merak

Balik kampong…mari jenguk suasana jiran sebelah

MACET TOTAL…itu istilah di Indonesia kalau sudah jem melekat parah.

Dalam kegairahan balik kampong sekarang antara titik paling teruk dimana ramai sangkut ialah di pelabuhan lintasan feri dari tanah Jawa ke Sumatra yakni Merak ke Bakauheni dan sebaliknya.

Ribuan sangkut… ada yang berbelas jam kena tunggu kenderaan dapat naik feri.

Jem pula berbelas kilomiter panjangnya.

Selain di situ tiga laluan utama di Sumatra iaitu Jalur Barat,Tengah dan Timur juga jem teruk termasuk ada tempat yang tidak boleh bergerak berjam jam.

tza1zz

Tengku Zafrul ‘buka cerita’ lagi pasal UMNO Selangor…

Enam hari selepas umum letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor menerusi satu kenyataan yang menyengat….Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil lagi dengan kenyataan mempersoalkan kelesuan parti di negeri itu.

Langkah terbaru yang tidak berselindung ini seolah mengambarkan wujud rasa kecewa yang amat sangat dalam dirinya melihat situasi dalaman parti itu di Selangor sekarang.

Juga mungkin sebagai bekas tokoh perbankan terkenal…Tengku Zafrul mahu melihat parti itu diterajui dan bergerak secara lebih profesyenal untuk bangkit dari kekalahan demi kekalahan sebelum ini.

Antara sebab Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ini letak jawatan penting dalam UMNO Selangor baru ini ialah kerana kerana lihat perancangan kebangkitan parti hambar.

Selain kini sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO beliau juga berstatus seorang Ketua UMNO Bahagian di Selangor yakni di bahagian Kota Raja.

Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari UMNO Selangor pada April 2023.

UMNO kalah teruk dalam pilihanraya negeri dan juga pilihanraya umum lalu di Selangor.

UMNO Selangor kini dipimpin oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Zahid Hamidi yakni Datuk Megat Zulkarnain Omardin manakala timbalannya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Dusun Tua, Johan Abdul Aziz.

Teguran Tengku Zafrul sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang pada kalangan pimpinan UMNO Negeri.

Malah ada yang kata beliau sepatutnya berbincang atau menulis surat secara rasmi terlebih dulu kepada parti sebelum membuat umum letak jawatan.

Ada juga yang tidak menolak kemungkinan keputusan diambil Tengku Zafrul berpunca daripada pengaruh daripada pihak ketiga.

Perlu diingat sekalipun pegang jawatan menteri serta duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO dan seorang Ketua UMNO Bahagian…Tengku Zafrul dikira masih junior dalam liga pimpinan UMNO.

BERIKUT IALAH KENYATAAN TERBARU TENGKU ZAFRUL MENGENAI UMNO SELANGOR YANG DIMUAT NAIK DALAM LAMAN FACEBOOK BELIAU PADA SABTU 6 APRIL.

Apa hala tuju UMNO Selangor?

Semasa Majlis Iftar Ramadhan & perasmian secara serentak Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Kota Raja, saya tekankan keperluan untuk kita kembalikan kegemilangan UMNO di Selangor.

Dalam PRU 2022, UMNO mencatatkan prestasi terburuknya dalam sejarah. Satu kerusi pun tak menang.

Kemudian kita tiba ke PRN. Cuma menang dua kerusi. Kalah teruk lagi.

Selepas UMNO Selangor kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir untuk UMNO Selangor. Kalau keputusan PRN tu masih belum celikkan UMNO Selangor, tak ada apa yang boleh celikkan UMNO Selangor.

Sekarang ni dah 8 bulan lepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada.

Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO di peringkat pusat & di peringkat bahagian.

Apa pandangan saya tentang cara mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor?

Pertama, kita perlu laksana kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat negeri Selangor.

Kedua, modenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, menggunapakai data & analisa dengan tepat.

Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan.

Keempat, rangka kerjasama yang win-win dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor.

Kelima, & yang paling penting, kita perlu terapkan budaya-budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi & dasar, buang cah keting. Kerana jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa.

Saya masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja & UMNO Selangor. Kerana saya yakin bahawa kita semua berkongsi impian yang sama – iaitu untuk melihat UMNO Selangor kembali relevan & dihormati rakyat Selangor.

Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras. Tetapi inilah resam perjuangan & impian yang wajib dilaksanakan.- 6/4/2024

Zafrul letak jawatan Bendahari Umno Selangor…kerana lihat perancangan kebangkitan parti hambar

Mana mana pemimpin meletak jawatan adalah perkara biasa…kata orang pemimpin datang dan pergi.

Namun pengumuman Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin letak jawatannya sebagai Bendahari Umno Selangor ‘agak panas sikit’.

Ini kerana sebab beliau ambil langkah itu diambil seolah jelas membayangkan betapa lemahnya kepimpinan Umno Selangor sekarang serta tiada perancangan jelas untuk bangkit semula di negeri itu.

Zafrul dilantik sebagai Bendahari Umno Selangor pada April 2023.

Umno kalah teruk dalam pilihanraya negeri dan juga pilihanraya umum lalu di Selangor.

Umno Selangor kini dipimpin oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Zahid Hamidi yakni Megat Zulkarnain Omardin manakala timbalannya adalah Adun Dusun Tua, Johan Abdul Aziz.

Selain sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja ,Tengku Zafrul ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH TENTGKU ZAFRUL

Sewaktu saya dipilih sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dahulu, saya telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di negeri Selangor.

Selangor ialah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak. Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti.

Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.

Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa. Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap – diuji dan disemak dengan pemegang taruh.

Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

Begitu banyak bergantung kepada sikap dan pendekatan kepimpinan UMNO negeri. Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat. Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.

Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan. Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.

Justeru itu, berkuatkuasa hari ini, saya meletakkan jawatan selaku Bendahari UMNO Selangor.

Saya merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini. Saya akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua Umno Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.

Saya sentiasa mendoakan agar Allah SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, insya-Allah.

Semoga UMNO kembali ke persada politik tanahair demi Agama, Bangsa dan Negara. Dulu, Kini dan Selamanya.- 1/4/2024

akmalkk-ok

Dr Akmal kata sedia berdepan tindakan undang undang

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh tetap tidak rasa beliau buat salah dalam mempelopori boikot terhadap KK Mart sekalipun mungkin berdepan dengan tindakan undang-undang di mahkamah ekoran siasatan polis.

Ditemui wartawan di KLIA sekembali dari Kota Kinabalu pada Sabtu apapun berkata beliau sedia berdepan dengan sebarang tindakan undang undang.

Ini ekoran kenyataan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa kertas siasatan terhadapnya akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pada Jumaat beliau dibawa ke Ibupejabat Polis Kota Kinabalu untuk beri keterangan seurus tiba di ibunegeri Sabah itu.

Beliau disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Akmal kata, “kita ambil maklum mengenai kenyataan Ketua Polis Negara itu bahawa kertas siasatan akan diserah kepada AGC minggu depan. Jadi kita akan tengok bagaimana dan kita sedia untuk hadapi kalau kata nak didakwa di mahkamah,” katanya.

“Bagi saya, kita tidak melakukan apa-apa kesalahan jadi tuduhan yang nak dikenakan kepada saya di bawah Akta Hasutan (Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1958), kita akan teliti.

“Ucapan-ucapan (saya) tiada langsung berbaur hasutan dan kita tetap kekal (boikot), dan kita nak beritahu boikot ini adalah hak individu dan hak pengguna.

“Jadi ia tidak menjadi satu kesalahan. Sebab itu kita tegas akan kekal boikot sehingga terubat hati umat Islam di negara ini,” katanya.- 6/4/2024

akmalxxx

KEMASKINI : Kertas siasatan kes Dr Akmal dijangka siap dalam tempoh lima hari…sebelum dihantar ke Peguam Negara – KPN

Polis sedang melengkapkan kertas siasatan isu KK Mart keatas Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh setelah keterangan diambil darinya di Ibupejabat Polis Kota Kinabalu semalam,Jumaat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menjangka kertas siasatan itu siap dalam tempoh lima hari lagi sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan selepas keterangan diambil daripada beliau semalam,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajidi memberitahu UMNO akan sediakan barisan peguam untuk tangani kes Akmal.

Dalam pada itu pada Sabtu Ahli Parlimen PKR kawasan Pasir Gudang,Johor Hassan Abdul Karim yang juga seorang peguam menawarkan dirinya menjadi peguam bela kepada Akmal jika beliau diheret ke mahkamah atas pertuduhan bawah Akta Hasutan.

“Oleh kerana saya…secara peribadi telah pernah disiasat, dituduh dan dibicarakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan mengetahui betapa zalimnya Akta Hasutan tersebut maka sebagai seorang peguam dan ahli parlimen Malaysia yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan di Malaysia merdeka ini, maka saya dengan suci hati dan ikhlas menawarkan diri jika Dr Muhamad Akmal, Ketua Pemuda Umno sudi dan bersetuju untuk menerima tawaran ikhlas saya sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman Dr Akmal.

“(Ini) jika sekiranya beliau pada akhirnya tetap akan dituduh di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya pada satu kenyataan.

Hassan berkata Akmal tidak sepatutnya disiasat di bawah Seksyen4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain kerana “kedua-dua akta tersebut bersifat kuku besi dan zalim.”

Ahli parlimen PKR itu juga membangkitkan manifesto pilihan raya PH yang berjanji memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Ketua Pemuda Umno itu sewajarnya disiasat di bawah Section 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan. Yang berkait dengan kesalahan kerana mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

“Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh tetapi hak beliau untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stokin yang dikaitkan dengan kalimah Allah adalah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara,” kata Hassan lagi.- 6/4/2024

KEMASKINI…Dr Akmal dibebaskan…lepas 2 jam beri keterangan di IPD Kota Kinabalu

Selesai buat sementara waktu…Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dibebaskan oleh polis selepas selesai beri keterangan isu KK Mart selama dua jam di ibupejabat polis Kota Kinabalu,Sabah.

Beliau sebelum itu ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 10.15 pagi.

Asalnya Dr Akmal dijadual beri keterangan di ibupejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur esok Sabtu.

Beliau datang ke Sabah untuk hadir acara Ramadhan di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, petang ini.

Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, beliau ia dimaklumkan untuk sesi rakaman percakapan itu melalui panggilan telefon sejurus sampai ke Sabah pagi ini.

Difahamkan polis ambil keterangan beliau ekoran laporan polis mengenai ucapan di satu ceramah di Kelantan.

Namun Akmal nafi ia berunsur hasutan.

“Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin,” katanya.

Akmal adalah pemimpin politik paling lantang bersuara dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah di sebuah cawangan KK Mart di Petaling Jaya baru baru ini.

Beliau juga menganjur gerakan boikot kedai serbaneka itu.- 5/4/2024

BERITA SEBELUM INI : Isu KK Mart…Dr Akmal Saleh ditahan polis

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh asalnya dijadual beri keterangan kepada polis mengenai isu KK Mart di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, esok,Sabtu.

Namun beliau ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pagi Jumaat.

Selepas ditahan disitu beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu.

Dr Akmal kata beliau akan beri kerjasama sepenuhnya kepada polis

Apapun tegasnya beliau tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian mengenai isu berkenaan.

“No fear, no surrender,” katanya menerusi paparan video ringkas sebelum dibawa beredar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Di Fahamkan Dr Akmal datang ke Sabah untuk menghadiri majlis Kembara Ramadan Pemuda UMNO Malaysia yang dijadualkan diadakan di Beaufort pada Jumaat.

Sebelum ini dicelah kehangatan isu KK Mart beberapa pihak telah desak pihak berkuasa ambil tindakian terhadap Dr Akmal.

Sementara itu menerusi satu kenyataan Jumaat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dilakukan terhadap Dr Akmal mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Muktimedia 1998.

Katanya ia susulan dua laporan polis diterima berkaitan ucapan dan tindakan Ketua Pemuda Umno itu berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

“Justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking itu memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan mahkamah,” katanya.

anwar-penangxxx

Isu 3R…ini mesej jelas dari PM

“Saya telah tegaskan dan saya perlu tekankan kita tidak akan bertolak ansur. Tidak peduli siapa, kedudukan dia, parti mana, jangan diugut sekiranya diambil tindakan apa lagi jika menyentuh 3R.

“Ini menyentuh kedudukan raja-raja terutamanya. Institusi negara tonggaknya mesti dipertahankan termasuk prinsip Perlembagaan hak Islam dan bukan Islam semua itu tertera dalam Perlembagaan.

“Cabar itu kita akan ambil tindakan tegas. Kalau disiasat, ditangkap, didakwa dan dihukum jangan pertikai.”

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu pada sebelah pagi.

Anwar menjelaskan Ketua Pemuda Umno itu hanya dipanggil untuk disiasat dan bukannya ditahan seperti dinyatakan sesetengah pihak.

“Saya rasa bukan tangkapan dia dipanggil untuk disiasat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini tidak menggunakan isu sensitif seperti isu penjualan stoking tertera kalimah Allah untuk menghasut.

“Yang ini penting bagi kita faham bahawa kenyataan kerajaan.”

“Isu-isu ini kalau betul ada masalah, seperti stoking serius bagi orang Islam (pihak berkuasa akan) siasat tangkap, dakwa. Kita jalan terus.

“Jangan kita guna isu ini atau isu lain-lain untuk menghasut. Itu yang penting sama ada orang Islam atau bukan Islam,” katanya.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau,Melaka ditahan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah pagi ini susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Beliau dibebaskan selepas beri keterangan selama sekitar dua jam di Ibupejabat Polis Kota Kinabalu.- 5/4/2024

bersatu-pindaan

‘Dia boleh raya dulu’ kata Muhyiddin pada wakil rakyat Bersatu yang belot…

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu sebarang langkah parti itu terhadap enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang belot akan ditentukan selepas musim Hari Raya Aidilfitri ini.

“Ini bulan puasa, tak apalah, dia boleh beraya dulu. Selepas itu kita akan mengambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan,” katanya.

Beliau mengulas isu pindaan perlembagaan Bersatu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan pada 1 April baru ini dalam satu hantaran video di laman facebook pada Jumaat.

Enam ahli parlimen Perikatan Nasional dari Bersatu yang kini menjadi penyokong kerajaan tanpa meninggalkan parti ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Satu-satunya ADUN yang mengambil langkah sama ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Suhaili wakil rakyat Labuan mendakwa pindaan perlembagaan itu yang memboleh parti bertindak mengosongkan kerusi wakil rakyat yang belot tidak meliputi mereka.

Ini dakwanya kerana mereka sudah umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lama sebelum tarikh ia berkuatkuasa pindaan perlembagaan itu 1 April.

Muhyiddin berkata ,“bagi saya tak apa… mungkin mereka tak faham atau pun mereka sengaja nak mencari alasan untuk menyatakan sesuatu untuk menyedapkan hati mereka sendiri.”

Bekas Perdana Menteri itu juga menganggap ahli parlimen dan ADUN berkenaan mungkin sedang terkejut kerana tidak menyangka pindaan perlembagaan Bersatu atau memberi kesan kepada mereka.

Justeru katanya mereka diminta menunggu saja masa yang dianggap sesuai untuk Bersatu melaksanakan dan menguatkuasakan perkara dalam perlembagaan yang dipinda itu.

“Diharapkan dengan begitu maka kerusi yang terlibat iaitu 6 parlimen dan satu DUN akan terkosong, kerana dalam perlembagaan itu menyatakan apabila seseorang mengambil langkah sebegini maka keahlian dalam parti itu akan terhenti.

“Maknanya (mereka) tidak lagi menjadi ahli maka kesannya ialah kerusi itu mesti dikosongkan,” katanya.

Muhyddin juga memberitahu Bersatu sudah menyediakan kumpulan guaman yang sewajarnya bagi meneliti segala tindakan yang bakal diambil.- 5/4/2024

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto di Pejabat Perdana Menteri, 4 April, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission. MAND

Anwar, Prabowo bincang hala tuju rapatkan hubungan Malaysia-Indonesia

Pertemuan dengan Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto hari ini antara lain membincangkan mengenai hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan antara Malaysia-Indonesia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan Prabowo di pejabatnya di Putrajaya, kedua-dua pemimpin menggunakan momen berkenaan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing.

“Perjalanan karier politik kami hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sambil menitipkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan, Anwar juga berharap semoga hubungan persahabatan antara dua negara jiran itu terus erat serta diperkukuh demi kebaikan bersama pada masa hadapan.

Anwar berkata pertemuan dengan Prabowo merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari Presiden Terpilih Indonesia itu ke Malaysia.

Prabowo yang diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 pada 20 Mac lepas tiba di negara ini semalam.

Selain mengadakan pertemuan dengan Anwar, Prabowo juga menghadiri mesyuarat tertutup bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.- Bernama 4/4/2024

pilihanraya2

Teka teki mengenai enam kerusi Parlimen PN yang lompat sokong Anwar…

Teka teki yang bermain dalam senario politik negara sekarang tentunya mengenai kedudukan enam kerusi Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang wakil rakyatnya lompat umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam kerusi panas berkenaan disandang oleh ahli BERSATU yang bertanding atas tiket PN masa pilihanraya umum ke 15 November 2022.

Mereka masih kekal ahli BERSATU sampai hari ini sekalipun sudah alih sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Enam yang berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selain mereka terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN dari Bersatu di Selangor yang ikut jejak mereka.

Beliau ialah ADUN kawasan Selat Kelang Datuk Abdul Rashid Asari yang isytihar sokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Isunya sekarang apakah mereka wajib kosongkan kerusi itu gara gara pindaan perlembagaan parti BERSATU yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac.

Terbaru pada 1 April Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sendiri sudah pun meluluskan pindaan berkenaan.Ini bererti ia sudah berkuatkuasa.

Pindaan itu dengan jelas menetapkan perlucutan keahlian bagi Ahli Parlimen dan ADUN yang menyokong pihak bertentangan dengan parti itu.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen BERSATU isytihar sokong kepada Anwar.

Selain bertujuan ‘menghukum’ enam Ahli Parlimen berkenaan pindaan itu akan jadi benteng perundangan untuk sekat sebarang tindak tanduk khianati parti di masa depan.

Dalam reaksi awalnya Ahli Parlimen Labuan Suhaili dengan lantang mendakwa pindaan itu tidak boleh diguna pakai keatas mereka enam orang kerana ia cuma berkuatkuasa mulai 1 April.

Sedangkan,katanya mereka sudah isytihar sokong Perdana Menteri jauh lebih awal lagi.

Namun kalangan pimpinan Bersatu menolak tafsiran itu.

Setiausaha Agung BERSATU Datuk Hamzah Zainuddin menegaskan Suhaili bukanlah orangnya yang boleh menentukan hal itu.

Beliau membayangkan parti itu akan ambil langkah ikut undang undang untuk tangani kedudukan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN yang belot itu.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris kata Ahli Parlimen dan seorang ADUN berkenaan akan diberi peluang menetapkan pendirian semula, sebelum tindakan pengguguran sebagai keahlian dilakukan.

“Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada Ahli Parlimen dan seorang ADUN yang mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka diberi tempoh menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan tergugur secara automatik seperti pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya.

Mengenai tindakan seterusnya, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, berkata tindakan susulan akan dilakukan selepas menerima maklum balas daripada enam ahli parlimen dan ADUN berkenaan.

Mahu tidak mahu penentu enam kerusi Parlimen dan satu kertusi DUN itu perlu dikosongkan atau tidak mengikut kehendak pindaan perlembagaan BERSATU mungkin terletak pada Speaker Dewan Rakyat/Dewan Undangan Negeri atau Pendaftar Pertubuhan atau jalan akhir mahkamah.

Mengambil kira jika keputusan kosong atau tidak enam kerusi Parlimen dan satu DUN itu melibatkan faktor berkenaan…prosesnya besar kemungkinan akan makan masa.

Namun misalnya pengosongan kerusi perlu dibuat segera oleh mereka…teka teki yang cukup menarik pastinya siapa yang bakal menang dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan nanti.

Senario politik semasa ketika pilihanraya umum ke 15 November 2022 dan sekarang tentu banyak perbezaan.

Contohnya waktu PRU 15 UMNO-BN berentap lawan Pakatan Harapan…namun selepas itu keduanya sudah duduk bawah satu bumbung sama dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya BERSATU pula masih kekal dengan PAS dalam gabungan PN yakni sama ketika berdepan dengan PRU ke 15.

Pilihanraya kecil di enam kawasan parlimen dan satu DUN ini juga dapat menjawab soalan besar yang berlegar apakah faktor ‘Green Wave’ yang telah menguatkan PN masa PRU15 masih membara.

Ada juga pemerhati politik yang awal awal buat ramalan mudah berdasarkan gabungan antara parti politik terkini BN ada peluang merampas balik tiga kerusi Parlimen yakni Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Labuan.

PN pula dijangka boleh pertahan dua kerusi iaitu Tanjong Karang dan Jeli.

Satu kerusi pula yakni Gua Musang dikira 50-50 antara dua gabungan itu.

Di Bukit Gantang,Perak misalnya jika tidak berlaku perubahan besar dikalangan penyokong semasa PRU 15 ada 19,869 orang undi calon UMNO-BN manakala 18,565 undi calon PH-Amanah.

Ini menjadikan jumlah penyokong kerajaan perpaduan di situ seramai 38,434 orang.

Syed Abu Hussin menang atas tiket BERSATU-PN waktu itu dengan sokongan 32,625 undi.

Diatas kertas tanpa ambil kira faktor lain ada kelebihan 5,809 undi untuk kerajaan perpaduan.

P59 BUKIT GANTANG

Jumlah Pengundi: 94,253

Peratusan Kaum: M: 67,225; C: 17,974; I: 8,515; L: 543

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (PN-BERSATU) 32,625 MENANG
Fakharuldin Mohd Hashim (PH-AMANAH) 18,565
Mohd Shukri Mohd Yusoff (PEJUANG) 508
Mohammad Sollehin Mohamad Tajie (BN-UMNO) 19,869
Majoriti: 12,756

Undi Ditolak: 1,033

Jumlah Undi:. 94,253

Peratus Mengundi: 77.2%

PRU14: SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (BN)

Jumlah Undi: 22,450

Majoriti : 4,089

Di Kuala Kangsar pula jumlah yang undi calon UMNO-BN 10,814 manakala yang undi PH-Amanah 10,356 maka jumlahnya 21,170 undi.

Iskandar Zulkarnain yang bertanding atas tiket BERSATU-PN menang dengan undi 14,380.

Ini bermakna penyokong kerajaan perpaduan berjumlah 21,170 yakni 6,790 melebihi pengundi yang sokong PN.

P67 KUALA KANGSAR

Jumlah Pengundi: 46,985

Peratusan Kaum: M:33,109; C:9,848; I:3,075; OA:554; L:421

DATUK ISKANDAR DZULKARNAIN ABDUL KHALID (PN-BERSATU) 14,380 MENANG
Datuk Maslin Sham Razman (BN-UMNO)10,814
Yusmalia Mohamad Yusof (Pejuang)204
Ahmad Termizi Ramli (PH-Amanah)10,356
Jumlah undi36,229

Peratus 77.1%

Undi ditolak 442

Kertas undi tidak dikembalikan 33

Majoriti 3,566

PRU14: MASTURA YAZID (BN)

Jumlah Undi: 12,102

Majoriti : 731

Di Labuan juga nampak cerah untuk calon UMNO-BN.

Calon BERSATU – PN Suhaili menang dengan undi 8,124.

Calon UMNO-BN pula dapat 7,416 manakala PH-Amanah 5,307.

Calon parti Warisan yang diduga sokong kerajaan perpaduan pula 7,310.

Ini bermakna ada 20,033 undi di situ.

166 LABUAN

Jumlah Pengundi: 44,522

Jumlah Kaum: M: 14,538; C: 7,546; I: 542; Bumi:19,750; L: 2,146

Bashir Alias (BN-UMNO) – 7,416
Dr Ramli Tahir (PH-AMANAH) – 5,307
Ramle Mat Daly (PEJUANG) – 90
Rozman Isli (WARISAN) – 7,310
SUHAILI ABD RAHMAN (PN-BERSATU) – 8,124 MENANG
Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (PBM) – 202
Majoriti: 708

Undi Rosak: 246

Jumlah Undi: 28,762

Peratus Mengundi: 64.7%

PRU14: ROZMAN BIN ISLI (BN)

Jumlah Undi: 10,164

Majoriti: 1,450

Di Gua Musang calon veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah tewas tipis sebanyak 163 undi saja.

Kawasan ini mempunyai pengundi seramai 70,254 dan diletak pada kedudukan 50 – 50 antara BN-PH dan BERSATU -PN

Pada PRU 15 Tengku Razaleigh Hamzah BN-UMNO dapat 21,663 undi.

Calon PN yang menang Mohd Azizi dapat 21,826.

Persaingan sengit pasti berlaku kerana PAS anggota gabungan PN mempunyai ramai penyokong di Kelantan serta kawasan parlimen berkenaan.

Jika Tengku Razaleigh dicalonkan bertanding semula sudah tentu beliau akan berhempas pulas berusaha menebus kekalahan tipisnya pada PRU15.

P32 GUA MUSANG

Jumlah Pengundi: 70,254

Peratusan Kaum: M: 78.47%; C:5.80%; I:0.46%; OA: 14.59; L: 0.69%

Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO)21,663
DATUK MOHD AZIZI ABU NAIM (PAS-Bersatu) 21,826 MENANG
Dr Samsu Adabi Mamat (Putra-Pejuang)371
Asharun Uji (PH-PKR)4,517
Jumlah undi 49,699

Peratus 70.7 peratus

Undi ditolak 743

Kertas undi tidak dikembalikan 579

Majoriti 163

PRU14: TENGKU RAZALEIGH HAMZAH (BN)

Jumlah Undi: 19,426

Majoriti: 3,913

Di Jeli nampak berat kepada PN.

Calon PN Zahari Kecik menang dengan 27,072 undi

Calon UMNO-BN kawasan ini dapat 14,608

Manakala calon PH-AMANAH dapat 1,140

Jika dijumlah kedua calon UMNO dan Amanah jumlahnya 15,748 sahaja.

P30 JELI

Jumlah Pengundi: 59,798

Peratusan Kaum: M: 97.65%; C:0.18%; I:0.11%; OA: 0.79%; L: 1.28%

Muhammad Daud (PEJUANG) 133
ZAHARI KECIK (PN-BERSATU) 27,072 MENANG
Norwahida Patuan (BN-UMNO) 14,608
Md Radzi Wahab (PH-AMANAH) 1,140
Majoriti: 12,464

Undi Rosak: 635

Jumlah Undi: 43,732

Peratus Mengundi: 73.1 %

PRU14: DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED (BN)

Jumlah Undi: 21,665

Majoriti: 6,647

Di Tanjong Karang juga nampak berat pada PN.

Calon PN pada PRU 15 Dr Zulkafperi menang dengan 18,054 undi.

Calon UMNO-BN pula dapat 15,874

Calon parti MUDA yang kini diduga menyokong PN dapat 12,314.

Siapa tahu PN mungkin letak bekas ‘orang kuat’ kawasan itu Tan Sri Noh Omar sebagai calon untuk kukuhkan harapan untuk mempertahankan kawasan berkenaan.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang dan bekas menteri itu dikatakan masih ada pengaruh besar di situ.

P95 TANJONG KARANG

Jumlah Pengundi: 62,186

Peratusan Kaum: M:73.20%; C:17.17%; I:8.20%; L:2.41%

Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa)3,557
Mohd Rosni Mastol (Bebas/)1,406
KAPTEN (B) DATUK DR ZULKAFPERI HANAPI (PN-Bersatu) 18,054 MENANG
Siti Rahayu Baharin (MUDA)12,314
Datuk Habibah Mohd Yusof (BN-UMNO)15,874
Jumlah undi 51,872

Peratus 83.4 peratus

Undi ditolak 573

Kertas undi tidak dikembalikan 94

Majoriti 2,180

PRU14: NOH OMAR (BN)

Jumlah Undi: 17,596

Majoriti: 1,970

spr11

Pilihanraya kecil Kuala Kubu Baharu…penamaan calon 27 April…undi 11 Mei

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor akan diadakan pada 11 Mei ini.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 27 April.

Ini bermakna tempoh berkempen ialah selama 14 hari.

Ia diumum oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR di Putrajaya pada Khamis.

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kuala Kubu Baharu ialah Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

“Sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.- 4/4/2024

najib-penjara

Najib dakwa pengampunan diraja turut benarkan beliau jalani tahanan di rumah

Satu perkembangan baru yang mencuri perhatian ramai timbul bila bekas Perdana Menteri Najib Razak yang sedang jalani hukuman penjara mendakwa pengampunan diraja Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut membenarkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Najib membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpuri, pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Najib turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi “dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah”.

Beliau turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.

Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Yang Dipertuan Agong.

Beliau turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.

Pendengaran untuk permohonan itu ditetapkan esok Khamis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh.

Pada 2 Februari lalu Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Sebelum itu pada 28 Julai 2020, Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.- 3/4/2024