Saturday - 24, May 2025

MCMC terlibat dalam pembangunan sistem radar pertahanan…

Share

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melangkah ke depan dengan melibatkan diri dalam pembangunan sistem radar pertahanan udara.

Ia telah memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan mengenai pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perjanjian itu ditandatangani sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA).

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Kementerian Pertahanan yang diwakili oleh Ketua Setiausahaya, Datuk Lokman Hakim Ali.

Majlis turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Mejar Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha yang mewakili Panglima Tentera Udara.

Satu kenyataan MCMC pada Jumaat kata perjanjian ini adalah simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara menerusi penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.

Selain itu, perjanjian ini turut melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa keselamatan negara melalui pendekatan kolaboratif antara sektor awam dengan pertahanan.

Menerusi perjanjian ini, MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.

Sistem radar yang baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia dan secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan kedaulatan negara.

Sokongan ini adalah sejajar dengan pendekatan Whole-of-Government (WoG) yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional.- 23/5/2025

Read more

khabar terbaru