mae-emadani

Kredit eMADANI melalui MAE boleh diguna di 700,000 peniaga

RAKYAT Malaysia berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 apabila mereka menebus dan membelanjakan kredit e-dompet RM100 eMADANI menerusi aplikasi MAE Maybank.

Sebagai sokongan penuh kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana, pengguna juga boleh mendapatkan penyertaan tambahan dengan ‘Tap, Track, Win’ apabila mereka Imbas & Bayar dengan MAE di lebih 700,000 peniaga di seluruh negara seperti 99 Speedmart, MyNEWS, MYDIN, WATSONS, Guardian, EcoShop, CHAGEE, Nasi Kandar Pelita, NINJAZ dan banyak lagi.

Pengguna berpeluang memenangi hadiah termasuk Proton S70 1.5T Premium, Proton Exora 1.6T Premium, Proton Saga 1.3L Premium SAT, motosikal Honda 2023 RSX V2, 10g emas, komputer riba ‘gaming’, Samsung Z Fold 5, Smart TV, PlayStation 5 dan wang tunai sehingga RM5,000 sempena Kempen Tebus, Belanja dan Menang.

Tuntutan kredit RM100 eMADANI boleh dilakukan hingga 20 Februari 2024, manakala pembelian dibuat dari 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Kredit e-dompet RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas daripada golongan B40 dan M40 bermula 4 Disember, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.

“Pengguna hanya perlu membuka aplikasi MAE, kemudian tekan ikon ‘eMADANI’ pada laman utama, masukkan maklumat mereka dan tekan ‘Submit’. Mereka akan menerima notifikasi apabila penebusan RM100 eMADANI berjaya,” menurut kenyataan Maybank.

Terdapat dua cara untuk Imbas & Bayar bagi menggunakan kredit RM100 eMADANI ketika pembayaran menerusi aplikasi MAE, sama ada dengan mengimbas kod QR peniaga atau menunjukkan kod QR kepada juruwang untuk diimbas.

“Jika kod QR Maybank atau DuitNow peniaga dipamerkan di kaunter, pelanggan terlebih dahulu perlu menekan ikon ‘Scan’ pada laman utama aplikasi MAE, kemudian imbas kod QR peniaga dan masukkan jumlah yang perlu dibayar, pastikan suis togol eMADANI ‘ON’ dan berwarna hijau.

“Bagaimanapun, sesetengah peniaga akan meminta untuk mengimbas kod QR pelanggan. Dalam hal ini, pelanggan perlu menekan ikon ‘Scan’ pada laman utama aplikasi MAE, kemudan tekan pada ikon ‘Show QR code’ dan tunjukkan kod QR atau kod bar kepada juruwang, pastikan suis togol eMADANI ‘ON’ dan berwarna hijau,” menurut Maybank.

Aplikasi MAE, iaitu aplikasi perbankan gaya hidup, terpilih sebagai antara aplikasi pengagihan kredit eMADANI yang memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat Malaysia daripada golongan B40 dan M40, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan dan penerimaan terhadap pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga tempatan di negara ini.

kpj-tawakkal

Hospital swasta Malaysia dijangka terus ‘buat duit’…

POPULASI rakyat Malaysia yang semakin tua dan berduit ada faktor yang terus menyokong pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia, kata penyelidik Kenanga Research.

Dalam nota kepada media, Kenanga Research menganjurkan perbelanjaan sektor penjagaan kesihatan dijangka mencecah USD10 trilion menjelang 2026, meningkat daripada USD8.4 trilion pada 2022, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, permintaan untuk penjagaan kesihatan swasta akan terus meningkat pada 2024 disokong oleh penambahan kapasiti pesakit dan hasil yang lebih tinggi.

Mereka menamakan dua konglomerat penjagaan kesihatan terkemuka Malaysia IHH Healthcare Bhd dan KPJ Healthcare Bhd sebagai pilihan utama.

Syarikat penyelidikan itu menjangkakan kedua-dua pengendali hospital swasta tersebut mendapat manfaat daripada pemulihan dalam permintaan untuk pembedahan elektif, kecekapan operasi yang lebih baik, pengoptimuman kos dan penyerapan overhed.

“Faktor pertumbuhan utama adalah peningkatan pesakit dalamam dan jumlah hunian katil dan pelancong perubatan, penambahan katil baharu (sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan yang beransur-ansur berkurangan),”ujar laporan tersebut.

“Kami menjangkakan prestasi yang mampan di Malaysia, manakala kekurangan kakitangan di Singapura telah diselesaikan.

Firma itu menjangkakan pertumbuhan 8.0 peratus dalam pengeluaran pesakit KPJ Healthcare Bhd berbanding 6. 0 peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023 (FY23).

QZAIRASIA

Hari ini dalam sejarah: Air Asia jatuh di Kalimantan

HARI INI, sembilan tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian pesawat syarikat penerbangan murah terkemuka Air Asia terhempas di perairan Selat Karimata Kalimantan Tengah.

Pesawat milik Air Asia Indonesia dengan no pendaftaran QZ8501 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Dua juruterbang, empat krew kabin, termasuk 156 penumpang telah diisytiharkan maut dalam kemalangan itu. Selepas siasatan yang teliti, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) mengumumkan dapatan mereka mengenai apa sebenarnya yang terjadi.

Berikut ringkasan laporan tersebut.

AirAsia QZ8501 terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, pukul 05.35 pagi. Setelah berlepas, juruterbang mengesan gangguan pada sistem pengehad perjalanan kemudi (RTL) di bahagian ekor pesawat dan gangguan ini dikesan melalui isyarat amaran pada pukul 06.01 pagi.

Mengetahui bahawa terdapat gangguan, juruterbang cuba mengatasi masalah ini dengan mengikuti prosedur yang terkandung dalam pemantauan pesawat berpusat elektronik (ECAM).

Bagaimanapun, gangguan yang sama berlaku lagi pada pukul 06.09 pagi dan mendorong juruterbang mengambil tindakan menggunakan prosedur yang sama.

Empat minit selepas masalah kedua berlaku, terdapat satu lagi masalah dengan bahagian yang sama dan tanda amaran yang serupa. Juruterbang kemudian kembali menjalankan prosedur berdasarkan ECAM.

Walau bagaimanapun, masalah dalam bahagian yang sama muncul semula. Menurut Pengerusi KNKT Soejanto Tjahjono juruterbang menukar prosedur yang tidak mengikut ECAM selepas gangguan keempat berlaku.

Katanya, masalah ini berbeza dengan tiga gangguan sebelum ini. Pada masa itu, juruteknik pesawat menetapkan semula pemutus litar (CB) pada komputer pembesaran penerbangan (FAC).

Penyiasat KNKT mengesyaki juruterbang melakukan pengendalian berbeza semasa gangguan keempat selepas teringat apa yang dilakukan juruteknik pada 25 Disember 2014. Juruterbang itu didakwa menetapkan semula CB supaya gangguan RTL itu diselesaikan.

Bagaimanapun, usaha ini sebenarnya telah menyahaktifkan FAC 1 dan 2. Keadaan kedua-dua komputer yang tidak aktif menyebabkan kawalan pesawat berubah daripada autopilot kepada manual.

Pesawat kemudian bergolek enam darjah sesaat apabila penerbangan dilakukan secara manual. Malah, biasanya pesawat hanya berputar dua atau tiga darjah sesaat. Ini disebabkan oleh kerosakan pada RTL, yang merupakan salah satu alat kawalan stereng pesawat.

Selepas sembilan saat tiada kemudi, AirAsia QZ8501 kemudian bergolek 54 darjah.

Juruterbang sebenarnya mempunyai masa untuk mengawal pesawat kerana ia bergolek selepas input menjadikan kedudukannya normal. Bagaimanapun, hidung QZ8501 naik dan menyebabkan pesawat itu mendaki ke ketinggian yang melampau.

Pada masa itu, kelajuan QZ8501 mencapai 11,000 kaki seminit, daripada 32,000 kaki kepada 38,000 kaki. Pada ketinggian 38,000 kaki, QZ8501 berguling ke sudut 104 darjah yang menyebabkan pesawat itu mengalami keadaan terhenti.

Pesawat itu turut mengalami kelajuan paling rendah 57 knot, kemudian turun pada ketinggian 29,000 kaki dan cerun 104 darjah.

Fiuslaj sebenarnya kembali ke kedudukan normalnya pada ketinggian itu, tetapi pesawat berada di luar kawalan juruterbang. QZ8501 kemudiannya terjun ke laut, membunuh seluruh anak kapal termasuk ratusan penumpang di dalamnya.

“Pesawat itu hilang daya angkat, tetapi dapat kembali ke kedudukan stabil. Jadi, sehingga turun ke laut, ia seolah-olah dalam keadaan biasa (seperti melakukan pendaratan),” jelas Soerjanto. -Kompas.com

disel1

Bekalan diesel di semua stesen Petronas terjejas akan pulih dalam dua hari

Petronas Dagangan Bhd mengumumkan bahawa bekalan diesel di stesen-stesen Petronas yang terjejas di seluruh negara akan pulih sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Petronas Dagangan berkata pemulihan semula bekalan akan dilakukan dalam tempoh dua hari lagi.

“Kami kekal komited untuk memberikan perkhidmatan tanpa gangguan kepada pelanggan kami dan menjadikan kehidupan harian mereka lebih mudah dan bermanfaat. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama anda sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.

Pada Selasa, syarikat itu memaklumkan bahawa beberapa stesennya di seluruh negara sedang menghadapi kehabisan stok diesel, dan isu berkenaan dijangka berterusan sehingga 31 Dis, 2023.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat daripada Petronas mengenai gangguan bekalan yang menjejaskan hampir semua stesen minyaknya di negeri itu dan juga di Sabah.

KPDN Sarawak menambah, melalui Bahagian Penguatkuasaannya, ia giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di semua stesen minyak.- Bernama-28/12/2023

ericsc

Ketua ‘Mafia’ Eropah kena tangkap di Turki

MANA MAU LARI… Eric Schroeder, ketua kumpulan jenayah terancang yang dikehendaki dalam senarai notis merah Interpol yang dikeluarkan oleh Jerman, ditangkap di Istanbul, menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye pada Rabu.

Schroeder diburu kerana menubuhkan organisasi dengan niat untuk melakukan jenayah, pengubahan wang haram daripada aset jenayah dan pengedaran dadah, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Ali Yerlikaya di X.

“Dia dikehendaki oleh pihak berkuasa Jerman kerana menjalankan perdagangan dadah di Hamburg, mengetuai organisasi melakukan jenayah dan pengubahan wang haram daripada aset jenayah. Dia dituduh terlibat dalam pengedaran dadah dalam 24 kejadian, melibatkan 784 kilogram ganja dan 154 kilogram kokain,” kata Yerlikaya.

“Dia juga terlibat dalam rompakan kontena yang mengandungi 1.1 tan kokain, bersama-sama anggota sindiket jenayah bersenjata Hells Angels. Beliau dipercayai mengurus hal ehwal kewangan pengedar dadah antarabangsa bernama Joseph Johannes Leijdekkers di Eropah dan mengubah wang haramnya,” kata beliau.

Schroeder ditahan dalam operasi Cage-25 Turkiye, menurut menteri dalam negeri, sambil berjanji bahawa Türkiye tidak akan membenarkan kumpulan jenayah terancang antarabangsa dan pengedar dadah yang mengganggu ketenteraman awam beroperasi dengan bebas, dan mereka akan ditangkap satu demi satu.

Polis turut merampas wang, jam tangan berjenama, telefon bimbit, kad SIM, pasport dan kad pengenalan atas pelbagai nama, kata Yerlikaya.

nikahxx

Biar betul…ini antara taktik kotor rebut tender kerajaan

Kalau baca kisah ini kita tentu akan duduk termenung apalah nasib peniaga khususnya bumiputra nak cari makan bida tender projek kerajaan gara gara kegiatan seperti ini.

Pernah bayangkan ada pemilik syarikat hingga sanggup kahwin empat semata mata untuk tujuan itu.

Hal ini didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail bila memberitahu mengenai syarikat-syarikat terbabit dikesan cuba memanipulasi tawaran tender.

Beliau bercakap dalam temu bual program Niaga AWANI bertajuk ‘Jangan Duga Taring MyCC’ pada Rabu.

Menurut laporan Awani Iskandar dipetik sebagai memberitahu lebih 500 syarikat kini berada di dalam ‘radar’ MyCC kerana dipercayai membentuk ‘kartel’ untuk membida tender projek kerajaan.

Antara modus operandi adalah, ada pemilik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.

katanya syarikat-syarikat terbabit dikesan cuba memanipulasi tawaran tender.

“Antara modus operandi ialah mereka ini berkomplot atau bersekongkol antara satu sama lain dan menyerahkan tender secara beramai-ramai…. (sebagai contoh) 50 syarikat sekali (hantar bidaan tender).

“Selepas itu mereka isi borang sama-sama, pergi lawatan tapak secara bersama… kalau surat itu ada salah ejaan, semua borang akan salah ejaan sebab pakai pencetak yang sama.

“Jadi mereka ini akan ‘menentukan’ siapa pemenangnya (dengan berpakat harga tender) dan seterusnya mengagihkan sesama sendiri seolah-olah tender kerajaan itu ‘harta’ mereka,” katanya.

Mengenai tindakan pemilik syarikat berkahwin ramai, Iskandar mendedahkan ia adalah antara cara digunakan mereka untuk memperbanyakkan bilangan syarikat yang sebenarnya hanya berperanan sebagai proksi.

“Ada (pemilik syarikat) yang kahwin empat supaya mereka boleh membina satu empayar syarikat di mana syarikat ‘A’ akan dipegang oleh bapa mentua pertama, syarikat ‘B’ dipegang bapa mentua kedua, syarikat C pula milik adik ipar, syarikat D pula dipegang oleh anak saudara, syarikat lain pula isteri-isteri pegang.

“Ini seolah-olah mencipta satu empayar dengan 50 syarikat (contohnya) membida secara bersama,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan membuka tawaran tender kepada pihak berkelayakan dengan tujuan mendapatkan syarikat yang terbaik yang mampu menawarkan perkhidmatan berkualiti dengan harga yang munasabah dan kompetitif.

Namun, tindakan syarikat terbabit hanya menghasilkan ilusi seolah-olah tawaran harga mereka adalah yang terbaik, sehingga menjejaskan peluang syarikat lain yang benar-benar berkemampuan.

Selain tipuan bida kontrak kerajaan, beliau juga menegaskan pihaknya turut memantau aktiviti melibatkan kartel syarikat berkaitan bekalan makanan dan pertanian.

Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan kekangan kerana proses siasatan mungkin mengambil masa lebih lama ekoran pihaknya perlu mengumpul bukti-bukti yang kukuh sebelum dikemukakan kepada anggota suruhanjaya. – 27/12/2023

daim-drm

Dr Mahathir ‘ tembak’ isu Daim disiasat SPRM

Kalangan yang cukup faham lenggok bahasa dan stail Tun Dr Mahathir Mohamad dakwa mereka yakin kenyataan beliau tidaklah straightfoward seperti yang dikata.

Ikut penilaian mereka ia jelas bernada sinis.

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu dipercayai jelas merujuk kepada isu SPRM sita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai Kuala Lumpur.

Bangunan tidak jauh dari KLCC setinggi 60 tingkat ialah milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Dibawah tajuk ‘ The rule of law’ dalam kenyataan menerusi aplikasi X itu beliau terus ‘tembak’ bahawa semua orang yang bergelar ‘Tun’ harus disiasat.

Beliau juga secara sinis berkata tidak perlu dapatkan bukti dokumentari dan syak saja sudah sudah cukup.

“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.

“Tidak perlu mendapatkan bukti dokumentari tentang salah laku mereka. Syak wasangka sahaja sudah memadai.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, ia pasti kerana mereka mahu menyembunyikannya,” katanya.

Semua orang tahu Daim ialah orang yang rapat dengan Dr Mahathir.

Beliau pernah menjadi Bendahari UMNO dan Menteri Kewangan di zaman pentabiran beliau dulu.

Setakat ini Daim belum keluar sebarang kenyataan mengenai tindakan SPRM.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sudah mengesahkan Daim disiasat atas dakwan rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Azam Baki turut menjelaskan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar ini Jumaat lalu, tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan itu.

Selain ruang pejabat,pada bangunan itu juga terdapat sebuah hotel lima bintang.

“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.

“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.

Azam Baki berkata, proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara meminta semua pihak tidak buat tafsiran dan serahkan pada SPRM jalakan tugas dan tanggongjawab mereka.

“Setiap kali kita sentuh orang besar maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil ribuan kita sentuh tidak ada apa-apa. Sistem apa begitu,” katanya.

Beliau menafikan ada muslihat tertentu berhubung tindakan SPRM menyita Menara Ilham.

Anwar berkata siasatan badan anti rasuah itu membuktikan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.

SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, sebab itu saya sebut Tun ke, Tan Sri, kalau tidak nanti ada kritikan ikan kecil ditangkap tetapi kepala tidak boleh disentuh,” katanya/

“Jadi itu tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran.

Ramai yang ternanti nanti untuk mendapat maklumat lanjut dan perkembangan isu ini.-27/12/2023

airasia

Pesawat terkandas 27 jam di airport Incheon… ini penjelasan Air Asia

HEBOH di Korea berkaitan pesawat membawa kira-kira 50 penumpang yang hendak kembali ke Malaysia terkandas lebih 27 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 24 Dis 2023.

Syarikat penerbangan tambang murah terkemuka Malaysia, Air Asia membenarkan dakwaan tersebut sekaligus menekankan bahawa mereka telah menyediakan semua kemudahan untuk penumpang terkandas seperti yang diperuntukkan.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Bernama susulan laporan berita Korea Selatan mengenai penumpang yang terkandas di lapangan terbang selama lebih sehari kerana masalah teknikal.

Ketika ditanya sama ada AirAsia akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu, syarikat penerbangan itu berkata ia tidak akan kerana ia telah menyediakan semua peruntukan kepada tetamu yang terjejas.

Menurut laporan, penerbangan yang pada asalnya dijadualkan berlepas pada 7:35 pagi hari sebelumnya, menghadapi kelewatan awal selama 18 jam kerana kakitangan syarikat penerbangan membuka pintu masuk untuk penumpang hanya selepas menyelesaikan masalah enjin.

“Sejurus sebelum meninggalkan lapangan terbang, satu lagi kesilapan teknikal muncul. Disebabkan kelewatan yang berlarutan, juruterbang membenarkan penumpang meninggalkan pesawat pada kira-kira jam 3:20 pagi Ahad, dan 50 penumpang melakukannya,” katanya.

kapalterbang

Sorotan tragedi 2023…

Nahas udara melibatkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang mengorbankan 10 individu termasuk dua pengguna jalan raya berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lepas merupakan antara tragedi paling mengejutkan rakyat Malaysia pada tahun ini.

Tragedi pada 2.50 petang Khamis itu mengorbankan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun, juruterbang pesawat berkenaan Shahrul Kamal Roslan, 41, dan Heikal Aras Abdul Azim, 45.

Nahas pesawat malang itu turut mengorbankan lima penumpang lain iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, serta seorang penunggang motosikal (p-hailing) Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32.

Pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV yang dikendalikan Jetvalet Sdn Bhd itu terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang.

Laporan Awal Kemalangan Pesawat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) pada 15 Sept lepas, menolak faktor juruterbang sebagai punca nahas berkenaan.

Insiden itu merupakan yang kelima melibatkan jenis pesawat sama sejak 1977 dan kali kedua berlaku di Elmina, dengan kali pertama pada 27 Sept 1977 yang mengorbankan 34 orang dalam tragedi Japan Airlines Flight 715.

Sementara itu, tragedi kepala air di Kampung Air Puteh, Kemaman, Terengganu pada 1 Julai lepas turut meruntun hati rakyat negara ini apabila meragut 10 nyawa termasuk sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir 3, Pahang dan seorang bakal menantu ahli keluarga itu berasal dari Batu Pahat, Johor.

Mereka dilaporkan telah pergi ke kawasan berkenaan yang terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Banui untuk berkelah sebelum dihanyutkan kepala air.

Sembilan sekeluarga terbabit adalah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta tujuh anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira, 4, Putri Nur Fatin, 14, Putri Alleya Maisarah, 16, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, serta tunangnya Muhammad Fikri Saliman, 24.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 mangsa tragedi kepala air itu melibatkan 279 anggota pasukan keselamatan antaranya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan mengumumkan operasi mencari mangsa terakhir iaitu Putri Nor Fatin ditamatkan pada 5 Julai lepas dan sehingga berita ini disiarkan tiada sebarang petunjuk bagi penemuan mangsa.

Jenazah lapan daripada sembilan sekeluarga yang terkorban dalam tragedi itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada 5 Julai, manakala jenazah Muhammad Fikri Saliman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor pada 8 Julai.

Sementara itu, kemalangan jalan raya terus menjadi antara pembunuh utama rakyat Malaysia dan antara nahas tragis dilaporkan ialah yang berlaku di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang pada 8 Feb yang mengorbankan tujuh nyawa, manakala tujuh lagi cedera.

Kesemua mangsa dilaporkan menaiki van persiaran dari Genting Highlands dan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, sebelum kenderaan yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan menyebabkan Wong Choun Chiet (pemandu), 49, Foong Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Goh Siew Kim, 61, Ang Meng Hing, 62, Seow Mee Tin, 72, dan Chang Them Kong, 70, meninggal dunia.

Paling menyayat hati, kemalangan tragis di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat, Johor, pada 1 Sept lepas, yang mengorbankan enam sekeluarga dan seorang parah setelah kenderaan Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir.

Kemalangan tersebut melibatkan lima kenderaan, dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HRV memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan sebelum lori yang bergerak dari arah sama gagal membrek dan hilang kawalan lalu bertembung dengan Perodua Alza dinaiki tujuh sekeluarga itu.

Pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka Fatimatulzahrah Amir Ruddin,17, Seri Khadijah Aqilah,13, Rufaidatul Asyariyah,10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia dalam kejadian itu, manakala seorang lagi, Abdullah, 15, cedera parah.

Kemalangan itu yang menyebabkan anak sulung keluarga tersebut, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, dan adiknya, Abdullah menjadi yatim piatu dalam sekelip mata, turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.

Selain itu, insiden runtuhan gudang logistik sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Pulau Pinang pada 28 Nov lepas turut mengejutkan rakyat Malaysia apabila tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut, manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah.

Laporan awal menyebut sembilan pekerja binaan dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu, bagaimanapun semakan terhadap kemera litar tertutup di kawasan pembinaan mendapati empat daripadanya telah melarikan diri semasa kejadian.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Md Ahed Ali, 42, Mohammad Mokaddes Ali, 46, dan Mohd Sayful Islam, 29, manakala yang parah adalah Md Uzzal Mridha, 30, dan Md Razu Ahamad, 33, yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).-Bernama

padu-y

Peluncuran PADU untuk menjayakan satu dari reformasi utama ekonomi negara

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim akan meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) kerajaan pada hari Selasa, 2 Januari 2024 ini.

Orang ramai dijemput hadir untuk mendengar sendiri bagaimana PADU akan menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan. Bagi mereka yang ingin menyertai acara peluncuran ini, saudara/i boleh mendaftar di laman https://setahun.ekonomi.gov.my/

Mereka yang tidak dapat menyertai boleh mengikuti acara melalui maya yang akan disiarkan di media sosial bermula jam 10 pagi.

PADU adalah satu pangkalan data sosio-ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran (mereka yang patut dapat tercicir, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan).

Bagaimana PADU boleh mengurangkan risiko keciciran ini?

  1. PADU menggabungkan data dari pelbagai agensi kerajaan untuk membina maklumat lengkap setiap isi rumah – ibubapa, anak, pendapatan setiap isi rumah, tempat tinggal, jumlah tanggungan, jumlah anak bersekolah, kenderaan, harta, setiap bantuan yang diterima, bantuan kerajaan yang layak diterima dan sebagainya
  2. PADU menggunakan pendekatan pendapatan boleh belanja (bukannya pendapatan kasar) selepas mengambil kira tanggungan, jumlah isi rumah, kos sara hidup yang berbeza mengikut lokasi dan sebagainya untuk memastikan penilaian yang lebih adil berbanding pendekatan pendapatan mengikut B40-M40-T20
  3. PADU membolehkan semak silang data isi rumah untuk mengelakkan maklumat yang tidak tepat dalam permohonan bantuan kerajaan

Untuk memahami keberhasilan PADU dengan lebih mendalam, orang ramai boleh melayari https://www.ekonomi.gov.my/ms/padu

PADU adalah komponen utama untuk menjayakan satu dari reformasi utama ekonomi negara iaitu pelaksanaan subsidi bersasar. Kelayakan penerima subsidi bersasar akan ditentukan berdasarkan status sosio-ekonomi isi rumah rakyat Malaysia di dalam PADU.

Selepas diluncurkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 ini, PADU akan dibuka kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengesahkan dan/atau mengemaskini data isi rumah mereka selama tiga bulan.

Saya akan terus memberi maklumat terperinci mengenai PADU dalam tempoh seminggu ini. Mohon semak berita-berita dan kandungan digital mengenai PADU di semua platform setiap hari untuk mendapat maklumat lanjut.

Sekali lagi saya menjemput orang ramai untuk turut sama dalam acara peluncuran PADU pada 2 Januari ini. Daftar kehadiran anda di capaian https://setahun.ekonomi.gov.my/ untuk memudahkan pengurusan majlis pada hari itu.

Saya mohon orang ramai menyebarkan berita ini untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai PADU dan langkah subsidi bersasar yang akan dilaksanakan dalam tahun 2024 ini.

RAFIZI RAMLI
MENTERI EKONOMI
26/12/202