avitan-jpgxxx

Lelaki Israel mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan kaitan senjata api

Suasana di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Jumaat curi perhatian ramai bila lelaki Israel,Shalom Avitan yang dicekup bersama enam pistol dan peluru didakwa atas dua pertuduhan.

Dia dibawa masuk ke bilik mahkamah pada jam 9.30 pagi dan dikawal ketat beberapa anggota polis yang memakai penutup muka.

Bagi tuduhan pertama Avitan, 38, didakwa di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] kerana memiliki senjata tanpa lesen atau permit.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan kedua, Avitan didakwa di bawah seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] kerana berdagang senjata.

Sabit kesalahan boleh dihukum (Pindaan pada Seksyen 7) iaitu penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan enam kali.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di antara 26 Mac 2024, jam lebih kurang 6.46 petang dan 28 Mac 2024 jam lebih kurang 6.00 petang, di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, Avitan pada mulanya kelihatan tidak memahaminya dan teragak-agak untuk mengemukakan rayuan.

Bagaimanapun, tertuduh kemudian mengesahkan bahawa dia memahami pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan tersebut.

Avitan, dilaporkan masuk ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Semasa diberkas pada 27 Mac lalu polis ditemui di dalam bilik hotelnya enam senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Dia mendakwa datang ke Malaysia untuk bunuh seseorang yang merupakan seteru kumpulannya.- 12/4/2024

Lelaki Israel dicekup dengan 6 pistol dan 200 peluru akan didakwa di mahkamah esok Jumaat

Shalom Avitan,lelaki Israel yang dicekup polis bersama enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen,Kuala Lumpur esok,Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Razarudin kata “siasatan terhadap lelaki itu telah selesai dijalankan selepas pejabat Timbalan Pendakwa Raya bersetuju dengan cadangan untuk melakukan pertuduhan kerana memiliki senjata api terhadapnya.

“Baki 14 lagi individu yang masih dalam tahanan akan disambung reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada Isnin lalu pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana disyaki jual senjata kepada lelaki Israel itu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang.

Pasangan berkenaan ialah Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43 ditahan di Kuala Selangor.

Mengikut kertas pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang, iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor, pada jam 8 malam 29 Mac lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.

Abdul Azim pula didakwa didapati ada bersama Syarifah Faraha, yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki itu mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, pada waktu dan lokasi sama.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mereka berdua yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah.- 11/4/2024


KEMASKINI…Lelaki Israel dengan 6 pistol dihadap ke mahkamah minggu ini…

Kisah yang lebih lengkap mengenai kes lelaki Israel, Shalom Avitan yang dicekup polis pada 27 Mac lalu bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur akan diketahui dalam sedikit masa ini.

Ini kerana dia akan dihadapkan ke mahkamah dalam minggu ini atau selepas sambutan Aidilfitri.

Manakala pasangan suami isteri warga tempatan yang didakwa membekalkan senjata api kepada Shalom akan dituduh di Mahkamah Klang hari ini,Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang ditemui wartawan di Pusat Latihan Polis Pulapol, Kuala Lumpur Isnin kata pihak polis kini sedang menyiasat motif utama pemilikan senjata api tersebut.

“ Warga Israel kita masih teruskan siasatan untuk kita mengumpul lagi maklumat bagi mendapatkan motif utama dia memiliki enam senjata api.

“Mungkin dalam minggu ini juga pertuduhan pada warga Israel itu akan dibuat atau mungkin lepas raya,” katanya.-8/4/2024

KEMASKINI : Kes lelaki Israel…Eran Haya orang yang didakwa sasaran dibunuh sudah ditemui polis

Dimana Eran Haya?…lelaki yang dikatakan menjadi saran untuk dibunuh Shalom Avitan yakni warga Israel yang dicekup polis bersama enam pucuk pistol.

Ikut ceritanya dia sudahpun ditemui polis.

Eran yang berusia 40 tahun memiliki dua kewarganegaraan iaitu Turki dan Amerika.

Bagaimanapun dia dikatakan masuk Malaysia pada bulan Februari mengunakan paspot Poland.

Sebuah kedutaan asing dikatakan hubungi polis minta bantuan cari dan lindungi Eran ekoran dakwaan dia menjadi sasaran cubaan pembunuhan oleh Shalom Avitan.- 7/4/2024

KEMASKINI…setakat ini 16 ditahan kes lelaki Israel

Dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia adalah antara terbaru 12 orang ditahan polis dalam kes lelaki Israel bersama enam pistol.

Termasuk lelaki Israel itu,dua pasangan suami isteri warga tempatan yang jual enam pucuk pistol kepadanya dan seorang lelaki berperanan sebagai pemandu jumlah yang ditahan dalam kes ini ialah 16 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

“Malah, ada tangkapan diperoleh dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto,” katanya.

“Sejurus penahanan Shalom Avitan, (lelaki Israel) dan tiga lagi suspek warga tempatan, polis kemudian menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.

“Susulan daripada siasatan yang dijalankan pasukan polis kemudian menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun,” katanya.

Kesemua mereka dibenarkan ditahan reman tujuh hari.

Razarudin berkata, pada masa ini PDRM juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek utama iaitu Shalom, memiliki enam pucuk pistol.- 5/4/2024

KEMASKINI : Kes lelaki Israel…empat lagi ditahan

Setakat ini lapan orang sudah ditahan berkaitan kes lelaki Israel yang dicekup bersama enam pucuk pistol di Kuala Lumpur.

Selain lelaki Israel itu,pemandunya serta pasangan suami isteri warnegara Malaysia yang jual senjata padanya…empat lagi baru ditahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata empat individu berkenaan termasuk dua wanita.

Mereka berusia 28 hingga 41 tahun itu, ditahan di sekitar Skudai dan Gelang Patah, Johor pada Rabu.

“Kita tahan empat lagi individu di Johor semalam dan percaya boleh membantu siasatan polis dalam kes ini.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan mereka, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu Razarudin berkata berkata, permohonan sambung reman terhadap pasangan suami isteri warga tempatan, yang disyaki membekalkan pistol kepada lelaki Israel berkenaan akan dibuat selepas tempoh reman mereka tamat esok.

Ielaki Israel berusia 36 tahun yang dicekup di sebuah hotel di Ampang memasuki Malaysia pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dia mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

Razarudin berkata, suspek direman hingga 7 April ini dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.- 4/4/2024

KEMASKINI : Hukuman mati menanti lelaki Israel dan pasangan suami isteri Malaysia jika sabit kesalahan

Soal apa motif dan siapa sebenar Shalom Avitan,lelaki Israel yang dicekup bersama enam pucuk pistol adalah satu bab lain.

Pokok pangkalnya dari sudut perundangan malaysia kesalahan memiliki senjata api jelas dan terang termaktub boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Maka Shalom Avitan dan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang menjual enam pucuk pistol kepadanya sudah tidak boleh lari dari berdepan dengan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut seksyen itu.

“Sebelum ini ketika Shalom ditangkap pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai warga Israel telah memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis. Namun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat, iaitu pemilikan senjata api.

“Begitu juga dengan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu. Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman Selasa.

Razarudin berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, boleh dihukum mati.

“Ketika ini, kita masih menjalankan siasatan terperinci ke atas ketiga-tiga mereka.

“Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan.

“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7 April ini, manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan berakhir pada 5 April ini,” katanya.

Beliau berkata, sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu Razarudin kata polis belum dapat mengesahkan kewujudan individu tertentu dari Israel yang Shalom Avitan dakwa dia sedang buru untuk dibunuh.

Katanya keterangan tersebut diberikan Avitan selepas dia ditahan bersama sejumlah senjata api.

“Awalnya saya maklumkan, dia (mendakwa) ada mencari seorang lelaki warga Israel.

“Kita (PDRM) juga masih mengesan (lelaki terbabit) sekiranya benar-benar wujud.

“Ini kerana ia (dakwaan tersebut) adalah kenyataan pertama dia semasa polis merampas senjata, semasa kami membuat temu bual dan soal siasat dia,” katanya.

Sebelum ini media Israel melaporkan kedatangan Shalom Avitan, 37, ke negara ini ialah untuk mencari seorang lagi warga Israel, kononnya menjadi ketua kumpulan saingan di negara tersebut dikenali sebagai Eran Haya.

Ditanya mengenai kesahihan identiti Haya, Razarudin berkata: “Belum lagi. Macam saya cakap tadilah, itu alasan dia sebagai motif, tapi polis melihat (kemungkinan) motifnya (yang sebenar) mungkin berbeza daripada alasan yang dia beri.”- 2/4/2024


KEMASKINI: PDRM masih teliti motif lelaki Israel masuk ke Malaysia…

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak telan bulat bulat laporan media Israel tentang sebab kedatangan Shalom Avitan, lelaki negara itu yang diberkas bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata “Ya, kita maklum tentang penyiaran laporan media Israel yang mendakwa kehadiran suspek ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru di negara ini.”

Beliau dilapor akhbar Berita harian sebagai berkata ia bukanlah satu-satunya fakta yang boleh diterima pakai dalam konteks siasatan polis secara mudah sehingga dibuktikan.

Malah, beliau berkata, ia boleh dianggap sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian mengenai sebab utama suspek berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini.

Razarudin mengulas laporan The Times Of Israel semalam yang mendakwa, lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang,Kuala Lumpur Rabu lalu, adalah berkaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Menurut laporan itu, suspek yang dikenal pasti sebagai Shalom Avitan, dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya, iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seterunya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata polis masih meneliti dan menyiasat motif sebenar suspek masuk ke negara ini serta bagaimana suspek mendapatkan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

Selain itu faktor yang mungkin berkait dengan isu membabitkan Palestin dan Israel.

“Kita juga sedang meneliti pergerakan suspek sebelum dia diberkas, siapa orang hubungannya termasuk melihat latar belakang dirinya dengan bantuan dan maklumat perisikan kita.

“Malah, kita juga tidak boleh mengetepikan ancaman suspek ini terhadap pemimpin-pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan pemimpin Hamas atau pegawai tertinggi kerajaan asing selain keselamatan rakyat negara kita sendiri,” katanya.- 1/4/2024

BERITA SEBELUM INI : Kes lelaki Israel…kisahnya macam filem Godfather lawan bunuh antara geng

Ini ibarat cerita yang kita boleh tengok dalam filem Hollywood ala-gengster ganas macam The God Father atau Al Capone segala macam.

Al kisahnya ini bukan level gangster kampong tetapi taraf antarabangsa yakni boleh kejar mengejar dan bunuh membunuh di serata dunia.

Maka mendaratlah warga Israel bernama Shalom Avitan di bumi Malaysia pada 12 Mac lalu.

Dia masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pasport Perancis.

Sampai di sini…untuk ringkas cerita…dia beli enam pistol berdama 200 butir peluru dari pasangan suami isteri warga tempatan.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Selain Shalom,polis Malaysia setakat ini sudah cekup pasangan suami isteri itu di Kuala Selangor yang dakwa mereka beli senjata itu di Thailand.

Juga ditahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highland yang jadi pemandu untuk Shalom.

Rupanya kisah Shalom ini juga sudah dilaporkan oleh beberapa media di Israel.

Dakwa laporan media sana yakni The Times Of Israel lelaki Israel itu datang ke Malaysia untuk cari dan bunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru bernama Eran Haya.

Shalom yang berusia 36 tahun dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Kumpulan Musli Brothers dan kumpulan yang dianggotai Eran Haya dikatakan terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan.

Menurut media Saluran 12, rumah Shalomn, di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.

Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain,berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga.

Namun,katanya polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Razarudin kata PDRM meningkatkan keselamatan antaranya terhadap Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berikutan tangkapan itu berlaku ketika peperangan masih berlangsung antara Palestin dan Israel.

Malaysia adalah penyokong setia Palestin dan lantang mengkritik tindakan Israel dalam perang Gaza.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, menempatkan kira-kira 600 pelarian Palestin.

Pada tahun 2018, seorang saintis Palestin ditembak mati di ibu negara ini oleh dua lelaki yang tidak dikenali, yang mana Hamas mendakwa ia dilakukan perkhidmatan perisikan Mossad Israel.

Israel bagaimanapun menafikan tuduhan itu.- 31/3/2024

pm-agxxx

YDP Agong dan PM di Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara…

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Wan Azizah telah menyertai Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara.

Majlis berkenaan diadakan selepas usai solat sunat Aidilfitri.

Selain Timbalan Perdan Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi majlis turut disertai anggota jemaah menteri, ketua-ketua perwakilan asing, dan pegawai kanan kerajaan.- 10/4/2024

agong-akmal

YDP Agong terima mengadap pemimpin UMNO dan DAP…Dr Akmal Saleh hadir sama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti UMNO dan DAP di Istana Negara pada Selasa.

Pemimpin yang hadir mengadap Seri Paduka Baginda ialah Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO; Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka; Timbalan Setiausaha Agung DAP, YB Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sesi mengadap itu bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

Baru baru ini hangat kontroversi kalimah Allah tertera pada stoking dijual di sebuah cawangan KK Mart dan kelmarin timbul pula isu logo di tapak kasut jenama Vern’s didakwa mirip kalimah Allah.

Dr Akmal lantang membangkitkan hal itu serta anjur kempen boikot KK Mart. Beliau juga telah menghadapi siasatan polis.

Pada 26 Mac pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas tuduhan sengaja berniat melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah.

Syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan bersubahat melukakan perasaan agama orang Islam berhubung penjualan stoking berkenaan di KK Mart.

Dalam pertemuan itu Seri Paduka Baginda menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.

“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman.

“Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti. Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.”

“Kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

“Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda.- 9/4/2024

allinxxx

Ulasan menarik Dr Mohd Asri mengenai isu kalimah Allah

Di Perlis ada hotel diberi nama “All in”. Maka, ada yang tidak berpuashati kerana kononnya mereka nampak macam tulisan Allah.

Apatah lagi pemiliknya pula non-muslim. Kes itu dirujuk kepada saya sebagai Mufti Negeri.

Pemiliknya pun dah mula bimbang sebab barang dah banyak yang dicetak guna nama tersebut.

Saya bertanya kepada yang membantah “dia tulis apa?”.

Jawab mereka: “All in”. Tanya saya: “Jadi, apa masalahnya?”. Jawab mereka: “Nampak macam tulisan Allah”.

Saya kata: “Dia tak tulis Allah, hampa yang nampak macam Allah. Huruf pun jelas All in, bukan Allah.

Kita nilai apa yang terzahir pada tulisan tu bukan apa yang bermain dalam fikiran.

Namun, jika kita dapati ada rencana untuk mempersendakan Umat Islam, barulah kita ambil tindakan yang sewajarnya. Jika tiada, jangan timbulkan masalah”.

Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis – 8/4/2024

vern-tauke3-okkk

Isu kalimah Allah : Tauke Vern’s jumpa Jakim…janji masa depan lebih hati hati

Pengasas syarikat Vern’s Holding Sdn Bhd Datuk Seri Ng Chuan Hoo pada Isnin beri keterangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu logo di tapak kasut keluarannya didakwa mirip kalimah ALLAH.

Beliau yang ditemui wartawan dekat lobi pejabat Jakim di Putrajaya selepas hampir sejam beri keterangan memohon maaf dan bertekad menjadikan isu sebagai satu iktibar supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.

“Saya minta maaf (dalam) isu ini, saya belajar daripada salah faham ini dan akan lebih sensitif dan lebih berhati-hati pada masa hadapan. Masa depan berniaga kena berhati-hati dan hormat.”

Menurut Chuan Hoo pihaknya akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan Jakim serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu itu.

Katanya ketika isu berkenaan tercetus, beliau telah mengarahkan supaya kasut berkenaan terus disimpan dan tidak dijual di mana-mana kedai.

“Saya terus beri arahan, terus simpan dan tidak bagi jual lagi… langkah pertama kena hormat,” katanya.

Sementara itu menerusi satu kenyataan selepas pertemuan dengan Chuan Hoo…Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff kata Jakim memandang serius isu logo kasut itu.

Katanya Jakim mengingatkan Vern’s Holding Sdn Bhd supaya lebih peka terhadap isu yang melibatkan agama dan kaum.

Pertemuan pengurusan Vern’s dan Jakim diadakan ekoran arahan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ekoran berbangkitnya isu logo kasut yang mirip kalimah Allah.-8/4/2024

tapak-kasut

KEMASKINI : Isu kalimah Allah : 1,145 kasut jenama Vern’s telah dirampas…

Polis akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam siasatan untuk menentukan kebenaran isu logo mirip kalimah Allah pada kasut jenama tempatan Vern’S.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain kata,” Jabatan Siasatan Jenayah akan berurusan dengan Jakim untuk melihat (sama ada) adakah itu (logo) mengikut model kasut tersebut atau itu adalah khat yang melambangkan tulisan (kalimah) Allah

“Apa yang mustahak adalah laporan daripada Jakim sendiri,” katanya.

Serentak dengan Itu Razarudin yang ditemui wartawan di Kuala Lumpur Isnin memberitahu sejumlah 1,145 kasut jenama Vern’s telah dirampas, susulan dakwaan logo mirip kalimah Allah di tapaknya.

Razarudin berkata rampasan dibuat di empat negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur.

Pada Ahad semalam syarikat Vern’s menjelaskan logo pada tapak kasut keluarannya telah disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan,” katanya.

Pada masa sama, syarikat itu mengakui kekurangan pada logo tersebut sehingga boleh disalah tafsir, dan maka memohon maaf dan telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan serta sedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

Setakat semalam, polis telah menerima lapan laporan berhubung perkara itu.- 8/4/2024

Kini…tengah hangat isu lakaran menyerupai kalimah Allah di tapak kasut pula…

Baru saja nak reda isu stoking kalimah Allah di KK Mart…kini berlegar pula isu lakaran menyerupai kalimah itu di tapak kasut sebuah jenama tempatan.

Kasut jenama tempatan iaitu Vern’s mula timbul di TikTok pada 23 Mac.

Namun, ia mengundang perhatian ramai pada Ahad apabila hantaran mengeninya dimuat naik oleh satu pasangan di Facebook.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang baru ini pelopori tindakan boikot dalam isu KK Mart juga telah terima maklumat mengenai isu kalimah Allah di tapak kasut pada pagi Ahad.

Akmal memberitahu beliau telah mencari maklumat mengenai logo di tapak kasut yang dikatakan kalimah Allah.

Akmal berkata beliau pada mulanya marah apabila mendengar tentang perkara itu namun beliau membuat semakan terlebih dahulu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan.

“Dan saya terbaca satu posting yang memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali dan begitu juga dari pemandangan mata saya

“Ada logiknya disitu tetapi apa sekalipun kita mendesak satu penjelasan yang segera dari pihak syarikat Vern’s mengenai isu ini.

“Jika tiada penjelasan dari pihak kamu dalam tempoh 24 jam,maka jangan salahkan kami jika boikot terhadap produk kamu pula selepas ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memanggil pihak berkaitan, esok, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan.

“Saya telah mengarahkan Jakim untuk memanggil pihak berkaitan pada esok hari, 8 April 2024 bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menyalurkan ia kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan memberikan ruang kepada Jakim serta pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan ini.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya telah jelas membuat tindakan yang menghina agama Islam,” katanya.-7/4/2024

pistol-wifehus

Pasangan suami isteri disyaki jual senjata pada lelaki Israel didakwa di mahkamah…

Pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana disyaki jual senjata kepada lelaki Israel, Shalom Avitan yang dicekup polis pada 27 Mac lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada Isnin.

Pasangan berkenaan ialah Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43.

Mengikut kertas pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang, iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor, pada jam 8 malam 29 Mac lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.

Abdul Azim pula didakwa didapati ada bersama Syarifah Faraha, yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki itu mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, pada waktu dan lokasi sama.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mereka berdua yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah.

Hakim menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.

Pasangan suami isteri itu yang menggangur diberkas di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom Avitan, selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang di dalam kereta milik pasangan terbabit.

Shalom Avitan, 38, yang guna paspot Peranchis masuki ke Malaysia menerusi KLIA ditahan pada 27 Mac lalu di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger berserta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati Shalom yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu melalui penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sewaktu disoalsiasat polis dia mendakwa datang ke Malaysia untuk membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.- 8/4/2024

ZAFRUL-megat

Kepimpinan Umno Selangor kesal dengan dakwaan Tengku Zafrul…

Seperti yang diduga kepimpinan Umno Selangor ‘kurang senang’ pada teguran Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dakwa Umno negeri itu lesu dan hambar.

Akhbar Berita Harian memetik Ketua Penerangan Umno Selangor Mohd Zaidi Md Zain sebagai memberitahu Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin tidak akan menjawab tuduhan Tengku Zafrul melalui media, sebaliknya akan bersemuka dengannya.

Tengku Zafrul yang kini merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja pada 1 April lalu umum letak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor kerana kecewa tidak nampak langkah konkrit untuk bangkit semula selepas kalah teruk dalam pilihanraya negeri dan pilihanraya umum.

Beliau mengingatkan prestasi buruk Umno Selangor dalam PRU15 dan PRN 2023 sebagai amaran terakhir untuk berubah.

Mohd Zaidi yang juga Ketua Umno Bahagian Bangi berkata Tengku Zafrul perlu berhenti membuat kenyataan yang boleh mengaibkan dirinya sendiri serta mengelirukan ramai pihak, terutama ahli Umno.

“Sebaliknya, sebagai pemimpin parti, lebih baik dia menyertai usaha mengukuhkan parti bersama kepimpinan Selangor dan pusat daripada hanya menikmati hasil jerit perih perjuangan dilakukan ahli Umno yang ikhlas kepada parti walaupun mereka tidak memegang jawatan tinggi dalam parti mahupun kerajaan,” kata Mohd Zaidi seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Mohd Zaidi juga mendakwa Setiausaha Politik Tengku Zafrul yang juga Ketua Umno Bahagian Klang berkata menteri itu tidak memaklumkan kepadanya sebelum menyuarakan kritikannya.

“Selain itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja juga turut mengesahkan Tengku Zafrul tidak pernah berbincang dengan kepimpinan bahagian sebelum mengeluarkan tuduhan itu, walhal mereka ada bersama dalam program Umno bahagian sehari sebelum kenyataan itu dikeluarkan,” dakwanya lagi.

Juga katanya mesyuarat Umno Selangor malam tadi sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Megat Zulkarnain.

“Semua yang hadir menyatakan kekesalan dengan tuduhan Tengku Zafrul yang tidak berasas dan jauh daripada fakta sebenar, ” katanya.

Beliau berkata Umno Selangor sedang membuat penelitian menyeluruh dan merangka strategi baru selepas kekalahan dalam pilihan raya lalu.- 7/4/2024

vern

Vern’s keluar kenyataan minta maaf….hentikan jualan kasut…anggap logo disalahtafsir

Ekoran dari meletupnya isu lakaran menyerupai kalimah Allah di tapak kasut jenama tempatan Vern’s…pihak pengurusan syarikat itu segera mengeluarkan kenyataan meminta maaf pada petang Ahad.

Syarikat itu telah menghentikan jualan kasut berkenaan serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli kasut berkenaan.

Apapun kata Vern’s pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Ia menjelaskan logo yang cetus kontroversi itu 100% diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.( seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan)

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH VERN’S

Kenyataan Media oleh Pengurusan Vern’s Berkaitan Reka Bentuk Logo

Kami pihak pengurusan Vern’s telah dimaklumkan mengenai satu isu yang telah menyinggung ramai pihak terutama yang beragama Islam.

Pertama sekali, ingin dijelaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Dan kami berharap agar diberikan ruang untuk menjelaskan reka bentuk logo tersebut.

Untuk pengetahuan semua, logo ini 100% diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Sementara itu dalam reaksinya menerusi facebook Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengucapkan terima kasih atas penjelasan Vern’s Holding Sdn Bhd berhubung logo salah satu kasut tumit tinggi keluaran syarikat itu.

Menurut Akmal, penjelasan bahawa logo itu bukan kalimah Allah memberikan kelegaan kepada umat Islam.

“Salah faham telah terungkai bahawa ia bukanlah kalimah Allah tetapi ia adalah logo kasut bertumit tinggi dan syarikat juga telah menghentikan pengeluaran kasut ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat atas penjelasan yang memberikan kelegaan kepada semua umat Islam.” katanya.




– 7/4/2024