mengambil tindakan dan saya tiada sebab untuk mencurigai keberanian ketua pesuruhjaya SPRM (Azam) sekarang untuk bertindak keras dan tegas…,” katanya lagi.

Anwar turut membidas pihak yang sering mengkritiknya, termasuk pembangkang dan aktivis, kerana tidak menyokong tindakan berani SPRM ke atas golongan elit korporat.

“(Namun) Saya tidak pernah dengar mereka sokong bila SPRM bertindak kepada tauke-tauke yang punya berbilion ringgit itu,” katanya lagi.

Anwar turut menyuarakan rasa kecewa kerana tindakan SPRM sering disalah tafsir sebagai bermotifkan dendam.- 23/5/2025

Read more

khabar terbaru