banjirthai

Bah besar di Selatan Thai… puluhan ribu terjejas

Banjir yang disebabkan oleh hujan lebat telah menjejaskan berpuluh-puluh ribu penduduk di selatan Thailand dengan beberapa jalan dan laluan kereta api terpaksa ditutup.

Puluhan buah sekolah di wilayah Yala dan Narathiwat juga terpaksa ditutup, manakala rakaman video dari wilayah itu menunjukkan rumah dan kedai ditenggelami air keruh dan penduduk berlindung di tingkat atas.

Hujan lebat juga menyebabkan masalah di laut dengan sekurang-kurangnya tujuh bot karam di Teluk Thailand dan Laut Andaman sejak 22 Disember.

Syarikat kereta api pemerintah berkata akibat landasan ditenggelami air, kereta api menuju ke selatan ke sempadan Malaysia terpaksa dihentikan di Yala – 100 kilometer jauhnya.

Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada penduduk di wilayah itu supaya bersedia untuk berpindah sekiranya banjir semakin buruk.

Lima wilayah dilaporkan dilanda banjir dengan Narathiwat adalah yang paling buruk. Empat wilayah lain ialah Yala, Pattani, Songkhla dan Satun, menurut laporan Kementerian Dalam Negeri Thailand.

Jurucakap kementerian itu, Traisuree Taisaranakul, dipetik akhbar Bangkok Post sebagai berkata bahawa hujan berterusan sejak 22 Disember telah mengakibatkan banjir, menjejas 19,624 keluarga di 24 daerah di lima wilayah itu.

Narathiwat adalah yang paling teruk dilanda banjir dengan 16,680 keluarga terjejas di 11 daerah di wilayah itu.

Banjir dilaporkan di enam daerah di Yala, empat daerah di Pattani, dua di daerah Songkhla dan satu daerah di Satun.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, dan beberapa orang menteri Kabinet dijadualkan melawat wilayah yang dilanda banjir itu selepas mesyuarat Kabinet pada 26 Disember, jelas Traisuree.

imijbbbb

Ini video lama…

Entahlah…apa motif pihak tertentu sebar video kononnya berlaku kesesakan di lapangan terbang akibat dibanjiri oleh pelancong warga China.

Sebenarnya ia adalah video lama yang dirakamkan pada tahun 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat COVID-19 ditamatkan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Dato Ruslin Jusoh pada Ahad telah mengeluarkan satu kenyataan untuk menjelaskan hal ini.

KENYATAAN MEDIA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
MAKLUM BALAS VIDEO YANG TULAR DAKWAAN SITUASI KESESAKAN DISEBABKAN KEBANJIRAN WARGANEGARA CHINA DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada video yang tular dakwaan berlaku kesesakan di lapangan terbang akibat dibanjiri oleh pelancong warga China.

JIM ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah video lama yang dirakamkan pada tahun 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru semasa pintu masuk negara mula dibuka

selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat COVID-19 ditamatkan. Video itu dirakamkan semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. JIM juga ingin menafikan bahawa rakaman tersebut telah dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara.

Mengikut rekod, secara purata pergerakan keluar dan masuk di BSI adalah 250,000 pada hari-hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim-musim perayaan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat. Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan Jabatan ini.

DATO’ RUSLIN BIN JUSOH
KETUA PENGARAH IMIGRESEN
MALAYSIA

matsabu-muhajid

Mujahid Timbalan Presiden Amanah ganti Allahyarham Salahuddin…Mat Sabu kekal Presiden

Datuk Seri Mujahid Yusof telah dilantik mengisi jawatan Timbalan Presiden Amanah yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub.

Datuk Seri Mohamad Sabu kekal pegang jawatan Presiden untuk penggal ketiga.

Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu turut membuat keputusan untuk tiga jawatan Naib Presiden yang masing-masing kini diisi oleh Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud, serta Adly Zahari.

Mereka mengantikan Datuk Mahfuz Omar, Mujahid dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang sebelum ini pegang jawatan itu.

Menurut perlembagaan Parti Amanah, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang dipilih oleh perwakilan/

Perlembagaan itu juga menetapkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.

Ini bermakna ia penggal terakhir Mohamad Sabu mengetuai parti itu.

Konvensyen Amanah berlangsung di sebuah hotel di Klang.

Sementara itu Dr Dzulkefly meraih undi tertinggi dalam pemilihan untuk ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah.

Beliau dapat mendapat 900 undi perwakilan, lebih satu undi daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang meraih 899 undi.

Penyandang presiden Amanah Mohamad Sabu pula di tempat kelapan dengan 613 undi.

Seperti DAP, pemilihan Amanah tidak melibatkan undian untuk lima jawatan tertinggi parti.

Antara ahli jawatankuasa yang terkeluar dalam pemilihan kali ini adalah aktivis veteran Mazlan Aliman dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Berikut adalah 27 ahli yang terpilih:

Dzulkefly Ahmad – 900

Khalid Abd Samad – 899

Azli Yusof – 755

Mujahid Yusof – 699

Mahfuz Omar – 682

Suhaizan Kaiat – 682

Adly Zahari – 643

Mohamad Sabu – 613

Hasan Baharom – 595

Dr Siti Mariah Mahmud – 584

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Kamarul – 555

Hatta Ramli – 549

Faiz Fadzil – 527

Sany Hamzan – 520

Anfaal Saari – 515

Izham Hasim – 512

Ismail Salleh – 489

Ahmad Sabki Yusof – 467

Lahirul Latigu – 465

Ahmad Termizi Ramli – 462

Asmuni Awi – 457

Mohammad Nizar Jamaluddin – 442

Ridzwan Abu Bakar – 425

Sofi Wahab – 423

Wani Anwar Wan Ibrahim – 388

Muhaimin Sulanm – 383

Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus – 377

zul-tiong

Covid-19 : Tiong VS Dr Dzul…

Kurang cantik rasanya kalau dua menteri bertegang urat di khalayak ramai.

Elok mereka duduk semeja buka data dan fakta untuk mencari titik temu dalam isu Covid -19 yang kesnya dilaporkan makin meningkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing melihatnya dari sudut kepentingan kemasokan pelancong manakala Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pula dari sudut kesihatan.

Isu Covid-19 agak sensitif kerana rakyat negara ini telah melalui zaman getir PKP yang panjang pada 2020-2021 dulu.

Ia boleh jadi panas gara gara Tiong tidak setuju dengan cara Dr Dzul bercakap pasal Covid -19 semasa sidang akhbar beliau pada 18 Disember lalu.

Baginya ia boleh menimbulkan keresahan orang ramai terhadap situasi Covid-19 di negara ini serta menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu dalam satu kenyataan pada Ahad gesa Menteri Kesihatan supaya lebih berhati-hati apabila memberi maklumat mengenai Covid-19 agar “tidak menimbulkan ketakutan yang tidak perlu dan meresahkan orang ramai.”

“Tidak dinafikan bahawa Covid-19 merupakan isu kesihatan awam yang penting dan tidak boleh ‘disorok bawah karpet’.

“Namun, kita juga tidak seharusnya bertindak secara berlebih-lebihan sehingga menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

“Penting untuk kita mengelakkan daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia, terutamanya sektor pelancongan sekaligus merugikan ekonomi negara.

“Saya membuat rayuan ini berdasarkan kepada kebimbangan serta aduan yang dinyatakan oleh kedua-dua industri pelancongan dan orang ramai. Kita perlu mengambil pendekatan realistik, dengan mengambil kira perbezaan situasi semasa dengan situasi yang pernah berlaku sebelum ini ketika wabak mula menular.

“Penting untuk kita mengelakkan daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia, terutamanya sektor pelancongan sekaligus merugikan ekonomi negara,” katanya.

Tiong meminta Dr Dzul mempertimbangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia dan membandingkan pendekatannya dengan cara menteri kesihatan Indonesia menangani situasi itu.

Beliau mengingatkan walaupun Menteri Kesihatan Indonesia telah mengeluarkan kenyataan mengenai koronavirus, dia menjelaskan bahawa situasi pandemik untuk perayaan Krismas dan Tahun Baru akan datang tidak berada pada tahap yang membimbangkan.

“Perbandingan kenyataan menteri kesihatan kedua-dua negara dengan mudah menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia jauh lebih berbahaya daripada Indonesia.

“Ini boleh menyebabkan pelancong mengelak daripada mengunjungi Malaysia dan memilih negara jiran Indonesia, seterusnya menyebabkan kerugian ekonomi kepada Malaysia,” kata.

Pada sidang media 18 Disember Dr Dzul menegaskan kerajaan tidak berhasrat mempertimbangkan langkah PKP pada masa ini.

Namun beliau antara lain telah mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini.

Sementara itu bercakap dalam konvensyen parti Amanah di Shah Alam pada Ahad ,Dr Dzul berkata situasi Covid-19 dinilai berdasarkan sistem yang sistematik dan bukan hanya melihat pada angka jangkitan.

“Ramalan model kita, Januari kes akan turun.

“Kita bukan lagi dalam ‘Covid war’. Kita sedang masuk fasa pandemik ke endemik. Jadi tindakan kita berwajaran,” katanya – 24/12/2023

umno-vet

Saya terkedu ditegur PMX…dimana ahli MT UMNO yang ramai itu

Saya terkedu apabila PMX menasihati kepimpinan UMNO supaya turun padang bagi menjelaskan hubungan dengan DAP. Kenapa biarkan orang lain bersuara sebegitu?.

Dimana Ahli MT yang ramai itu?.

UMNO ada 191 bahagian. Tak boleh ke setiap ahli MT ditugaskan untuk menjadi abang angkat/bapak angkat/atok angkat kepada beberapa bahagian untuk turun padang bagi menerangkan kekeliruan tentang hubungan UMNO/DAP?.

Apakah mereka hanya mahu menjadi MT sebagai tiket untuk bertanding dalam pilihanraya?. Bila parti kalah Presiden disalahkan. Suruh Presiden letak jawatan. Konon Presiden yang bertanggungjawab. Sedangkan mereka tidak buat kerja.

Masa semakin singkat. PRU16 akan diadakan dalam masa tiga hingga empat tahun lagi. Cawangan dan bahagian masih lagi pengsan akibat tumbukan TKO PRU15. Bila nak bangun?.

MT kena buat sesuatu mulai sekarang. Tidak guna berkonvensyen kalau hanya untuk menjadi program tahunan berjumpa dan bertemu dikalangan AJK bahagian dan cawangan. Program hu ha hu ha.

Program makan-makan. Habis program balik tidur.

Setiausaha Veteran Umno
Datuk Mustapha Yaakub
– 24/12/2023

rayyan1

Kes Zayn…polis tidak akan putus asa

Sehingga hari ini Sabtu 23 Disember sudah 17 hari berlalu sejak berlakunya kes bunuh keatas kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Orangramai pastinya tidak sabar menanti untuk melihat pelakunya kena cekup.

Namun setelah siasatan hari demi hari khususnya di kawasan Apartment Idaman Damansara Damai dekat Petaling Jaya polis belum menemui sebarang bukti konkrit untuk memberkas pelakunya.

Apapun dari nada ditegaskan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan polis tidak patah semangat dan berputus asa.

Beliau berkata, proses siasatan kes berkenaan telah memasuki fasa ketiga di mana pasukan forensik kini memberi tumpuan kepada unit tertentu di blok tertentu apartmen berkenaan.

“Sepanjang siasatan pihaknya turut menahan seramai 12 individu, bagaimanapun ia tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

“Siasatan masih dijalankan setiap hari di kawasan berkenaan, kita akan teruskan siasatan hingga pelakunya ditahan. Mungkin bukan sekarang, tetapi kami yakin pelaku ini akan ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Sabtu.

Hussein memberitahu Polis memohon bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengkaji beberapa maklumat dan bahan bukti yang diperoleh dalam siasatan kes.

“Kita ada meminta bantuan daripada Interpol berkaitan pangkalan data mereka, kami mempunyai beberapa maklumat walaupun tidak menyeluruh.

“Kita perlu maklumat lanjut dari pangkalan data berkenaan,” katanya.-23/12/2023

umno-dap

Umno perlu kerap turun padang beri penjelasan kerjasama DAP – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati UMNO untuk kerap turun padang bertemu dengan ahli akar umbi dan rakyat untuk memberi penjelasan berkenaan beberapa isu yang membelenggu parti itu terutama mengenai hubungan baik dengan DAP.

Beliau yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu perlu dilakukan jika UMNO mahu memulihkan parti itu yang kini dilihat sokongan yang diterimanya semakin merosot.

“Dia bukan benci UMNO tetapi di kalangan penyokong UMNO, dia kata UMNO ni telah keluar landasan kerana kerjasama dengan DAP.

“Sentimen menentang DAP memang kukuh dan kuat di kalangan saya kira orang-orang Melayu. UMNO ni masalah dia kerana baik dengan DAP dan isu ni dia kena jelaskan kerana DAP itu mewakili majoriti etnik Cina,” katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkenaan adakah PH masih memerlukan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 memandangkan sokongan terhadap parti itu dilihat semakin merosot.

Anwar berkata hubungan parti-parti di dalam PH dengan UMNO adalah amat baik pada masa ini.

“Dengan umur saya sekarang ni, saya tidak senang dengan apa-apa kegiatan pengkhianatan. Saya yakin dengan kepimpinannya, mereka UMNO memberikan sokongan yang kuat dan hubungan kerja juga sangat baik.

Kalau UMNO turun ke bawah sepertimana mereka lakukan sekarang, saya yakin dia dapat dipulihkan dan sekarang ada petanda-petanda begitu,” katanya.

  • Bernama-23/12/2023
anwar-press

Anwar yakin ‘tebuk atap’ tidak akan berlaku

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinannya bahawa percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau “tebuk atap” tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.

Anwar berkata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini turut mengulangi pendirian tegas mengekalkan Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Dalam senario politik semasa ini, peranan atau pendirian GPS itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama Sarawak (GPS) dan Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan itu (kerajaan) berlaku.

“Kalau ada sedikit sebanyak percubaan tebuk atap, ia akan hanya berasas sekiranya ada ruang yang diberikan kedua-dua negeri (Sarawak dan Sabah)… saya pilih majlis ini untuk menyampaikan bahawa kes tebuk atap kalau nak digunakan lagi (naratif) dukungan Sabah dan Sarawak, ia terbatal secara sendirinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya pada Sabtu.

Anwar berkata Abang Johari turut mendedahkan ada beberapa percubaan yang agak terdesak untuk memujuk beliau dan partinya, namun Premier Sarawak itu menolak dengan tegas.

“Katanya dalam beberapa pertemuan terakhir ada percubaan itu dan beliau secara konsisten menolak dengan tegas bahawa tidak akan melayani sebarang perbincangan untuk meretakkan hubungan Sarawak dan Persekutuan serta hubungan dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata hubungan yang baik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan kerajaan yang ada pada masa ini adalah kukuh.

“Selepas setahun , kerajaan adalah stabil dan kerjasama antara parti-parti , Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS dan GRS lebih kukuh.

Saya tidak pernah menemui sebarang masalah serius dalam usaha kami melakukan perubahan atau membuat reformasi dan saya lebih yakin sekarang selepas setahun dengan pengalaman itu, beberapa pelarasan dalam Kabinet kami mampu mara ke hadapan dengan kepastian dan kepantasan,” katanya.- Bernama- 23/12/2023

azam-daim

SPRM siasat Daim dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram…

Isu tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat milik keluarga Tun Daim Zainuddin terus mencuri perhatian ramai.

Tanda tanya yang paling hangat berlegar bekas Menteri Kewangan yang diketahui umum rapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat atas kes apa.

Hal ini telah dijawab sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Sabtu.

Katanya agensi itu sedang siasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan itu.

SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Azam Baki turut menjelaskan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar ini Jumaat lalu, tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan itu.

Selain ruang pejabat,pada bangunan yang terletak di Jalan Binjai ,Kuala Lumpur itu juga terdapat sebuah hotel lima bintang.

“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.

“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.

Azam Baki berkata, proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.

Katanya langkah sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan.-23/12/2023

bil-letrik

85 peratus pengguna tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik Januari-Jun 2024

Putrajaya: Sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT), menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat ST berkata, ia susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kilowatt-jam (kWj) bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan.

Bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWj hingga 1,500kWj sebulan pula, tiada surcaj akan dikenakan manakala kadar surcaj dikekalkan pada kadar 10 sen/kWj bagi pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj.

“Sehubungan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan,” kata suruhanjaya itu.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.- 22/12/2023