zahid-dnaa

Zahid akan bantah Badan Peguam cabar keputusan DNAA

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap beliau pada 4 Sept lepas.

Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Timbalan Perdana Menteri itu, berkata pihaknya akan memfailkan afidavit dan hujahan untuk membantah permohonan tersebut sebelum 11 Jan depan.

“Prosiding pendengaran permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman tersebut ditetapkan pada 11 Jan 2024 di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.

“Sama ada Peguam Negara juga akan membantah permohonan semakan kehakiman itu akan diketahui pada prosiding pendengaran permohonan tersebut,” katanya ketika dihubungi Selasa.

Mahkamah Tinggi telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap beliau.

Melalui permohonan difailkan pada 2 Dis lepas, Badan Peguam Malaysia yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden memohon perintah supaya keputusan itu dibatalkan.

Ia turut memohon deklarasi bahawa keputusan itu adalah batal dan tidak sah selain dibuat melebihi bidang kuasa serta kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Badan Peguam Malaysia juga memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang di bawah Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid.

Turut dimohon perintah agar Peguam Negara membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang menyebabkan keputusan bagi memohon DNAA itu dicapai kepada Badan Peguam Malaysia.

Badan Peguam Malaysia mendakwa Peguam Negara bertindak secara ultra vires ketika memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid dan keputusan itu juga adalah tidak munasabah atau rasional.

  • Bernama-27/12/202
Processed with MOLDIV

Feri Sani dah mai…

Setelah sekian lama menunggu….akhirnya orangramai yang hendak berulang alik dari tanah besar ke Pulau Langkawi dapat guna perkhidmatan feri baru tidak lama lagi.

Feri Sani 1 yang siap dibina di sebuah limbongan di Batam sudah belayar dan sampai di Pulau Langkawi pada Selasa 26 Disember.

Ia dijangka akan mulakan perkhidmatan antara Kuala Perlis ke Kuah pada awal tahun 2024.

Perkhidmatan Feri Sani dijangka nanti mampu memecahkan monopoli perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi yang kini dikuasai oleh beberapa syarikat feri yang membentuk konsortium.

Selain itu ia juga bakal mengurangkan kesesakan dan masa penumpang menunggu di Jeti Kuala Perlis khususnya pada musim perayaan.

Sani Ferry Sdn. Bhd. yang ditubuh pada 2016 adalah milik syarikat Sani Express Sdn Bhd pengendali khidmat bas ekspress.

Feri Sani 1 mampu mengisi kapasiti 250 penumpang dalam satu masa.

Difahamkan sebuah lagi feri yakni Feri Sani 2 masih dalam pembinaan untuk kendali khidmat antara Kuala Kedah ke Kuah.- 27/12/202

alibaba-ok

AliBaba…kita tidak boleh terus begini

‘Ali’ dan ‘Baba’ ibarat irama dan lagu.

Semua orang tahu kisah AliBaba.Ia bukan kisah dongeng tetapi sudah jadi cerita turun temurun yang mencengkam nasib untung rugi orang Melayu dalam sepak terajang dunia perniagaan.

Dari satu kerajaan ke kerajaan yang lain.Dari konvensyen,seminar dan segala macam bentuk percambahan fikiran sudah berkisar mengenainya.

Kini bola di kaki kerajaan perpaduan pula untuk tangani isu orang Melayu jual ,pajak atau sewa lesen niaga segala macam yang tak kunjung beres ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Isnin mengeluarkan satu kenyataan yang merujuk khusus kepada isu kaitan pekerja asing dengan niaga Ali Baba.

Katanya kerajaan akan perkenal Akta Anti-Ali Baba yang akan membolehkan tindakan diambil kepada rakyat negara ini yang meng-Ali Baba-kan lesen dan lain lain kepada pekerja asing tanpa menepati syarat-syarat.

Menurutnya apa yang berlaku sekarang adalah kesan dari berpuluh tahun yang lepas.

“Ia bermula dengan pergantungan kita kpd pekerja asing. Tanya majikan, majikan kata orang kita tak nak buat dah kerja dlm industri tertentu,

” Bila pekerja asing dah ramai, orang kita pula pergi sewa-kan dan bagi lesen (dengan cara Ali Baba) untuk mereka buat perniagaan,”katanya.

Rafizi juga memberitahu Kementerian Ekonomi yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030 (dalam RM13)

“Semua ini perlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing,

“Tetapi seperti pesan saya kepada majikan dan industri – it is coming because we cannot afford to continue like this,”tegasnya.

Pada 14 Julai lalu menerusi satu kenyataan Rafizi menegaskan menghapuskan budaya Ali Baba dalam sektor ekonomi tidak boleh sekadar cakap kosong tetapi perlu ada tindakan segera.

“Kita dianggarkan telah rugi sebanyak sekitar RM17 hingga RM18 bilion kerana budaya Ali Baba ini.

“Cerita pasal budaya Ali Baba dalam ekonomi kita memang macam-macam.

“Perniagaan yang dimiliki oleh rakyat tempatan tetapi disewakan kepada warga asing.

“Bina projek sepatutnya harga murah tapi jadi mahal kerana ada yang ambil persen.

“Kita kena hentikan amalan ini kerana ini menjadi punca kepada rasuah dan ketirisan,”katanya.

Beliau berkata sebab itu, pandanganya menangani budaya Ali Baba perlukan penyelesaian menyeluruh dan berstruktur.

Kata Rafizi Kerajaan Perpaduan akan gunakan kaedah Akta dengan memperkenalkan undang-undang anti Ali Baba untuk kita haramkan amalan Ali Baba.

“Harapan saya dengan kerangka undang-undang ini, kita dapat selesaikan salah satu ketempangan utama ekonomi negara,”katanya.- 25/12/2023

debat-

Prabowo-Gibran dahului persaingan jawatan tertinggi Indonesia

“SATU malam yang mengubah arah mata angin,” begitulah komentar penganalisis politik terkemuka Indonesia Denny JA ketika mengulas debat calon Naib Presiden bagi Pilihan Raya Indonesia 2024.

Denny JA yang terkenal dengan hasil survey lapangan yang tepat menjangkakan kemampuan debat anak Presiden Indonesia Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka meningkatkan keboleh menangan pasangan Probowo Gibran menjelang hari pengundian pada 14 Februari akan datang.

Gibran, 35 tahun, sebelum ini diragukan mampu untuk berdebat mengenai isu-isu nasional bagaimanapun berjaya menguasai gelanggang pada debat yang diadakan baru-baru ini.

Pembangunan ibu negara, Nusantara di Kalimantan Timur, yang bernilai kira-kira AS$32 bilion serta dijadualkan siap pada 2045, menjadi topik perbahasan hangat dalam debat calon Naib Presiden bagi Pilihan Raya Indonesia 2024.

Gibran jelas menguasai subjek perbincangan mendahului dua lagi calon iaitu Mahfud MD dan Muhaimin Iskandar, menyuarakan pelbagai pandangan secara mendalam berhubung perkara itu, termasuk dari segi bajet serta kepentingan, ketika sesi soal jawab.

Mahfud mengutarakan kebimbangan mengenai kebergantungan pemerintah terhadap bajet negara, sekali gus memberi amaran mengenai potensi timbul isu pemilikan tanah, serta kurangnya pembabitan pelabur swasta dalam pembangunan Nusantara.

“Setakat yang kita tahu, hingga kini tidak ada pelabur yang masuk. Berikan contoh jika ada pelabur,” katanya yang juga Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan.

Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin pula menitikberatkan projek infrastruktur berbanding projek cita-cita besar, serta mencadangkan peruntukan perlu disalurkan kepada projek pembinaan jalan dan sekolah.

Gibran menekankan pembinaan infrastruktur di Nusantara yang sedang giat dijalankan, sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan serta simbol transformasi pembangunan di Indonesia.

Beliau menjelaskan, hanya 20 peratus daripada kos pembinaan Nusantara datang daripada bajet negara, manakala bakinya daripada pelabur seperti konglomerat Mayapada Group dan pemaju hartanah Agung Sedayu Group.

“Lebih banyak pelabur bakal menyertai selepas Pilihan Raya Presiden, bergantung pada kestabilan politik,” kata Gibran yang juga anak Presiden Joko Widodo.

Gibran yang juga Datuk Bandar Solo, berjanji mengembangkan program hiliran kepada sektor pertanian, perikanan dan digital sekiranya memenangi pilihan raya nanti.

Gandingan kepada calon Presiden, Prabowo Subianto itu mahu pembangunan di luar Pulau Jawa dirancakkan, selain memacu ekonomi kreatif serta perusahaan kecil dan sederhana (SME), selain menjadikan Indonesia pusat tenaga hijau dunia dengan pembangunan biodiesel.

Mahfud yang bergandingan dengan calon Presiden, Ganjar Pranowo pula bertekad untuk mendaulatkan undang-undang, membanteras rasuah dalam badan perundangan dan kehakiman serta sektor perlombongan.

Beliau percaya perkara itu dapat memastikan pelaburan dan pembangunan berterusan, serta pertumbuhan ekonomi yang lancar dan dinikmati rakyat.

Muhaimin pula mahu menaikkan cukai terhadap golongan kaya, dan sebaliknya menurunkan cukai bagi golongan pertengahan serta menjadikan bantuan sosial sebagai kewajipan negara.

Selain itu, beliau yang juga gandingan kepada seorang lagi calon Presiden, Anies Baswedan, mahu menyediakan dana dalam bentuk pinjaman untuk golongan muda berniaga dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, serta membangunkan kawasan desa.

banjirkelantan

Hampir 30,000 terjejas banjir di enam negeri

BUKAN KALENG-KALENG… Hampir 30,000 penduduk di enam negeri terjejas banjir besar yang melanda negara sehingga pagi ini.

Dengan Kelantan menyaksikan jumlah terbanyak iaitu 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 PPS, manakala Johor dan Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Bernama melaporkan jumlah keseluruhan yang terjejas banjir adalah 28,310 orang setakat 6 pagi ini.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.

Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat, manakala dua negeri terbaharu dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.

Laporan itu turut memaklumkan daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di daerah Cameron Highlands yang melibatkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

lif

Maut akibat kepala tersepit pada pintu lif….

Malang tidak berbau…siapa sangka kejadian yang tidak diduga seperti ini boleh menimpanya.

Rutin kerja biasa seorang pekerja penyelenggara lif pada Isnin bertukar jadi tragedi.

R Tinesh Kumar, 28,ditimpa kemalangan bila kepalanya tersepit di pintu lif ketika menjalankan kerja menyelenggara lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, di Georgetown.

Rakan sekerjanya yang berusia 53 tahun selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati dua lelaki, iaitu pekerja penyelenggara yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan lif terperangkap dalam lif, namun seorang daripadanya tersepit di bahagian kepala pada pintu lif dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,”katanya.-26/12/2023

umno-wp-okk

Pilihanraya kerajaan tempatan…UMNO WP bersuara

Umno Wilayah Persekutuan tampil bersuara dalam isu pilihanraya kerajaan tempatan dengan mengingatkan DAP adanya pilihanraya itu menandakan fungsi Ahli Parlimen tidak efektif.

Ini,katanya kerana ada pertindihan peranan di antara Ahli Parlimen dengan ahli PBT yang dipilih.

Ia juga berpendapat pembaziran wang rakyat sebagai salah satu sebab mengapa pilihan raya itu perlu ditolak.

“Umno Wilayah Persekutuan berpendapat adalah lebih baik peruntukan untuk pemilihan ahli-ahli PBT disalurkan untuk pembangunan, kebajikan dan kemudahan demi rakyat Wilayah Persekutuan yang lebih memerlukan seperti menambah baik infrastruktur, pembinaan rumah mampu milik, menaik taraf pusat-pusat penjaja atau medan selera, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan DAP supaya tidak mengulangi cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya itu.

Katanya mereka telah mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini dan mengambil ketetapan untuk membantah sekeras-kerasnya cadangan berkenaan.

“Selain itu, Umno Wilayah Persekutuan berpendapat pemilihan ahli-ahli PBT akan mewujudkan kartel-kartel politik yang akhirnya akan membiayai calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya PBT.

“Amalan rasuah dan salah guna kuasa pasti akan berlaku yang sudah semestinya akan merencatkan usaha YAB PMX dalam membanteras gelaja rasuah di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan kembali diperkatakan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan perkara itu pada 17 Disember lalu.- 26/12/2023

jalanpasola

Pasar Jalan Pasola kembalikan nostalgia Melayu klasik

TEMA busana Melayu lama serta alunan lagu-lagu tradisional Melayu menarik kedatangan pengunjung ke pasar jalanan yang terletak di Jalan Pasola, Parit Buntar, setiap hujung minggu.

Tidak hanya pemilik gerai yang memperagakan busana tersebut, malah para pengunjung juga digalakkan berbuat demikian bagi membangkitkan suasana klasik nostalgia silam.

Penganjur program Amirul Nizar Rozay, 32, berkata pasar berkonsepkan ‘pop-up store’ atau ruang runcit yang dibuka untuk jangka waktu sementara itu, mula dibuka awal Disember lepas dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis Daerah Kerian (MDK).

“Saya bersama lima lagi rakan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk merangka pelan dan kertas kerja bagi memastikan penganjuran pasar jalanan ini berjaya dan mampu meyakinkan MDK.

“Alhamdulillah, sejak dibuka awal Disember lalu, lebih 5,000 pengunjung dari seluruh pelusuk negeri Perak termasuk Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis hadir memeriahkan pasar ini,” katanya.

Amirul Nizar yang berasal dari Bukit Mertajam menjelaskan idea asal untuk mewujudkan pasar tersebut tercetus kerana ingin mengembalikan kemeriahan lokasi tersebut sepertimana lebih 20 tahun dahulu.

“Di era 90-an hingga awal 2000, kawasan ini adalah tempat tumpuan penduduk sekitar Parit Buntar untuk mendapatkan barangan keperluan harian, namun sejak pekan baru Parit Buntar dibuka tumpuan orang ramai beralih ke sana,” katanya.

Justeru dengan tema Melayu Klasik, yang diperkenalkan di pasar malam yang beroperasi pada 5 petang hingga 12 tengah malam itu, orang ramai kembali teruja berkunjung ke situ yang menempatkan 70 gerai.

Amirul Nizar berkata terdapat pelbagai juadah istimewa yang dijual di situ seperti kuih dangai, tepek pisang, putu piring, ubi kayu rebus, makanan tradisional masyarakat Banjar, kopi yang dimasak atas dapur arang, makanan ringan di zaman pertengahan 90-an dan sebagainya.

“Bagaimanapun kami sentiasa pantau produk yang dijual supaya kualitinya sentiasa pada tahap terbaik dan sekiranya peniaga tidak dapat tepati kriteria itu, kami akan keluarkan mereka dari tapak sewaan,” katanya.

Amirul Nizar berkata kadar sewaan bergantung kepada keluasan saiz tapak bermula dari RM60 hingga RM150 sehari dan setiap tapak yang disewa oleh pengusaha gerai tidak bersifat kekal serta berubah pada setiap minggu bagi membangkitkan kemeriahan di samping menghilangkan rasa jemu para pengunjung.

“Istimewa untuk pengunjung, penyanyi tersohor negara Datuk Jamal Abdillah akan mengadakan persembahan sempena ambang tahun baharu di pasar tersebut.

“Ini antara perancangan awal kami bagi meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung dan jika berjaya, artis undangan lain akan dijemput untuk mengadakan persembahan pada setiap minggu,” katanya.

Sementara itu, bagi penjual kuih dangai, Mohd Zikri Mohd Zabidi, 24, yang telah berkecimpung lebih tujuh tahun dalam pembuatan kuih tersebut berkata sambutan para pengunjung digerainya begitu menggalakkan.

“Kalau perisa asli, biasanya golongan ‘orang lama’ yang suka beli di sini. Jadi, untuk menarik kanak-kanak mencuba kuih tradisional ini, saya tampilkan dua perisa berbeza iaitu coklat dan susu,” katanya yang turut optimis dengan usaha penganjur memperkenalkan elemen klasik di pasar itu, ia akan terus menjadi tumpuan ramai dan sekali gus menjana pendapatan peniaga.

Bagi pengunjung Suzanna Ariff, 31, berkata dia mengetahui tentang penganjuran pasar berkenaan melalui medium media sosial.

Ibu kepada dua cahaya mata dan berasal dari Gurun, Kedah itu menjelaskan kelainan serta keunikan menjadi faktor yang menyebabkan dirinya terpanggil untuk mengunjungi pasar tersebut.–Bernama

kepung

48 NGO ‘kepung’ Kedutaan US enam hari bermula malam ini

SEBANYAK 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar, serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum, dijangka akan berkampung selama enam hari di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat bermula 10 malam ini.

Bernama melaporkan tindakan piket dengan nama “Kepung Demi Palestin” itu adalah inisiatif oleh warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza iaitu setakat 24 Dis lepas telah mengorbankan 20,424 rakyat Palestin, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Menurut Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dalam kenyataan semalam, piket di hadapan kedutaan negara itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Mereka dijangka akan berkhemah sepanjang piket selain mengadakan acara solidariti setiap malam serta memasang bendera dan simbol perjuangan rakyat Palestin.

Antara NGO yang dijangka akan mengambil bahagian adalah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine.

EMAS

Perang Gaza lonjak harga emas ke tahap tertinggi dalam sejarah

PADA 4 Dis, harga emas mencecah paras tertinggi sepanjang masa, dengan logam berharga itu didagangkan pada lebih AS$2,100 (RM9,800) seaun.

Ia melepasi harga rekod sebelumnya sebanyak AS$2,075.47 seaun yang diperdagangkan pada Ogos 2020, apabila pandemik COVID-19 mendorong kenaikan permintaan emas.

Emas telah dilihat sebagai penyimpan nilai sejak ribuan tahun lagi. Dan bagi para pelabur emas hari ini, ia semakin dilihat sebagai wadah yang selamat di tengah-tengah ketidaktentuan dalam pasaran-pasaran pelaburan yang lain.

Apakah yang mempengaruhi harga emas?

Dalam menentukan harga emas, pelbagai faktor diambil kira.

Antaranya, bekalan emas yang ada, turun naik pasaran, keputusan yang dibuat bank-bank pusat dan nilai dolar Amerika Syarikat: Kesemua ini menjejas permintaan untuk emas, dan seterusnya mendorong naik atau turun harga logam itu.

Ketegangan geopolitik juga mempunyai kesan, begitu juga kebimbangan mengenai inflasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas peniaga emas jongkong Silver Bullion Gregor Gregersen keuntungan dalam pelaburan emas kerap berlaku semasa kemelesetan, stagflasi dan krisis. Ini kerana, apabila keyakinan semakin surut, orang ramai beralih kepada emas fizikal sebagai pelaburan yang selamat”.

“Kami melihat emas dan perak fizikal sebagai pegangan jangka panjang yang akan berjaya terutamanya semasa krisis dan stagflasi,” katanya.

Mengapakah harga emas mencapai paras tertinggi baru-baru ini?

Didorong oleh kenyataan Pengerusi Bank Simpanan Federal Amerika Jerome Powell pada 1 Dis yang mencadangkan bahawa bank pusat AS itu boleh mengurangkan kadar faedah pada awal 2024, mendorong harga emas naik ke paras tertinggi yang baharu pada 4 Dis.

Kenyataan Powell bahawa dasar kewangan AS “berada dalam ruang yang amat terbatas” meningkatkan keyakinan para pelabur.

Harga logam berharga itu melonjak 3.1 peratus kepada AS$2,135.39 seaun dalam dagangan awal pasaran Asia sebelum jatuh semula, lapor AFP.

Di sebalik kesan daripada kenyataan Encik Powell, pakar-pakar memberitahu bahawa lonjakan harga mungkin disebabkan oleh gabungan beberapa faktor.

Penganalisis pelaburan Ketua Pejabat Pelaburan DBS, Goh Jun Yong berkata, kejatuhan keuntungan bon-bon perbendaharaan, keteguhan dolar AS yang sederhana dan pembelian bank pusat yang berterusan menyumbang kepada harga emas pada 4 Dis.

Beliau juga merujuk kepada peperangan berterusan di Gaza sebagai faktor penyumbang.

“Konflik Israel-Hamas pasti menambah dimensi risiko geopolitik dalam pertimbangan pelaburan; sebagai aset yang selamat, emas biasanya berfungsi dengan baik semasa konflik dan pergolakan,” kata Goh.

Bagaimanapun, ketua penasihat kekayaan OCBC Aaron Chwee berkata ketegangan di Timur Tengah memberi kesan kepada harga “pada tahap yang lebih rendah” berbanding dengan faktor-faktor pemboleh-ubah yang lain.

Beliau sebaliknya mengaitkan kenaikan harga itu dengan permintaan kukuh daripada bank-bank pusat Asia, seperti India dan China.

Dua pembeli emas terbesar dunia, China dan India menyumbang lebih separuh daripada jumlah permintaan global.

Menurut Majlis Emas Dunia (WGC), bank-bank pusat membeli 800 tan emas dalam sembilan bulan pertama 2023. Ini adalah angka tertinggi untuk tempoh itu mengikut rekod WGC, yang mula mencatatkannya sejak tahun 2000.

“Pembelian kukuh yang dibuat oleh bank-bank pusat ini dijangka berterusan untuk baki 2023 ini,” kata WGC dalam satu kenyataan awal tahun ini.

Mengapakah harga emas melepasi harga kemuncaknya yang lalu?

Walaupun harga emas cenderung melambung semasa masa ketidakstabilan, lonjakan awal Disember lalu melepasi paras tertinggi yang dilihat pada peringkat awal pandemik COVID-19 dan apabila Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, rekod tertinggi kali terakhir dibuat pada Ogos 2020, dan apabila Rusia menyerang pada 24 Feb 2022, emas melonjak ke paras tertinggi yang belum pernah dilihat sejak lewat 2020. Ia didagangkan pada lebih AS$1,960 seaun menurut CNBC.

Harga emas akhirnya melebihi paras AS$2,000 seauns pada awal Mac 2022, menurut data WGC.

Harga kembali naik dari Mac 2023 di tengah-tengah kegawatan dalam sektor perbankan.

Jadi mengapa lonjakan yang berterusan menyebabkan harga emas melebihi paras tersebut?

“Semasa siri kejatuhan beberapa bank awal tahun ini, kadar faedah dan nilai dolar masih meningkat. Ia menjadikan pada asasnya persekitaran yang tidak kondusif untuk emas,” kata Encik Goh.

“Begitu juga, ketika meletusnya perang Rusia-Ukraine dan berlakunya COVID-19, kadar faedah adalah jauh lebih rendah berbanding hari ini, dan ini mengehadkan potensi peningkatan daripada sebarang langkah memotong kadar faedah.

“Bagaimanapun, hari ini, dengan kadar asas pada 5.5 peratus, terdapat lebih banyak ruang untuk pemotongan kadar masa depan, yang seterusnya menunjukkan potensi peningkatan harga emas.”

Chwee berkata “alasan untuk berpegang pada emas bukan semata-mata untuk keselamatan tetapi ia juga bergantung kepada kadar faedah, iaitu kos peluang untuk pelabur memegang emas”.

Beliau juga menegaskan bahawa kadar faedah pada keseluruhannya rendah sepanjang pandemik COVID-19 dan sebahagian waktu daripada perang Rusia-Ukraine. Ia mula bergerak lebih tinggi pada 2022.

“Ini menjadikan emas kurang menarik dibandingkan dengan menyimpan sahaja wang dalam deposit bank dan dengan membeli bon, yang didorong oleh persekitaran kadar faedah yang meningkat,” tambah Chwee.

“Bagaimanapun, kita kini berada dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi, dengan adanya kemungkinan kadar faedah yang berkurangan. Ini mengurangkan kos peluang untuk kita memegang emas.”

Chwee berkata bahawa kesan kejatuhan bank terhadap harga emas sebenarnya terhad jika dibandingkan dengan persekitaran kadar faedah pada masa itu.

“Bank simpanan federal AS (The Fed) masih memberi isyarat bahawa ia mungkin terus mengekalkan kadar faedah yang tinggi, sekali gus menjadikan emas kurang menarik kerana kos peluang yang tinggi,” katanya.

Encik Gregersen berkata paras tertinggi baharu berlaku secara semula jadi dari semasa ke semasa apabila dolar AS menyusut nilai akibat inflasi.

“Sejak 1970, purata kenaikan harga emas ialah 7.8 peratus setahun, sebagai contoh,” katanya.

Apakah harga emas terus di paras tinggi?

Sejak paras tertinggi 4 Dis, harga emas secara beransur-ansur menurun. Setakat Isnin (11 Dis), ia didagangkan pada harga kurang AS$2,000 setiap auns.

Ke manakah arah harga emas seterusnya?

Chwee berkata walaupun pasaran menjangkakan bank simpanan federal AS akan mula memotong kadar faedah pada Mac 2024, OCBC tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku sehingga Jun 2024.

“Ini akan menyokong harga emas, walaupun mungkin terdapat sedikit kelemahan jika Fed tidak menurunkan kadar pada Mac 2024 seperti yang dijangkakan pasaran pada masa ini,” katanya.

“Kami menjangkakan harga emas kekal tinggi untuk enam bulan akan datang,” tambahnya.

Heng Koon How, ketua strategi pasaran di UOB, berkata beliau meramalkan harga emas akan terus meningkat kepada AS$2,200 per auns menjelang suku keempat 2024.

“Ini berdasarkan pandangan teras kami bahawa bank pusat AS akan mula mengurangkan kadar secara beransur-ansur merentasi (separuh kedua 2024) dan dolar AS juga akan lebih mengendur,” katanya.

Dalam kita memasuki tahun 2024, di mana akan berlakunya pilihan raya presiden AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan, terdapat kemungkinan bahawa lebih ramai orang akan beralih kepada emas, kata Encik Gregersen.

“Kira-kira satu perempat daripada bank-bank pusat juga sudah menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan lagi rizab emas masing-masing pada 2024,” tambahnya.

Goh berkata: “Sama ada emas terus mencatat kenaikan atau tidak, bukan bergantung pada haluan yang diambil oleh kadar faedah. Jika inflasi terus menjadi sederhana dan Fed melaksanakan pemotongan kadar tahun depan, maka emas mungkin meningkat dari sini.”

“Bagaimanapun, jika terdapat kebangkitan semula dalam inflasi dan Fed terpaksa menaikkan kadar lagi, kami menjangka emas akan menjejaki semula keuntungan yang diperolehinya baru-baru ini,” tambah penganalisis DBS itu.

Patutkah pelabur runcit pertimbangkan melabur dalam emas?

Sambil menyifatkan emas sebagai “pempelbagai risiko portfolio yang baik”, Heng berkata: “Adalah baik dari sudut kepelbagaian jangka panjang untuk mempunyai pelaburan emas dalam portfolio pelaburan kita.”

Gregersen dari Silver Bullion berkata ia adalah masa yang baik untuk membeli logam berharga itu, sambil berkongsi bahawa Silver Bullion menyaksikan peningkatan 300 peratus dalam jumlah jualan emas baru-baru ini.

“Emas fizikal bertindak dalam mengurangkan risiko rakan niaga (yang memungkiri perjanjian pelaburan) dan juga risiko dalam perdagangan mata wang. Pada masa yang sama ia juga akan pasti meningkat nilainya dalam jangka panjang,” kata beliau.

“Ia adalah pilihan yang bagus dalam masa yang tidak menentu.”

Sementara itu, Goh dan Encik Chwee, menekankan beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh para pelabur runcit apabila melabur dalam emas.

Goh berkata “risiko rakan niaga memungkiri perjanjian dan risiko kecairan adalah perkara penting untuk dipertimbangkan apabila melabur dalam emas menerusi dana bersama atau dana dagangan bursa”.

Chwee juga berpendapat memiliki kecairan sebagai sesuatu yang perlu dipertimbangkan, sambil berkata emas tertakluk kepada turun naik pasaran dan mungkin tidak boleh ditukar segera kepada tunai. Beliau menambah, tidak seperti wang tunai, emas tidak meraih kenaikan faedah.

Beliau juga berkata para pembeli emas harus juga menimbangkan soal belanja untuk menyimpan emas fizikal, kerana ia boleh menimbulkan kos tambahan. Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa emas fizikal juga boleh dibeli secara digital menerusi bank-bank termasuk dari OCBC.

“Para pembeli runcit juga harus mempertimbangkan … profil risiko dan kesediaan mereka untuk menanggung risiko, dan perlunya mereka mendapatkan pandangan penasihat kewangan sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam emas,” katanya. -CNA