anwar-banjir1

Peruntukan RM50 juta untuk mangsa banjir Kelantan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan yang terjejas akibat tiga gelombang bencana alam itu sejak November lepas.

Beliau berkata setiap keluarga akan menerima RM1,000 manakala bantuan tambahan akan dibuat berdasarkan penilaian terhadap kerosakan dan kerugian yang disahkan oleh pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan.

“Bagi mangsa yang di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan lain, kita luluskan dengan peruntukan awal melalui Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) RM50 juta itu, terus kepada penduduk atau keluarga terlibat.

“Insya-Allah kita akan lebih kurang.. kerana telah dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan tadi (bahawa) ada keluarga yang dah tiga kali hadapi masalah banjir dan kerosakan yang sangat berat dihadapi, itu insya-Allah kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama (A) Lati di Kampung Banggol Manok, Khamis.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Dr Ahmad Anuar Othman.

Setakat pukul 3 petang ini, PPS SMK (A) Lati menempatkan 700 mangsa daripada 218 keluarga daripada kawasan Gual Mesa, Taman Alia Puteri, Berangan Ampan Kepas dan Taman Kelapa Wangi.— BERNAMA-28/12/2023

nuridah

Ketua Muslimat Pas terima pingat dari Agong

KETUA Dewan Muslimat Pas Pusat Nuridah Mohd Salleh dan bekas Ahli Parlimen Pas Kemaman Che Alias Hamid antara dua orang penerima pingat daripada Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada 302 penerima pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi mendahului senarai penerima yang membawa gelaran Datuk tersebut.

Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan JMN kepada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahmad Tarmidzi Ramly, bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Lembaga Getah Malaysia Dr Amir Hashim Md Yatim dan bekas Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur Jabatan Kerja Raya Dr Lim Char Ching

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada 14 penerima termasuk bekas Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan Darjah Johan Setia Diraja (JSD) kepada Brig Jen Baharudin Abu Hassan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Selain itu Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 41 penerima, Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 74 penerima, Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 150 penerima dan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD) kepada 17 penerima.

air-tanki-ok

Tong air laris di P.Pinang…orang ramai simpan bekalan air

GEORGE TOWN: Orang ramai di Pulau Pinang yang bakal mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 Jan ini mula membuat persiapan awal bagi memastikan bekalannya mencukupi sepanjang tempoh itu.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penduduk mahupun pengusaha premis sedia maklum mengenai pengumuman gangguan bekalan air itu yang dibuat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beberapa kedai menjual tong air di sekitar George Town dilihat menjadi tumpuan orang ramai yang mula membeli tong pelbagai saiz untuk menyimpan air bagi kegunaan sepanjang tempoh berkenaan.

Penjawat awam, Shahrul Ilias, 41, berkata beliau telah membeli tong berkapasiti 60 liter sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air.

“Beli yang mana patut dulu, cuma harganya sedikit meningkat kerana biasanya tong 60 liter ini sekitar RM60 tetapi hari ini RM75…mahu tidak mahu kena beli juga.

“Saya mungkin terpaksa beli satu lagi, tong 60 liter tidak cukup sebab saya ada anak kecil berusia setahun lebih dan 12 tahun, jadi kena simpan bekalan air lebih sedikit untuk kegunaan keluarga,” katanya.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan, bagi memberi laluan kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.

Bagi Metta, 45, yang tinggal di Green Lane pula selain menggunakan tong air beliau juga membeli plastik besar bagi menyimpan air kerana gangguan bekalan air selama empat hari itu agak lama berbanding biasa.

“Kalau guna tong air sahaja memang tak cukup untuk masak, mandi dan mencuci, jadi jadi kena isi dalam plastik dan letak dalam kotak. Saya harap bekalan air dapat pulih lebih awal daripada tempoh dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai barangan plastik, Soon, 62, berkata sejak pengumuman mengenai gangguan bekalan air berjadual, permintaan tong air di kedainya meningkat hingga 50 tong sehari berbanding tidak sampai 10 tong sehari sebelum ini.

“Harga pula daripada RM50 hingga RM140 berdasarkan saiz dan jenis. Saya rasa menjelang tempoh gangguan bekalan air nanti lebih ramai yang akan beli dan kami telah bersedia dengan menambah stok tong air,” katanya.– BERNAMA-28/12/2023

anwar-ilhamzzzz

Daim muncul…dakwa jadi ‘buruan politik’

Hari ini Khamis 28 Disember genap seminggu berita mengenai tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tersebar di media.

Tindakan SPRM keatas bangunan setinggi 60 tingkat terletak di Jalan Binjai ,Kuala Lumpur itu sebenarnya berkuatkuasa pada 18 Disember mengikut tarikh notis SPRM.

Pada sebelah pagi tadi Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri,Shamsul Iskandar Mohd Akin telah membuat satu kenyataan balas pada kenyataan bernada sinis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
pada Rabu yang minta semua orang yang bergelar ‘Tun’ disiasat.

Semua orang tahu Daim ialah orang yang rapat dengan Dr Mahathir.

Beliau pernah menjadi Bendahari UMNO dan Menteri Kewangan di zaman pentabiran beliau dulu.

Pada sebelah awal petang Daim muncul bersuara mengenai isu yang beliau hadapi.

Menerusi satu kenyataan beliau menafikan sekeras-kerasnya sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa jua bentuk dilakukan oleh dirinya mahu pun keluarga beliau.

Serentak dengan itu Daim menyifatkan siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram itu sebagai ‘pemburuan politik’.

Beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menghormati kedaulatan undang-undang.

Katanya tidak wajar bagi seorang Perdana Menteri untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan dengan membuat sindiran terang-terangan tentang rasa bersalah secara terbuka.

Mengenai Azam, Daim mengatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah membuat pelbagai komen bersifat prejudis terhadap dirinya di khalayak ramai sedangkan siasatan masih berjalan.

Katanya, perkara tersebut sesuatu yang tidak boleh diterima, tidak profesional dan mencurigakan.

Beliau menegaskan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sejak awal penyiasatan dengan agensi itu kerap berkomunikasi melalui peguamnya.

“Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang.

“Sebagai bekas anggota kanan kerajaan dan kerana menghormati proses siasatan, saya berdiam diri sehingga kini.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri dan SPRM tidak menunjukkan rasa hormat yang sama terhadap proses itu dengan komen dan kenyataan mereka yang tidak wajar menyebabkan saya tiada pilihan selain bertindak balas demi menjaga reputasi dan nama baik saya.

“Tetapi bukan itu sahaja yang membimbangkan saya. Saya amat mengambil berat tentang keadilan dan integriti institusi kita. Institusi mesti dilindungi demi kepentingan negara,” katanya.

Daim mendakwa tidak pernah dimaklumkan tentang kesalahan yang telah dilakukan walaupun telah berulang kali bertanyakan secara bertulis kepada SPRM.

Juga dakwa Daim, terdapat usaha terancang untuk memburukkan dirinya dengan mengeluarkan maklumat yang salah dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya.

“Umum mengetahui bahawa Anwar atas sebab-sebab yang beliau ketahui menganggap saya sebagai ancaman politik dan musuh yang mesti dihina.

“Kecaman terbaharu Anwar terhadap saya pada 22 Disember lalu mengatakan ‘rahsia umum, seorang yang menggondol kekayaan begitu besar’ adalah satu tohmahan melulu dan tidak berasas kononnya saya bersalah atas beberapa kesalahan yang tidak dinyatakan.

“Ini cukup menunjukkan kebenciannya terhadap saya,” katanya.

Daim menegaskan beliau telah berunding dengan peguam berhubung perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat.-28/12/2023

BERITA SEBELUM INI

SPRM siasat Daim dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram…
23, December 2023

Isu tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat milik keluarga Tun Daim Zainuddin terus mencuri perhatian ramai.

Tanda tanya yang paling hangat berlegar bekas Menteri Kewangan yang diketahui umum rapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat atas kes apa.

Hal ini telah dijawab sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Sabtu.

Katanya agensi itu sedang siasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan itu.

SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Azam Baki turut menjelaskan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar ini Jumaat lalu, tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan itu.

Selain ruang pejabat,pada bangunan yang terletak di Jalan Binjai ,Kuala Lumpur itu juga terdapat sebuah hotel lima bintang.

“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.

“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.

Azam Baki berkata, proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.

Katanya langkah sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan.-23/12/2023


SPRM sita Menara Ilham …ini komen Perdana Menteri
22, December 2023

Kecuali ramai petugas media datang pada Jumaat membuat liputan sekitar Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin…suasana di bangunan 60 tingkat di Jalan Binjai,Kuala Lumpur adalah seperti hari biasa.

Tinjauan juga dapati tiada kawalan luarbiasa sekitar bangunan itu yang turut menempatkan hotel lima bintang selain dari ruang pejabat.

Kisah bangunan berkenaan disita oleh SPRM tersebar Khamis malam.

Ia dikatakan disita berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Urus niaga itu melibatkan syarikat Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Beberapa orang pekerja di bangunan itu juga seolah bingung tidak tahu menahu kisah bangunan itu disita dan berkata mereka setakat ini kerja seperti biasa sehingga ada arahan selanjutnya.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara meminta semua pihak tidak buat tafsiran dan serahkan pada SPRM jalakan tugas dan tanggongjawab mereka.

“Setiap kali kita sentuh orang besar maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil ribuan kita sentuh tidak ada apa-apa. Sistem apa begitu,” katanya.

Beliau menafikan ada muslihat tertentu berhubung tindakan SPRM menyita Menara Ilham.

Anwar berkata siasatan badan anti rasuah itu membuktikan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.

SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, sebab itu saya sebut Tun ke, Tan Sri, kalau tidak nanti ada kritikan ikan kecil ditangkap tetapi kepala tidak boleh disentuh,” katanya/

“Jadi itu tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran.- 22/12/2023

Zayn-Rayyan

Sorotan jenayah 2023: Kes adik Zayn Rayyan tarik perhatian ramai

PENEMUAN mayat anak istimewa Zayn Rayyan Abdul Matiin berhampiran aliran anak sungai berdekatan blok rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Dis lepas, merupakan antara kes jenayah yang menarik perhatian ramai sebelum 2023 melabuhkan tirainya.

Sebelum itu ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya semasa menaiki tangga Blok R ke rumah mereka selepas bermain di taman permainan apartmen berkenaan, 5 Dis lepas.

Biarpun pada mula awalnya diklasifikasikan sebagai kes budak hilang dan mati mengejut, namun hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu telah mendedahkan mangsa sebenarnya dibunuh berdasarkan kesan luka mempertahankan diri pada tubuhnya.

Mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 disyaki dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan berhampiran aliran anak sungai berkenaan selepas polis mula giat memburu suspek terlibat dengan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Pada Sabtu lepas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya telah merakam 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman Damansara Damai dan mengambil 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi merungkai misteri kes pembunuhan kanak-kanak itu yang sehingga berita ini ditulis masih belum ada noktahnya.

Selain kes Zayn Rayyan, kes pembunuhan kejam secara tikaman dengan mangsa adalah ibu bapa pelaku sendiri turut berlaku pada tahun ini.

Pada 9 Dis lepas, sepasang suami isteri warga emas ditemukan maut dipercayai ditikam anak lelaki mereka dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Pasangan suami isteri berusia 82 dan 72 tahun itu ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Sumber berkata berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah pada sekitar pukul 7 malam.

Selain itu, angkara cemburu seorang wanita mati ditikam berkali-kali sehingga terkena jantung oleh teman lelakinya di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang, Selangor, 18 Dis lepas.

Negara juga dikejutkan dengan kes seorang anak lelaki berusia 47 tahun yang didakwa pada 28 Jun lepas di Mahkamah Majistret Muar kerana membunuh ibunya berusia 73 tahun di Taman Temiang Utama, Muar Johor pada 18 Jun 2023.

Terbaharu, gara-gara selisih faham seorang lelaki berusia 19 tahun mati dibunuh oleh abang teman wanitanya dan mayat mangsa ditanam di dalam semak di belakang rumah suspek di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor pada 23 Dis lepas.

Setakat ini, polis telah menahan seramai lapan orang termasuk tiga wanita yang berumur antara 19 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Sementara itu, isu kebanjiran pendatang tanpa izin di negara sehingga menimbulkan pelbagai masalah termasuk jenayah turut mendapat perhatian pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia apabila menyerbu “Mini Dhaka” di Jalan Silang, di sini pada 21 Dis lepas dan berjaya menahan 1,101 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan.

Operasi bermula 11 pagi dengan disertai 1,138 pegawai dan anggota daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membabitkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9) mendapat pujian orang ramai yang sudah muak dengan perangai besar kepala sesetengah warga asing di situ.

Pada tahun ini polis turut melakar beberapa kejayaan menumpaskan sindiket dadah dengan yang terbaharu membabitkan penahanan seorang lelaki bergelar “Datuk” yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dalam siri serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna, pada Isnin lepas (25 Dis).

Lelaki itu yang turut menaungi sebuah badan bukan kerajaan bagi melindungi kegiatan jejayah yang dilakukan sejak 2015 itu ditahan bersama sembilan lagi anggota kumpulan sindiket itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media khas memaklumkan sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Selain itu, polis juga berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di Melaka selepas merampas pelbagai jenis barang terlarang itu, dianggarkan bernilai RM6.94 juta susulan penahanan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun pada 18 Nov lepas.

Sementara itu, kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih lagi menjadi tumpuan apabila bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis pada 7 Julai dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang disyaki memainkan peranan penting dalam penyelewengan dana 1MDB tiba dari Amerika Syarikat pada 8 Okt bagi membantu siasatan skandal itu, selepas dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York.

Susulan penahanan Loo itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada 16 Ogos lepas dilaporkan berkata lebih banyak aset melibatkan kes 1MDB akan dirampas dalam masa terdekat dan akan dilucutkan hak untuk dikembalikan kepada kerajaan melalui proses mahkamah.

Dalam pada itu, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima tampuk pimpinan baharu tahun ini selepas ketua masing-masing bersara wajib.

Pada 21 Jun lepas, Razarudin yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 23 Jun lepas bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang tamat perkhidmatannya.

Berselang tiga bulan, pada 6 Sept, ATM pula mendapat Panglima Angkatan Tentera Malaysia baharu yang ke-22 iaitu Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman selepas penyandangnya, Jen Tan Sri Affendi Buang bersara.

— BERNAMA

nga2

Pilihanraya kerajaan tempatan…ini pendirian Menteri KPKT

Dari cara cakap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Khamis nampaknya kita boleh tafsir Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) cuma isu setakat sembang politik.

Orang kanan DAP itu sendiri jelas membayangkian beliau sendiri tidak berminat dengan hal itu.

Katanya beliau terus menerus konsisten dengan pendirian Pilihan Raya PBT yang dimansuhkan kuatkuasanya sejak 1976 itu bukan keutamaan kepada kemeneriannya.

Isu ini jadi panas gara gara baru baru ini dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan supaya mengembalikan Pilihan Raya PBT sebagai usaha bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Nga membayangkan pilihanraya itu tidak akan diadakan dalam tempoh empat tahun akan datang, iaitu sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan MADANI.

Sebaliknya beliau menegaskan, akan terus memfokuskan tujuh agenda utama untuk digerakkan dengan berkesan sebagai teraju baharu di kementerian itu.

“Mengenai Pilihan Raya PBT, jawapan saya konsisten. Keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada waktu ini adalah memfokus kepada tujuh agenda yang saya umumkan pada hari pertama saya memikul amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri KPKT.

“Negara baru sahaja pulih daripada pergolakan politik pada Julai lalu (Pilihan Raya Negeri). Sekarang adalah waktu untuk meredakan suhu politik dan mefokuskan kepada kerja-kerja yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media lepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, perkara itu juga sudah dibincangkan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa dan beliau konsisten dengan keputusannya.

Katanya, Pilihan Raya PBT yang dimansuhkan kuatkuasanya sejak 1976 itu bukan keutamaan kepada KPKT.

“Saya sentiasa berinterasi dengan YB Zaliha, kakak saya dan kami bekerja sebagai satu pasukan. Jawapan kami konsisten,” jelasnya.- 28/12/2023

tender1

Apakah isu kartel tender kerajaan akan berlalu bagai ditiup angin ?

Pendedahan sudah dibuat….malah ia sudah jadi isu viral yang hangat diperbualkan.

Apakah ia sekadar isu yang akan berlalu bagai ditiup angin lalu begitu sahaja

Sedangkan ramai yang berpendapat tindak tanduk kotor dalam taktik bidaan tender kerajaan ini perlu dibenteras segera.

Pada Rabu Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail dedah mengenai syarikat-syarikat tertentu dikesan cuba memanipulasi tawaran tender.

Beliau memberitahu dalam temu bual program Niaga AWANI bertajuk ‘Jangan Duga Taring MyCC’ lebih 500 syarikat kini berada di dalam ‘radar’ MyCC kerana dipercayai membentuk ‘kartel’ untuk membida tender projek kerajaan.

Antara modus operandi adalah, ada pemilik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.

“Antara modus operandi ialah mereka ini berkomplot atau bersekongkol antara satu sama lain dan menyerahkan tender secara beramai-ramai…. (sebagai contoh) 50 syarikat sekali (hantar bidaan tender).

Mengulas gejala ini Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abd Karim menegaskan, penipuan cara itu sama besar dengan ancaman rasuah.

Beliau berpendapat pasukan pakar forensik daripada pelbagai agensi yang pernah ditubuhkan sebelum ini perlu diaktifkan semula bagi mengekang segera isu kartel yang semakin berleluasa.

Jais menegaskan, strategi lebih ampuh amat diperlukan agensi penguatkuasaan bagi memastikan isu kartel dalam sesuatu sektor atau industri dapat ditangani sewajarnya.

Beliau menilai kenyataan bahawa 500 syarikat di Malaysia sedang berada di bawah penelitian MyCC kerana didakwa membentuk kartel untuk memanipulasi projek tender kerajaan adalah amat serius.

Pada masa sama, kata beliau, strategi melibatkan pemilik syarikat berkahwin dengan beberapa isteri untuk menggunakan nama sebagai proksi memberikan impak negatif terhadap persaingan yang adil.

“Isu kartel melibatkan aspek yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam daripada pelbagai perspektif.

“Pasukan pakar forensik pelbagai agensi itu pasti akan dapat mengesan dan memberikan impak besar dengan tindakan perundangan lebih tegas,” katanya dalam kenyataan Khamis sebagai reaksi kepada pendedahan Iskandar.

Mengulas lanjut, Jais berkata, pasukan forensik itu juga perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan serta tindakan tegas dapat dilakukan segera.

Jelasnya, perlindungan kepada pemberi maklumat atau whistleblower juga perlu diperkemas dengan jaminan keselamatan bakal merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan aktiviti mencurigakan.

Beliau memaklumkan, penglibatan awam dan program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti juga dapat membina tekanan positif untuk mencapai ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diinginkan.

“Kes-kes yang berulang kali dilaporkan mengenai kartel memanipulasi tender kerajaan adalah amat mengecewakan terutama ketika ramai rakyat sedang berdepan dengan kegawatan ekonomi yang serius.

“Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara,” katanya.-28/12/2023

tun-daim1

“Tun, cakap siang pandang pandang…kata orang kanan Anwar pada Dr Mahathir

Perang di luar gelanggang isu SPRM siasat bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin makin hari makin panas.

Orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tunggu lama untuk jawab apa yang dinilai para pemerhati sebagai kenyataan bernada sindiran Tun Dr Mahathir Mohamd Rabu semalam mengenai isu itu.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin pada Khamis tampil di aplikasi X untuk jawab bekas Perdana Menteri itu.

“Tun, cakap siang pandang – pandang. Cakap malam, dengar – dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,”katanya.

Shamsul mendakwa umum mengetahui mengapa Dr Mahathir membuat kenyataan sebegini , kerana sememangnya tidak senang dengan Anwar sejak tahun 1998 lagi.

“Ini kerana keengganan Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-98, yang mengakibatkan pemecatan Anwar dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini.

Beliau menyifatkan kenyataan bernada sindiran Dr Mahathir supaya ‘tahan reman’ semua orang yang memiliki pangkat Tun jika mereka enggan mendedahkan hasil kekayaan mereka, menunjukkan “kesombongan sikapnya”.

Ini, dakwanya memandangkan SPRM sedang menyiasat Daim yakni rakan baiknya ke atas kes pengubahan wang haram.

Shamsul seterusnya mengingatkan bahawa semua orang termasuk mereka yang bergelar Tun, tidak berada di atas undang-undang.

“Tetapi jika jujurlah kata-kata Mahathir sekiranya dia mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu,” kata Shamsul.

Selari dengan itu beliau menggesa SPRM menyelongkar sumber kekayaan anak-anak Mahathir dan juga menyiasat semula kes penyelewengan dana dan projek-projek negara yang merugikan seperti Perwaja Steel, Empangan Hidroelektrik Bakun, MISC Berhad, Pelabuhang Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Maminco dan Kenchana Petroleum.

Pada Rabu dibawah tajuk ‘ The rule of law’ dalam kenyataan menerusi aplikasi X itu Dr Mahathir terus ‘tembak’ bahawa semua orang yang bergelar ‘Tun’ harus disiasat.

Beliau juga secara sinis berkata tidak perlu dapatkan bukti dokumentari dan syak saja sudah sudah cukup.

“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.

“Tidak perlu mendapatkan bukti dokumentari tentang salah laku mereka. Syak wasangka sahaja sudah memadai.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, ia pasti kerana mereka mahu menyembunyikannya,” katanya.

Semua orang tahu Daim ialah orang yang rapat dengan Dr Mahathir.

Beliau pernah menjadi Bendahari UMNO dan Menteri Kewangan di zaman pentabiran beliau dulu.

Setakat ini Daim belum keluar sebarang kenyataan mengenai tindakan SPRM.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sudah mengesahkan Daim disiasat atas dakwan rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.- 28/12/2023

mae-emadani

Kredit eMADANI melalui MAE boleh diguna di 700,000 peniaga

RAKYAT Malaysia berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 apabila mereka menebus dan membelanjakan kredit e-dompet RM100 eMADANI menerusi aplikasi MAE Maybank.

Sebagai sokongan penuh kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana, pengguna juga boleh mendapatkan penyertaan tambahan dengan ‘Tap, Track, Win’ apabila mereka Imbas & Bayar dengan MAE di lebih 700,000 peniaga di seluruh negara seperti 99 Speedmart, MyNEWS, MYDIN, WATSONS, Guardian, EcoShop, CHAGEE, Nasi Kandar Pelita, NINJAZ dan banyak lagi.

Pengguna berpeluang memenangi hadiah termasuk Proton S70 1.5T Premium, Proton Exora 1.6T Premium, Proton Saga 1.3L Premium SAT, motosikal Honda 2023 RSX V2, 10g emas, komputer riba ‘gaming’, Samsung Z Fold 5, Smart TV, PlayStation 5 dan wang tunai sehingga RM5,000 sempena Kempen Tebus, Belanja dan Menang.

Tuntutan kredit RM100 eMADANI boleh dilakukan hingga 20 Februari 2024, manakala pembelian dibuat dari 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Kredit e-dompet RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas daripada golongan B40 dan M40 bermula 4 Disember, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.

“Pengguna hanya perlu membuka aplikasi MAE, kemudian tekan ikon ‘eMADANI’ pada laman utama, masukkan maklumat mereka dan tekan ‘Submit’. Mereka akan menerima notifikasi apabila penebusan RM100 eMADANI berjaya,” menurut kenyataan Maybank.

Terdapat dua cara untuk Imbas & Bayar bagi menggunakan kredit RM100 eMADANI ketika pembayaran menerusi aplikasi MAE, sama ada dengan mengimbas kod QR peniaga atau menunjukkan kod QR kepada juruwang untuk diimbas.

“Jika kod QR Maybank atau DuitNow peniaga dipamerkan di kaunter, pelanggan terlebih dahulu perlu menekan ikon ‘Scan’ pada laman utama aplikasi MAE, kemudian imbas kod QR peniaga dan masukkan jumlah yang perlu dibayar, pastikan suis togol eMADANI ‘ON’ dan berwarna hijau.

“Bagaimanapun, sesetengah peniaga akan meminta untuk mengimbas kod QR pelanggan. Dalam hal ini, pelanggan perlu menekan ikon ‘Scan’ pada laman utama aplikasi MAE, kemudan tekan pada ikon ‘Show QR code’ dan tunjukkan kod QR atau kod bar kepada juruwang, pastikan suis togol eMADANI ‘ON’ dan berwarna hijau,” menurut Maybank.

Aplikasi MAE, iaitu aplikasi perbankan gaya hidup, terpilih sebagai antara aplikasi pengagihan kredit eMADANI yang memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat Malaysia daripada golongan B40 dan M40, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan dan penerimaan terhadap pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga tempatan di negara ini.

kpj-tawakkal

Hospital swasta Malaysia dijangka terus ‘buat duit’…

POPULASI rakyat Malaysia yang semakin tua dan berduit ada faktor yang terus menyokong pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia, kata penyelidik Kenanga Research.

Dalam nota kepada media, Kenanga Research menganjurkan perbelanjaan sektor penjagaan kesihatan dijangka mencecah USD10 trilion menjelang 2026, meningkat daripada USD8.4 trilion pada 2022, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, permintaan untuk penjagaan kesihatan swasta akan terus meningkat pada 2024 disokong oleh penambahan kapasiti pesakit dan hasil yang lebih tinggi.

Mereka menamakan dua konglomerat penjagaan kesihatan terkemuka Malaysia IHH Healthcare Bhd dan KPJ Healthcare Bhd sebagai pilihan utama.

Syarikat penyelidikan itu menjangkakan kedua-dua pengendali hospital swasta tersebut mendapat manfaat daripada pemulihan dalam permintaan untuk pembedahan elektif, kecekapan operasi yang lebih baik, pengoptimuman kos dan penyerapan overhed.

“Faktor pertumbuhan utama adalah peningkatan pesakit dalamam dan jumlah hunian katil dan pelancong perubatan, penambahan katil baharu (sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan yang beransur-ansur berkurangan),”ujar laporan tersebut.

“Kami menjangkakan prestasi yang mampan di Malaysia, manakala kekurangan kakitangan di Singapura telah diselesaikan.

Firma itu menjangkakan pertumbuhan 8.0 peratus dalam pengeluaran pesakit KPJ Healthcare Bhd berbanding 6. 0 peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023 (FY23).