shoot-lari

KEMASKINI : Kes tembak di KLIA…polis masih percaya motif cuma isu peribadi antara suspek dan isterinya

Polis setakat ini masih percaya motif kejadian tembakan di balai berlepas KLIA awal pagi Ahad lalu masih berkisar tentang isu peribadi di antara suspek dan isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain kata ,”buat masa ini tidak ada motif lain.”

Bercakap di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, Selasa beliau juga kata suspek mungkin nak lari ke Mekah.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang kini direman merancang untuk melarikan diri ke Mekah melalui sempadan Kelantan-Thailand.

Katanya polis yakin selepas menjadi buruan pihak berkuasa Hafizul Hawari cuba meloloskan diri melalui sempadan berkenaan untuk bersembunyi di negara lain.

Bagaimanapun, katanya, polis belum dapat mengesahkan kaedah yang mahu digunakan lelaki terbabit bersama persediaan yang dibuatnya, termasuk sejumlah wang asing serta pasport.

“Memang dia kerap ke luar negara….saya tak menyangkal kemungkinan itu (mahu menuju ke Mekah), tapi setakat ini ia masih lagi suatu kemungkinan,” katanya.

Hafizul, 38, diberkas pihak berkuasa di Kota Bharu semalam selepas menjadi buruan kerana melepaskan tembakan ke arah isterinya di KLIA pada awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita berkenaan.

Mohd Shuhaily berkata tangkapan ke atas suspek berkenaan dibuat ketika dia mahu mengambil laporan ujian kesihatan di sebuah hospital swasta di Kota Bharu.

Katanya lelaki terbabit juga menginap di sebuah hotel berhampiran dengan hospital berkenaan.

Menurut Mohd Shuhaily selepas kejadian di KLIA itu suspek terus bergerak ke Kelantan menggunakan sebuah kereta jenis Honda Civic yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dia dikesan pihak berkuasa.

“Polis mendapat maklumat bahawa suspek menginap di sebuah hotel di Kota Bharu, dari situ intipan dibuat sehinggalah membawa kepada penahanan suspek di hadapan sebuah hospital swasta.

“Suspek ketika itu mahu mengambil laporan ujian kesihatan dari hospital berkenaan,” katanya.

Susulan tangkapan itu Mohd Shuhaily berkata polis merampas sepucuk pistol jenis Glock-19 beserta lapan peluru hidup selain sekotak peluru dengan 24 butir peluru hidup serta enam telefon bimbit.

Tidak ketinggalan polis juga menemui dan merampas pasport milik suspek bersama sejumlah mercun bola, wang tunai dalam bentuk mata wang bhat Thailand dan riyal Arab Saudi, tiga kunci kereta, seutas jam tangan dan empat kad pengenalan milik orang lain.

Tambahnya berdasarkan siasatan awal juga, polis mendapati suspek seorang hafiz dan pernah belajar di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.

“Semasa soal siasat kami dapati suspek seorang hafiz, mahir dalam bidang agama dan al-Quran,” katanya.- 16/4/2024

Hafizul kes tembak di KLIA direman 7 hari…

Setelah berjaya ditahan di Kota Bharu 3 petang Isnin…Hafizul Harawi, 38 suspek kes tembak di balai ketibaan KLIA awal pagi Ahad dikenakan reman tujuh hari.

Perintah reman di dikeluarkan majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Dia akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu, diiring dan dikawal ketat oleh polis.- 17/4/2024

Hafizul yang cuba tembak isteri di KLIA ditahan di Kota Bharu…

Hafizul Marawi yang cetus kekecohan di balai ketibaan KLIA awal pagi Ahad dalam cubaan menembak isterinya telah ditahan polis di Kota Bharu kira kira 3 petang Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan tangkapan itu.

Beliau tidak beri butiran lanjut mengenai penahanan lelaki berusia 38 tahun itu dan beritahu maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, esok Selasa.

Menurutnya buat masa ini polis sedang proses siasatan lagi untuk dapatkan permohonan tahanan reman.

“Suspek berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya.

Polis dijadual membuat permohonan untuk menahan reman lelaki terbabit di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi esok.

Hafizul ditahan di Kota Bharu selepas melarikan diri selama kira-kira 36 jam sejak cuba menembak isterinya dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi Ahad di KLIA.

Suspek disyaki melepaskan dua das tembakan di dipercayai disasarkan untuk seorang wanita pengendali umrah dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita terbabit yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

Hafizul kemudian melarikan diri dari lapangan terbang berkenaan dan pihak polis segera menjalankan usaha menjejak sehingga berjaya menangkapnya.- 15/4/2024

Tembakan di KLIA…gara gara pertikaian suami isteri yang dalam proses cerai

GAMBAR ATASPengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) tunjuk gambar suspek kejadian tembakan di KLIA awal pagi Ahad bernama Hafizul Harawi. Di Sebelah kiri beliau ialah Pengarah Siasatan Jenayah Selangor Baharudin Mat Taib yang pegang satu lagi gambar.

Keadaan agak cemas mencengkam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seketika pada sekitar jam 1.30 awal pagi Ahad bila kedengaran dua das tembakan.

Namun ia bukan serangan pengganas atau ekstremis atau melibatkan jenayah sebaliknya tindakan seorang suami terhadap isterinya yang sedang dalam proses perceraian.

Wanita berkenaan menjadi sasaran lelaki itu namun pengawal peribadinya terkena tembakan mengakibatkan cedera di bahagian perut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kata suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di situ sebelum peluru yang dilepaskan terkena individu lain dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu.

“Mereka dalam proses penceraian dan polis sedang buru suspek ini yang dipercayai melarikan diri ke utara tanah air,” katanya.

Menurutnya, suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum salah satu peluru terkena seorang pengawal peribadi.

“Tembakan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya melarikan diri sejurus kejadian itu.

“Motif kejadian masih dalam siasatan polis dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar di KLIA Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain suspek yang terlibat dalam kes tembak di Balai Ketibaan KLIA 1 itu pernah ditahan pada Dis tahun lalu kerana mengugut isterinya.

Katanya ugutan itu menjadi punca wanita itu yang menjadi sasaran sebenar mengupah pengawal peribadi atas faktor keselamatan.

Shuhaily juga berkata penembak, Hafizul Marawi, 38, mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Kami sarankan suspek untuk menyerah diri di mana-mana balai polis kerana apa yang sudah terjadi sudah pun terjadi.

“Pihak polis akan menyiasat di bawah Seksyen 307 atas cubaan membunuh dan Seksyen 8 atas kesalahan memiliki senjata secara haram,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek telah memperoleh senjata api secara haram dan gerakan memburu giat dilaksanakan di seluruh negara.

Setakat ini, polis menyimpulkan tiada unsur keganasan kerana ia adalah dendam peribadi dengan sasaran tertentu.

Shuhaily turut mengesahkan suspek sedang melalui proses perceraian dengan isterinya.

Mengenai keadaan mangsa tembakan, Shuhaily berkata, pengawal peribadi itu kini dalam keadaan kritikal selepas ditembak di bahagian perut.- 14/4/2024

kj-lokmanxx

Saman fitnah Khairy terhadap Lokman selesai tanpa bicara…setuju mohon maaf

Kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan usaha vaksinasi Covid-19 kerajaan di Malaysia pada 2021 selesai tanpa bicara pada Isnin.

Ini ekoran persetujuan Lokman untuk menerbitkan permohonan maaf secara terbuka kepada Khairy.

Permohonan maaf secara terbuka Lokman, yang akan disiarkan di laman Facebook dan YouTubenya, adalah sebahagian daripada syarat penyelesaian saman fitnah itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini merekodkan penyelesaian antara pihak terlibat, dengan Lokman juga bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang tidak didedahkan kepada Khairy.

Semasa memfailkan tindakan sivil pada Jan 2022, Khairy mendakwa dia telah difitnah melalui siaran media sosial, termasuk dakwaan bahawa plaintif dikatakan bertindak melulu dan/atau tidak bertanggungjawab dalam perolehan vaksin Covid-19 untuk program vaksinasi di Malaysia.

Pengacara podcast Keluar Sekejap itu juga mendakwa dia telah difitnah dengan dakwaan yang dikaitkan dengan status vaksinasi Covid-19nya.

Tindakan sivil itu pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan penuh minggu ini. Bagaimanapun, hari perbicaraan telah dikosongkan berikutan penyelesaian hari ini.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim mahkamah sivil Johan Lee Kien How hari ini, peguam Khairy Abdul Rashid Ismail memaklumkan bahawa plaintif dan defendan telah menandatangani penghakiman persetujuan.

“Defendan bersetuju untuk memadam tujuh kiriman yang terdiri daripada gambar, video dan kenyataan, yang disiarkan di laman Facebook dan YouTube defendan.

“Defendan telah bersetuju untuk tidak menerbitkan semula atau berkongsi semula kenyataan berunsur fitnah.

“Defendan telah bersetuju untuk menerbitkan permohonan maaf atas syarat yang dipersetujui, dan akan diterbitkan di laman Facebook dan YouTube defendan, dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“Defendan telah bersetuju untuk membayar jumlah yang tidak didedahkan sebagai pampasan (kepada plaintif),” kata Abdul Rashid ketika peguam Lokman Logen Eskander Abdullah hadir di mahkamah.

Lee kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dan tidak membuat sebarang perintah mengenai kos, serta menyampaikan penghargaan mahkamah sivil terhadap usaha kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara itu.

Ketika ditemui media selepas prosiding itu, Khairy berkata dia berterima kasih kepada mahkamah sivil dan semua pihak atas resolusi itu.

Lokman tidak hadir di mahkamah.- 15/4/2024

haji-cover

Konflik di Asia Barat : Tabung Haji masih teruskan persiapan musim haji 2024

Tabung Haji (TH) setakat ini masih meneruskan persiapan bagi musim Haji 2024 seperti yang dirancang susulan ketegangan yang memuncak di Asia Barat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan perkembangan semasa itu.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memantau situasi terkini di Asia Barat susulan serangan balas Iran terhadap Israel semalam.

“Serangan balas itu sudah tentu meningkatkan ketegangan yang sudah pun berlarutan sejak lebih tujuh bulan lalu akibat kedegilan dan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Na’im turut meminta semua pihak untuk terus bertenang serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

Media antarabangsa melaporkan Kor Pengawal Revolusi Iran telah memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel.-14/4/2024

iranxxx

Konflik Iran-Israel : Kenyataan PM mengenai situasi terkini di Timur Tengah…

Hari ini saya telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi Kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah.

Serangan yang dilancarkan Republik Islam Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini. Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.

Kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia dan Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambilkira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat, dan semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut. Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

Walaubagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini. Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM – 14/4/2024

Akmal-anwar

‘Menteri bodoh’…ini reaksi PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kata ‘menteri bodoh’ pada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak betul dalam konteks kerajaan perpaduan.

Ketika ditemui wartawan selepas satu majlis Shah Alam pada Ahad untuk dapat reaksi hal berkenaan beliau kata,“Saya tidak melayan kenyataan seperti itu. Pada fikiran saya, ia bukan konteks yang betul bagi kerajaan perpaduan kita. Kita harus bekerjasama.”

Dr Akmal bertindak begitu ekoran Nga membuat hantaran di laman X mengatakan bahawa pekerja tempatan menanggung sengsara akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia dipercayai merujuk kepada gerakan boikot dipelopori Dr Akmal sebagai tindak balas isu sebuah cawangan KK Mart jual stoking tertera kalimah Allah.

Umno dan DAP kini sama sama duduk dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.- 14/4/2024

‘Ada menteri macam kamu…bodoh’…kata Dr Akmal jawab dakwaan Nga Kor Ming

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pernah bertikai dalam isu boikot KK Mart baru baru ini…tetapi kali ini ia jadi makin panas.

Dr Akmal nyata terguris bila Nga pada Rabu membuat hantaran di laman X mendakwa bahawa pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jangan sekali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara”, kata Nga.

Sekalipun Nga tidak sebut siapa ‘pihak tidak bertanggungjawab’ itu tetapi ibarat kata faham faham sudahlah siapa yang dimaksudkan….dan ia telah mengundang reaksi Dr Akmal.

Menerusi laman facebook pada Khamis Dr Akmal menafikan kempen boikot KK Mart yang dicadangkannya kerana isu stoking tertera kalimah Allah sebagai punca ekonomi negara semakin teruk.

Tegasnya ,”Jadi kamu nak beritahu yang kempen boikot ni yang jadi punca ekonomi negara teruk ke??

“Dulu zaman Najib Razak kita buat je kempen boikot,tetapi ekonomi tetap naik dengan baik.

“Kepada YB menteri Nga Kor Ming yang kurang bijaksana,ekonomi negara jadi teruk sebab ada menteri yang macam kamu!!! Bodoh!

Sejak petang Jumaat hingga pagi Sabtu kenyataan Dr Akmal telah mengundang lebih 2,300 komen dan 476 share di facebooknya.

Selain itu lebih 6,800 Like.

Dr Akmal dan Nga sebelum ini pernah bertikai dalam isu KK Mart bila menteri itu gesanya supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama kerana ia mungkin menjadi masalah kepada Umno.

Ketua Pemuda Umno itu menegaskan beliau tidak takut langsung.

Katanya ,”Prinsip Umno adalah untuk mempertahankan Islam, bumiputera dan kerabat diraja Melayu, dan ini tidak akan berubah. Itu yang Pemuda Umno akan pegang sehingga mati.”

Sementara itu Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii dalam satu kenyataan ekoran kontrovesi kali ini berkata budaya politik negara tidak boleh merudum ke tahap kata-mengata.

“Berhujah soal dasar dengan dasar, usulkan dengan cadangan yang lebih baik, berbincang dengan wacana yang matang.

“Barulah politik kita boleh matang dan benar-benar menambah nilai kepada masyarakat kita,” katanya.

Dr Kelvin juga Ahli Parlimen Bandar Kuching kata Dr Akmal sepatutnya menunjukkan teladan sebagai pemimpin muda dan tidak menunjukkan perangai tidak matang seperti kata-mengata.

“Sebagai pemimpin muda, ketua Pemuda Umno sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dalam politik dan tidak menunjukkan sikap tidak matang dengan mencerca walaupun tidak bersetuju dengan tindakan seorang menteri dalam kerajaan.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan tindakan atau kenyataan yang diperkatakan, sebagai seorang pemimpin muda, beliau sepatutnya membawa hujah yang wajar dan matang ke atas meja sama ada untuk menyangkal kenyataan itu atau menambah kritikan membina kepada isu yang dihadapi,” katanya.- 12/4/2024

sejadahminixxx

Ini sejadah mini bukan alas kaki…Aeon Big akui silap pada label

Lihat betul betul pada gambar sebelah kiri produk warna hijau muda (yang dibesarkan) memaparkan imej Kaabah yang didakwa sebagai alas kaki…manakala sebelahnya ialah beberapa sejadah mini.

Sejadah mini dalam pelbagai rupa kebanyakan papar gambar Kaabah memang banyak dijual di sana sini.

Ia mudah dibawa dan digunakan untuk sembahyang.

Sejadah mini juga kerap dijadikan door gift majlis kenduri kahwin.

Gara gara kontroversi berbangkit dimana produk didakwa sebagai alas kaki dijual di cawangan Aeon Big di Batu Pahat….pihak pengurusan Aeon Big pada Sabtu tampil dengan kenyataan menjelaskan hal sebenar.

Dari penjelasan yang diberi produk itu nyata bukanlah alas kaki sebaliknya ia adalah sejadah mini.

Silapnya di sini dan cetuskan kekeliruan ialah label pada produk itu tidak tertera sebagai ‘sejadah’

Kenyataan Aeon Big itu mengakui label pada produk tersebut telah mencetuskan kekeliruan namun ia telah diperbetulkan dengan menggunakan label “sejadah” pada produk tersebut.

Aeon Big berkata produk itu dibekalkan oleh A&R Fashion Collection (A&R) yang merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik bumiputera yang mengeluarkan pakaian muslimah seperti tudung dan telekung sembahyang serta sejadah, permaidani dan tikar.

“A&R telah mengesahkan produk berkenaan sememangnya merupakah sejadah mini, di mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa.

“Bagaimanapun, selaras dengan amalan terbaik Aeon Big untuk pembekal PKS, A&R telah menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain mereka.

“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi lantas terus menyebabkan kekeliruan. Perkara ini telah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan tersebut sebagai ‘sejadah’ digunakan,” kata kenyataan itu.

Pada 9 April lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) merampas 11 produk yang dikatakan sebagai alas kaki di cawangan Aeon Big di Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata rampasan dibuat susulan aduan awam berkenaan dakwaan tersebut.

Berkenaan rampasan itu, Aeon Big berkata pihaknya telah memberi kenyataan dan kerjasama penuh kepada Jainj dan berharap semua pihak berhenti membuat “spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat”.

“Kedua-dua pihak pengurusan Aeon Big dan A&R berharap kenyataan ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.

“Aeon Big dan A&R akan terus bekerjasama dengan Jainj dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan,” katanya lagi.- 13/4/2024

syed-bg

MP Bukit Gantang tibai Razali kerana minta kosongkan kerusi…

Salah seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional dari Bersatu yang umum sokong kerajaan, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hentam Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris yang dakwa kerusi wakil rakyat beliau dan enam lagi gengnya sudah tergugur secara automatik ekoran kelulusan perlembagaan Bersatu Pendaftaran Pertubuhan pada 1 April lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menyindir Razali sebagai orang yang tidak faham undang undang.

“Ketua penerangan Bersatu ini tak tahu undang-undang. Saya cadangkan Bersatu tukar ketua penerangan, cari yang cerdik sikit,” katanya.

Razali menegaskan mereka bertujuh perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing segera untuk bolehkan pilihanraya kecil diadakan dan tidak menunggu surat pemecatan dari parti.

Syed Abu Hussin kata ,”pindaan perlembagaan parti ini mesti ada proses. Baru dapat kelulusan. Perkara itu mesti ada prosedur selanjutnya seperti langkah-langkah yang patut diambil.

“Sudah lulus pindaan, kamu pergi dengan proses kamu dan kami dan kami pun pergi proses kami.

“Ini nak cabar anak jantan anak betina kosongkan kerusi bukan begitu. Ini cakap macam dalam kedai kopi, sebab itu saya berkata Bersatu teruk, ketua penerangan tak tahu undang-undang,” katanya lagi.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz dari Bukit Gantang lima Ahli Parlimen Bersatu yang umum sokong kerajaan ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid( Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan) manakala Ahli Dewan Undangan Negeri ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang,Selangor).- 12/4/2024

pn-mp1

Mari tengok apa cerita krisis Bersatu VS wakil rakyat belot…

Nampak gaya ‘perang besar’ macam sudah nak bermula…Baru masuk hari raya ketiga Ketua Penerangan parti Bersatu Datuk Razali Idris sudah buka langkah mendesak tujuh wakil rakyatnya yang belot segera angkat kaki kosongkan kerusi untuk bolehkan pilihanraya kecil diadakan.

Katanya pada Jumaat selari dengan usul pindaan perlembagaan parti itu yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April lalu maka keahlian mereka tergugur.

Tujuh wakil rakyat itu yang bertanding atas tiket Pertikatan Nasional masa pilihanraya lalu umum sokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa keluar parti.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

manakala Ahli Dewan Undangan Negeri ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang,Selangor).

Baru baru ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kata parti itu akan mulakan langkah bertindak terhadap tujuh wakil rakyat berkenaan selepas Hari raya Aidilfitri.

Ikut yang tersebar sebelum ini Bersatu cadang nak hantar notis pada mereka bertanya secara rasmi samaada masih kekal sokong kerajaan atau tidak dan jika mereka jawab secara rasmi tetap sokong mereka surat rasmi
singkir mereka akan dikeluarkan.

Setakat ini pihak Pendaftar Pertubuhan belum keluar sebarang kenyataan rasmi mengenai kedudukan tujuh wakil rakyat itu.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pula kata beliau belum dapat sebarang surat rasmi dari Bersatu mengenai perkara berkenaan.

Kata Razali,”enam ahli Parlimen dan Adun digesa tidak menunggu surat daripada Bersatu, sebaliknya jika anak jantan , lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi.

Menurut Razali yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bersatu parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan perlembagaan parti seperti diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Baginya mereka semua wajar menumumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

“Jangan jadikan alasan menunggu notis daripada Bersatu untuk membuat keputusan,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi melucutkan keahlian parti bagi wakil rakyat yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Setakat ini, enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang berkenaan masih melawan dan belum lagi berganjak.

Malah kalangan mereka secara terbuka mendakwa pindaan perlembagaan Bersatu tidak terkesan kepada kedudukan mereka kerana umum sokong Perdana Menteri lama sebelum ia dilulusan Pendaftar Pertubuhan.

Kalangan pemerhati politik menilai ‘tembak menembak’ antara pimpinan Bersatu dengan tujuh wakil rakyat berkenaan akan makan masa kecuali Speaker Dewan Rakjyat atau Pendaftar Pertubuhan segera keluarkan
tafsiran rasmi pindaan perlembagaan parti itu yang wajib digunapakai pakai.- 12/4/2024

joe-ubibbb

PM dijamu ubi kayu di rumah terbuka Speaker Dewan Rakyat

Tan Sri Johari Abdul jangan dok buat memukat.Tengok Datin Seri Wan Azizah tertawa sambil tunjuk pada salah satu hidangan di rumah terbuka Speaker Dewan Rakyat itu di Kuala Lumpur pada Khamis.

Apa tidaknya hidang yang dimaksudkan itu ialah ubi kayu dan kelapa parut.

Bukan kah sekarang ini tengah sakan ada netizen dok buat parodi hentam pasal cadangan Johari baru baru ini supaya orang ramai tidak bergantung semata-mata kepada beras sebagai makanan ruji utama mereka.

Sebaliknya beliau kata kalau beras jadi isu tujuan untuk dapatkan karbohidrat maka ubi kayu boleh jadi sumber alternatif untuk karbohidrat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir di rumah terbuka itu nampak tidak kisah bab turut dihidangkan ubi kayu.

Katanya ,”Saya juga sempat bersalaman dan bertegur sapa dengan tetamu yang hadir sambil dijamu pelbagai juadah menarik termasuk ubi kayu kukus dan kelapa parut.” – 11/4/2024

anwar-hospitalsss

PM arah selesaikan segera masalah sesak, panas di wad kelas tiga HKL

Kerajaan akan menyegerakan penyediaan kemudahan yang perlu di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL) demi keselesaan pesakit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan meneliti keperluan terbabit serta permasalahan lain untuk dibawa kepada perhatian Jemaah Menteri.

“Kita lihat sendiri macam kawasan wad kelas tiga itu panas sikit dan sesak, dan menteri (Dr Dzulkefly) akan bawa untuk perhatian Jemaah Menteri agar kita segerakan mana yang perlu,” katanya kepada pemberita Khamis.

Terdahulu, beliau dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diiringi oleh Dr Dzulkefly dan Pengarah HKL Datin Paduka Dr Rohana Johan, melawat pesakit yang sedang dirawat di wad perubatan kelas tiga hospital itu, di Kuala Lumpur.

Anwar berkata beliau yakin Dr Zulkefly dan Dr Rohana dimaklumkan masalah yang mendesak dan perlu diberi perhatian oleh Kementerian kesihatan serta kerajaan, bagi memastikan penyediaan prasarana yang lebih baik di hospital berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau mahu kajian menyeluruh dibuat tentang pemerolehan ubat-ubatan oleh semua hospital dan klinik kerajaan di negara ini agar tidak berlaku pembaziran dan kerugian.

“Apakah ubat-ubatan itu digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan apakah keutamaan… itu kita perlu beri tumpuan kepada HKL kerana jumlah (yang diperlukan) lebih besar.

“… tetapi kita juga kena beri tumpuan kepada klinik di Kapit, klinik di Manek Urai umpamanya… jadi hal ini dilihat keseluruhannya oleh kementerian dan kita buat keputusan,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada HKL atas kecemerlangan prestasi hospital itu yang mendapat pengiktirafan dunia, dan beliau berharap pencapaian tersebut akan menjadi galakan kepada semua pihak untuk meningkatkan usaha dan khidmat mereka.- Bernama- 11/4/2024