asn

Agihan pendapatan ASB 5.25 sen

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat
pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion ini akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.

ASB terus memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

Bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Pasaran Malaysia pada tahun 2023 telah menunjukkan daya tahan dan menyesuai dengan baik di tengah-tengah ketegangan geopolitik global dan ketidaktentuan ekonomi.

Walaupun berhadapan dengan cabaran termasuk kenaikan kadar faedah dan tekanan inflasi, ekonomi dan pasaran modal
Malaysia menunjukkan keupayaannya untuk mengharungi cabaran ini.

Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0% pada tahun 2023, dengan sokongan berterusan penggunaan domestik yang kukuh, perbelanjaan infrastruktur serta pemulihan dalam sektor pelancongan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 3.3% pada suku ketiga 2023 (Q3 2023), berbanding 2.9% pada Q2 2023 (Q1 2023: 5.9%).

Namun begitu, pasaran modal tidak terlindung daripada trend makro global, khususnya kenaikan kadar faedah. Setakat 15 Disember 2023, FBM KLCI telah merosot 2.2%.

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, “Di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetap kami, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.

Oleh itu, orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa
panjang dan masa depan yang terjamin. Kami mengiktiraf kepentingan memperjuangkan agenda celik kewangan dan berpandukan matlamat kami yang diperbaharui baru-baru ini – ‘Untuk Mengukuh Kedudukan Kewangan Rakyat Malaysia, Merentas Generasi’, kami komited untuk berkhidmat kepada pemegang unit kami dan memberikan hasil yang kompetitif.”

“Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 (daripada 15.2 juta tahun lepas). Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular,” tambah beliau.

Dalam perkembangan korporatnya, tahun 2023 merupakan tahun yang penuh peristiwa bagi PNB.|

Transaksi utama ialah penggabungan UMW Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad, yang mengukuhkan kedudukan Kumpulan dalam sektor automotif domestik dan serantau.

Perkembangan lain termasuk penggabungan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), serta pemeteraian perjanjian jual beli dan pajakan balik RM2 bilion bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], dengan Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd untuk kemudahan pembuatannya di Kulim Hi-tech Park, Kedah. Perjanjian penting itu adalah selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “ASB telah mencatatkan prestasi yang kukuh, hasil daripada perumpukan aset dan strategi kepelbagaian kami.

Beberapa urus niaga penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang unit. ASB

terus menjadi pelaburan pilihan jutaan masyarakat Bumiputera dan terus memberikan pulangan yang konsisten, membentuk sebahagian daripada pelan simpanan untuk lebih 10.8 juta pelanggan.”

Tahun ini juga menyaksikan pelancaran Superapp myASNB yang diperbaharui untuk menyediakan perjalanan dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan kepada pemegang unit, serta Laporan Tahunan Bersepadu (IAR) sulung PNB, yang menerapkan kemampanan dalam rangka kerja pelaporan Kumpulan bagi meningkatkan standard dan ketelusan pelaporannya, selaras dengan amalan terbaik global.

Sementara itu, susulan pelancaran dana ASN Sukuk pada November 2022,
PNB menyaksikan permintaan yang sihat daripada pemegang unit dengan lebih daripada 1 bilion unit terjual sejak pelancaran.

“PNB terus menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan 2023. Seiring melangkah ke tahun baharu dan melakarkan peluang baharu, kami akan meneruskan strategi pelaburan kami dan kekal teguh dalam komitmen untuk menyampaikan mandat kami,” kata Ahmad Zulqarnain.

Melangkah ke 2024, PNB akan terus menyokong agenda inovasi dan mengutamakan pendigitalan untuk menambahbaik pengalaman pemegang unit, sambil memastikan Kumpulan berada di landasan yang betul dalam mencapai 10 Komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial, & Tadbir Urus).

PNB juga akan lebih aktif dalam memperjuangkan agenda celik kewangan untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

Antara inisiatif itu termasuk menawarkan Auto Labur, sebuah fungsi pelaburan berulang pada aplikasi myASNB, untuk meningkatkan tabiat menyimpan dan memperkenalkan ASNB Academy, sebuah instrumen celik kewangan yang boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia dengan fungsi sebagai hab pengetahuan dan pusat rujukan mengenai pelaburan serta perancangan kewangan.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Unit-unit yang dilaburkan semuladaripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2024.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 25 Disember 2022.

Satu ciri khas diperkenalkan pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia terus menyimpan,yang membolehkan transaksi pelaburan tunai tambahan dalam ASB bermula 26 Disember 2023.


Urus niaga pelaburan ini akan diambil kira untuk baki minimum bulanan pada Januari 2024,membolehkan pemegang unit menikmati pengiraan penuh pengagihan pendapatan mulai Januari 2024

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di semua platform digital dan perbankan internet bermula 1 Januari 2024, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Januari 2024 – 21/12/2024

MI-LOV1

Lepas susah….datanglah senang

CATATAN HELME HANAFI ( BAHAGIAN KE TUJUH)….

13 jam berkereta dari Surabaya ke Banyuwangi, 3 jam lagi seberang feri dan ke Lovina utara Bali. Letih ya amat.

Tiga hotel yang kami singgah penuh. Cuti sekolah dan Hari Natal, saya pulak tak booking dulu. Kat sini rules dia booking hanya sampai jam 10 malam, lepas pada tu kira esok hari.

So walk in, alhamdulillah hotel ke empat dapat, tak kira apadah, terus ambil sebiji villa, cantik tak cantik belakang kira. Janji nak tidur dulu.

Masa nak bayar, staff tu kata 850 ribu rupiah, eh murah, RM240 duit kita lebih kurang. Suasana gelap, nak tengok kawasan keliling.

Lepas check in terus tidur, pagi ini bangun… Masyallah.

Patutlah, Seokarno masa jadi presiden kata Bali ini adalah surga di bumi. Memang terbaik, lanskapnya betul2 semulajadi

Saya ada banyak nak tulis, pengalaman perjalanan 1000 kilometer dari Jawa Barat ke Jawa Tengah ke Jawa Timur.

Tapi pagi ini. Biarlah saya menikmati keindahan pantai Lovina utara Bali dulu. Melepaskan lelah selepas lapan hari dalam roadtrip Trans Jawa jalur Selatan.
Sekali seumur hidup bersama keluarga tersayang.- 20/12/2023

ZIM-768x432

Malaysia sekat kapal berpengkalan di Israel berlabuh

Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta merta.

Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di

Malaysia. Namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.

Selain itu, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia. Kedua-dua sekatan ini juga berkuatkuasa serta-merta.

Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.

Kenyataan Media
Perdana Menteri
ANWAR IBRAHIM

20 Disember 2023

dbkl1

RM500 juta untuk laksana pilihanraya kerajaan tempatan

Bab politik satu hal….satu segi lain mungkin ramai yang tidak tahu bahawa perlaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan (PRKT) pasti menelan belanja yang cukup besar.

Nak tahu berapa ? bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican anggar jumlahnya ialah hampir RM500 juta.

Dalam satu kenyataan pada Rabu untuk ulas desakan DAP agar diadakan PRKT beliau berkata, ” Di Malaysia, kita mempunyai 155 kerajaan tempatan termasuk empat agensi yang diberi kuasa PBT. Daripada jumlah ini, 132 PBT masih bertaraf majlis perbandaran dan majlis daerah.

Pelaksanaan PRKT ini pastinya akan menelan belanja yang cukup besar. Secara purata, setiap PRKT ini akan memberi implikasi kewangan sebanyak RM3 juta untuk dilaksanakan. Ini bermakna, sekiranya PRKT ini ingin dilaksanakan, jumlah belanja yang dianggarkan adalah hampir setengah bilion ringgit dan ia memberi kesan kewangan yang cukup besar kepada kerajaan tempatan dalam kategori majlis perbandaran dan majlis daerah.

Sebagai perbandingan, peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk KPKT dalam Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM5.6 bilion. Ini bermakna, bagi tujuan PRKT semata-mata, jika dilaksanakan, akan menggunakan hampir 10% daripada peruntukan yang terhad ini. Sedangkan jumlah peruntukan ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang jauh lebih penting dan dapat memberi manfaat terus kepada rakyat,”katanya.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH REEZAL YANG KINI ADALAH AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KAWASAN BERTAM.

PANDANGAN
YB. DATO’ SERI REEZAL MERICAN BIN NAINA MERICAN
MANTAN MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
———————————————————————————
SEBAGAI RESPON
ISU PELAKSANAAN PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN
20 DISEMBER 2023
——-—————————————————————————

  1. Kenyataan YB Tan Kok Wai, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga Parlimen Cheras baru-baru ini berkenaan cadangan terbukanya untuk mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan khususnya di Kuala Lumpur mengundang reaksi yang pelbagai.
  2. Pada saya, kenyataan beliau bukanlah sesuatu yang mengejutkan namun meninggalkan tanda tanya, apa yang beliau cuba hamparkan kepada umum.
  3. Pastinya perihal pilihanraya kerajaan tempatan (PRKT) ini menarik perhatian saya apatah lagi saya sendiri ketika menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut pernah ditanya berkenaan perkara ini dan telah memberi jawapan bertulis berkaitan perkara ini pada 8 Disember 2021 serta menjawab soalan lisan oleh Marina Chin Abdullah pada ketika itu.
  4. Secara prinsipnya, saya kekal konsisten dengan pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk kita berkisah tentang PRKT ini. Bak kata orang, jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai. Ini kerana, jikalau kita tolak tepi perbahasan berkait dengan politik dalam soal PRKT ini, ia pada dasarnya masih bukanlah satu perbahasan yang wajar di kala lebih banyak isu yang menyentuh well-being kehidupan rakyat patut diutamakan.
  5. Dalam konteks perbahasan sains politik, cadangan YB Tan Kok Wai tidak salah. Cadangan ini pastinya mencerminkan idealisme dalam menggambarkan keadaan demokrasi yang lebih baik.
  6. Persoalannya sekarang, dalam konteks realiti, adakah ianya perlu? Adakah selama ini demokrasi tidak subur? Adakah amalan sedia ada ini tidak menggambarkan kesuburan demokrasi?
  7. Adakah amalan pemilihan dan pelantikan, bukan amalan demokrasi? Pastinya panjang perdebatan dari aspek falsafah jika kita ingin bincangkan namun saya lebih suka jika kita lihat dalam kaca mata realiti semasa. Hakikatnya, ia sama seperti bidalan orang kita, kalau panjang beri beruas, kalau pendek beri berbuku.
  8. Pertama, apabila diamati keadaan kerajaan tempatan pada hari ini, amalan demokrasi dan pendekatan semak imbang tetap boleh sahaja dicapai tanpa PRKT. Hal ini demikian kerana dalam lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), boleh sahaja ditetapkan kuota tertentu untuk memastikan pihak-pihak yang berbeza boleh menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan tempatan ini.
  9. Malah, pemilihan wakil Kerajaan Tempatan dalam keadaan semasa sudah pun memadai. Sebagai contoh, di negeri Selangor, lantikan ahli majlis kerajaan tempatan adalah berdasarkan kuota 75% daripada calon parti politik manakala baki 25% dari kalangan badan bukan kerajaan. Model sebegini tetap sahaja menjamin bahawa semak imbang boleh dijalankan melalui pandangan profesional oleh pihak yang bebas dari bingkai kepentingan politik serta mencerminkan keberadaan wakil masyarakat sivil iaitu NGO.
  10. Malah di peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pelantikan Ahli Lembaga Penasihat turut mengambil kira komposisi serta perwakilan semua pihak berkepentingan dalam soal perbandaran.
  11. Dalam hal ini juga, laporan Economic Intelligence Unit (EIU) meletakkan Malaysia di tangga 40 pada tahun 2022 dalam Indeks Demokrasi, lebih tinggi daripada Singapura di kedudukan ke-70. Malah, Malaysia mencatat skor tertinggi sebanyak 9.58 mata dalam soal “electoral process and pluralism”.
  12. Kedua, saya lebih cenderung melihat penggunaan wang awam kerajaan tempatan disalurkan kepada aktiviti meningkatkan kesejahteraan atau well-being rakyat, tahap daya huni, kualiti perkhidmatan dan juga penyelenggaraan fasiliti utama khususnya di ibu kota Kuala Lumpur. Hakikatnya, inilah ekspektasi utama rakyat dalam menilai perkhidmatan kerajaan tempatan kita.
  13. Di Malaysia, kita mempunyai 155 kerajaan tempatan termasuk empat agensi yang diberi kuasa PBT. Daripada jumlah ini, 132 PBT masih bertaraf majlis perbandaran dan majlis daerah.
  14. Pelaksanaan PRKT ini pastinya akan menelan belanja yang cukup besar. Secara purata, setiap PRKT ini akan memberi implikasi kewangan sebanyak RM3 juta untuk dilaksanakan. Ini bermakna, sekiranya PRKT ini ingin dilaksanakan, jumlah belanja yang dianggarkan adalah hampir setengah bilion ringgit dan ia memberi kesan kewangan yang cukup besar kepada kerajaan tempatan dalam kategori majlis perbandaran dan majlis daerah.
  15. Sebagai perbandingan, peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk KPKT dalam Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM5.6 bilion. Ini bermakna, bagi tujuan PRKT semata-mata, jika dilaksanakan, akan menggunakan hampir 10% daripada peruntukan yang terhad ini. Sedangkan jumlah peruntukan ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang jauh lebih penting dan dapat memberi manfaat terus kepada rakyat.
  16. Ketiga, melihatkan kepada realiti semasa, rakyat sudah mula menzahirkan bahawa mereka sudah tepu dengan agenda berkisar politik dan aktiviti pilihanraya. Hakikatnya, fenomena kelesuan politik (political fatigue) sudah mula dirasai di negara kita ini. Malah ada laporan menyatakan rakyat sudah rimas dan bosan dengan permainan dan percaturan politik yang seolah-olah tiada penghujungnya.
  17. Data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa statistik keluar mengundi bagi beberapa siri pilihanraya yang diadakan dalam dua tahun kebelakangan ini adalah tidak memberansangkan.
  18. Pilihanraya di enam negeri yang diadakan pada Ogos lalu mencatatkan peratusan keluar mengundi tidak lebih dari 75% pun di mana-mana negeri. Malah di dua buah negeri iaitu Kelantan dan Negeri Sembilan, peratusan keluar mengundi tidak sampai 70% pun.
  19. Kerana itulah saya berpendapat bahawa sekalipun PRKT ini dikembalikan dan dilaksanakan, ia tidak mencerminkan ekspektasi dan aspirasi rakyat di bawah sana.
  20. Akhirnya tujuan demokrasi itu tidak semestinya juga boleh dicapai. Manakan tidak, kita menjulang demokrasi sebagai menjunjung suara dan pilihan rakyat, tapi sebenarnya rakyat enggan bersama-sama dalam proses demokrasi ini.
  21. Adalah lebih mustahak pada hari ini, untuk memastikan bahawa fungsi PBT ini boleh dipenuhi dan dilaksanakan dengan baik. Prestasi PBT adalah hal yang paling mustahak dan memberi impak langsung kepada rakyat, bukanlah kaedah pemilihan mahupun lantikan terhadap ahli pentadbirannya.
  22. Kerana itulah di Malaysia ini, banyak sahaja kerajaan-kerajaan tempatan yang cemerlang dan dapat membantu kerajaan negeri membangunkan kawasan bandar mereka menjadi bandar yang selesa dan berdaya huni.
  23. Jabatan Perancangan dan Desa atau PLAN Malaysia merekodkan bahawa 80 PBT di Malaysia ini mencapai skor lebih 80% dalam Indeks Kebahagiaan yang mana penilaiannya mengambil kira aspek yang berkaitan dengan tahap dan kualiti perkhidmatan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah.
  24. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Daerah Tampin (MDT), Majlis Daerah Jelebu (MDJ), semuanya memperoleh skor lebih 90% dalam indeks ini. Nilai sepunya pada PBT-PBT ini adalah mereka memberi penekanan kepada kekuatan yang ada pada kawasan dan ahli majlis mereka, tanpa memainkan sentimen politik dan demokrasi.
  25. Tuntasnya, pelaksanaan PRKT bukanlah satu keperluan dan keutamaan. Tanpa mengadakan PRKT, tidak bermakna demokrasi di negara kita menjadi canggung, apatah lagi terus menyimpulkan bahawa ia tidak subur. Apa yang penting adalah memperkemas khidmat PBT dalam memenuhi keperluan dan kehendak rakyat terbanyak di luar sana khususnya dalam meningkatkan daya huni serta merancakkan pelbagai aktiviti sosio-ekonomi untuk warganya.- 20/12/2023
bumiputra

Penduduk bumiputera dianggar 21.3 juta orang…

Jumlah penduduk bumiputera di Malaysia pada tahun ini dianggarkan seramai 21.3 juta orang daripada 33.4 juta penduduk, demikian menurut Statistik Bumiputera 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan Selasa berkata jumlah penduduk bumiputera lelaki adalah 10.8 juta orang manakala perempuan sebanyak 10.5 juta orang, dengan nisbah jantina 102 lelaki berbanding 100 perempuan.

Mohd Uzir berkata bumiputera menyumbang 92.7 peratus menerusi penyertaan dalam profesional dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2022.

Selain itu, beliau berkata bumiputera turut menyumbang 60.8 peratus sebagai juruukur tanah, 61.5 peratus juruukur bahan, 52.8 peratus doktor gigi dan 52.7 peratus pereka dalaman.

Bumiputera kurang sertai kerjaya arkitek, peguam dan akauntan

Bagaimanapun, katanya bumiputera mencatatkan penyertaan di bawah 50 peratus bagi arkitek iaitu 41.2 peratus, peguam (38.2 peratus) dan akauntan (31.8 peratus).

Mohd Uzir memaklumkan penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2022 menunjukkan seramai 9.6 juta tenaga buruh adalah bumiputera yang terdiri daripada 5.8 juta lelaki dan 3.9 juta wanita.

Bagi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB), katanya bumiputera meningkat kepada 67.1 peratus berbanding 65.8 peratus pada 2021, manakala dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan bumiputera masing-masing adalah 80 peratus dan 54.1 peratus.

“Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3 peratus,” katanya dan menambah 37.7 peratus tenaga buruh bumiputera berpendidikan ‘tertiari’ atau pendidikan tinggi.

Kadar pengangguran bumiputera pada 4%

Sementara itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera adalah empat peratus berbanding lima peratus pada 2021.

Dari segi statistik siswazah pula, menurutnya bilangan siswazah bumiputera yang direkodkan sehingga 2022 adalah seramai 3.8 juta orang, terdiri daripada 1.7 juta lelaki dan 2.2 juta wanita.

Bagi pindah milik harta tanah pada 2022, bumiputera merekodkan sebanyak 121,997 transaksi harta kediaman dengan sumbangan sebanyak 36.8 peratus atau RM34.7 bilion kepada jumlah nilai pindah milik harta kediaman RM94.3 bilion.

“Bumiputera melakukan sebanyak 3,774 pindah milik harta tanah jenis komersial dengan nilai pindah milik bernilai RM2.1 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun 2021,” katanya.

Dari segi perspektif kebajikan, beliau berkata bilangan bumiputera yang berdaftar di Institusi Kebajikan Am bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2022 adalah seramai 2,714 orang, berbanding 2,948 orang tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, 1,096 orang di Institusi Kanak-Kanak, 637 orang di Institusi Orang Kurang Upaya dan 981 orang di Institusi Warga Emas dan Orang Papa, katanya.

Statistik bumiputera diterbitkan itu memaparkan statistik bumiputera terpilih dalam bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.

Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah.

  • Bernama- 19/12/2023
rafizi-podcast

Mari…mari….’bakar menteri’

Sebelum ini cabaranya cuma ditujukan kepada seorang aktivis siber PN yakni ‘YB Viral’.Namun kini ia terbuka sesiapa saja yang sedia berentap denganya.

Pada Selasa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengundang terbuka sama ada ahli akademik, penyokong kerajaan atau orang awam untuk berdepan dengannya di medan podcast.

Episod pertama podcast tersebut, yang dinamakan “Yang Bakar Menteri” dijadual dibuat pada 8 Januari ini.Selepas itu ia akan diadakan setiap dua minggu.

Timbalan Presiden PKR itu membuat undangan terbuka itu selepas YB Viral menolak cabarannya pada 15 Disember lalu untuk bersemuka atas alasan podcast bukan medan debat.

Kata YB Viral beliau hendak berdebat dengan Rafizi bukan hendak menyertai sesi soal jawab menerusi podcast.

Aktivis itu juga mendakwa Rafizi kecut hingga terpaksa tukar dari debat kepada podcast.

( Podcast ialah sesi seperti ‘ Keluar Sekejap’ yang dikendali oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan) .

Sebaliknya Rafizi mempertahankan langkahnya.

“Konon podcast itu bukan debat, sedangkan semua orang tahu podcast adalah platform. Sebarang perdebatan boleh sahaja dibuat di mana-mana platform – dalam dewan, TV, radio atau podcast di internet.

“Debat itu maksudnya bersemuka (bukan menjerit maki hamun di cermin),” katanya.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH RAFIZI DI LAMAN FACEBOOKNYA….

SIAPA NAK BAKAR MENTERI

Berhari-hari meroyan seorang aktivis maya (cyber activist) pembangkang selepas kena cuit dengan saya.

Ada pelbagai reaksi kepada langkah saya melayan kandungan-kandungan aktivis maya ini. Sebahagian besar menyokong (berdasarkan maklum balas di media sosial), segelintir merasakan seorang menteri tidak boleh bersuara.

Ada dua jenis yang berhujah menteri tidak boleh bersuara.

Pertama, mereka yang merasakan menteri mestilah menjaga standard sendiri dan tugas menjawab serangan aktivis maya ini adalah tugas cyber trooper. Saya rasa mereka kebanyakannya dari kalangan pengundi atas pagar.

Kedua, kumpulan yang menjawab “menteri tumpu buat kerja menteri”, seolah-olah memberi pencerahan itu bukan tugas menteri. Pada pemerhatian saya, kebanyakan yang berhujah begini adalah aktivis maya pembangkang.

Namun secara keseluruhannya, majoriti reaksi di media sosial menyokong langkah menangani dakyah pembangkang ini secara berdepan.

Sebab itu saya cuit seorang yang menggelarkan dirinya YB Viral. Dia bukanlah penting atau berpengaruh pun, tetapi reaksinya sebelum, semasa dan selepas dicuit menggambarkan watak sebenar aktivis maya pembangkang.

Sebelum dicuit, mereka adalah jenis yang suka mempertikaikan segalanya. Kalau pertikaian itu berasaskan fakta dan perspektif yang benar, saya kira itu boleh diterima.

Tetapi pertikaian yang dibawa berunsurkan maki hamun, jeritan dan emosi kerana mereka tidak faham pun isu-isu ekonomi yang cuba dibawa.

Semasa dicuit, mereka menggelabah dan menggelupur. Terbongkarlah watak mereka yang sebenarnya hanya berani baling batu sembunyi tangan.

Mereka tidak berani berhujah di depan, mereka lari jika dicabar dan mereka takut dengan tindakan undang-undang (kerana mereka tahu banyak kandungan mereka melanggar undang-undang jika dibawa ke mahkamah).

Selepas dicuit, mereka akan pusing untuk mengalih tumpuan kepada perkara-perkara picisan. Dalam kes YB Viral, hujahnya berkisar mengenai “debat dan podcast”. Konon podcast itu bukan debat, sedangkan semua orang tahu podcast adalah platform. Sebarang perdebatan boleh sahaja dibuat di mana-mana platform – dalam dewan, TV, radio atau podcast di internet. Debat itu maksudnya bersemuka (bukan menjerit maki hamun di cermin).

Itulah tujuan saya – untuk menunjukkan watak sebenar aktivis maya pembangkang.

Sebab itu saya telah merancang untuk memulakan podcast YBM (rasminya bermakna Yang Berhormat Menteri, tetapi podcast ini bermakna Yang Bakar Menteri).

Peluang bersemuka di podcast (yang dirakam pada sebelah malam) bertujuan memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengan saya (tanpa menggunakan peruntukan, kerana kemunculan di televisyen menggunakan wang rakyaf apabila melibatkan air time).

Podcast YBM terbuka kepada sesiapa sahaja – ahli akademik, penyokong kerajaan, rakyat biasa dan terutamanya aktivis maya pembangkang.

Selain dari mereka yang ingin tampil secara sukarela untuk peluang membakar menteri, saya juga akan mencari aktivis-aktivis maya pembangkang yang banyak memainkan dakyah untuk tampil.

Saya akan cari mereka, jemput dan beri peluang bersemuka. Mereka berpeluang membakar saya, saya juga berpeluang membakar mereka.

Bagi saya, budaya begini lebih baik dari budaya maki hamun dan pertikai perkara picisan seperti yang dibawa aktivis maya pembangkang sekarang.

Siaran podcast Yang Bakar Menteri (YBM) akan bermula pada 8 Januari 2024 setiap dua minggu.

Siapa yang berani menyahut cabaran untuk membakar menteri dan berhadapan risiko kena bakar?

Mangsa pertama YB Viral sudah terbakar dan biarkan dia kepanasan menjerit di depan cermin keseorangan.

Jika ada watak yang cocok, siapa orang pertama yang akan bersemuka dengan saya pada 8 Januari 2024 ini? – 19/12/2023

yoges-agong

Yogeswary anda berhak terima pingat ini, titah Agong

“Anda berhak menerimanya,” demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada R Yogeswary membuatkan pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh itu tersenyum lebar dan semakin bersemangat membantu mereka yang memerlukan.

Apatah lagi titah itu disampaikan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah kepadanya yang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara hari ini.

Bagaimanapun, hanya ucapan terima kasih berkali-kali yang mampu diucapkan kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah dalam pertemuan singkat sejurus istiadat itu selesai di Balairung Seri.

“Saya tak sangka hari ini saya boleh menjejakkan kaki ke Istana Negara dan bertemu sendiri Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri malah pegawai Istana memberitahu Seri Paduka sendiri nak jumpa saya sekejap dan ambil gambar bersama-sama,” katanya dalam nada sebak ketika menceritakan momen indah itu kepada Bernama.

Yogeswary, 44, yang tular di media sosial kerana sering membantu pesakit dan pelawat di parkir hospital, adalah antara 298 penerima pada istiadat berkenaan yang diadakan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Memilih persalinan kebaya hitam pada hari yang disifatkan sebagai paling istimewa sepanjang hidupnya, Yogeswary hadir dengan ditemani kakaknya, R Rajeswary, 48, seorang guru tadika.

Yogeswary berkata beliau ikhlas menghulurkan segala khidmat dan bantuan meskipun ia bukan kerja hakiki seorang pengawal keselamatan.

“Di hospital, banyak pesakit yang mendapatkan rawatan berada dalam keadaan yang sedih, begitu juga ahli keluarga mereka, sebab itu saya sentiasa ingin memberikan layanan yang baik kerana itulah sekecil-kecil pertolongan yang boleh saya berikan.

“Saya tidak akan berhenti untuk membantu masyarakat, selagi saya sihat dan mempunyai tenaga, saya pasti akan usaha sedaya upaya untuk membantu orang ramai,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Gerik itu juga tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pengurniaan pingat berkenaan selain orang ramai, majikan dan keluarganya atas sokongan berterusan diterimanya selama ini.

Yogeswary, yang sebelum ini bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, telah ditempatkan di Kompleks Rawatan Harian sejak enam bulan lepas.

Kisahnya yang sering membantu pesakit atau pelawat hospital tular di media sosial sehingga meraih perhatian Menteri Kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa yang memuji tindakan Yogeswary serta menzahirkan penghargaan kepada wanita itu dalam hantaran di laman Facebook.

Antara bantuan yang dihulur Yogeswary ialah mengangkat barang, mengawal lalu lintas dan menenangkan pesakit dalam keadaan cemas selain mengucapkan tahniah kepada ibu baru bersalin.

Sementara itu di media sosial, warganet turut mengucapkan tahniah kepada wanita itu.

“Semoga yang lain teladani sifat ini, berbuat baiklah kepada orang lain,” tulis pengguna Instagram lala_walid.- Bernama- 19/12/2023

anwar-li

Anwar: Dasar Pandang ke Timur kini termasuk China

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.

“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya kepada Asahi Shimbun ketika ditemu bual di Tokyo pada 17 Dis.

Beliau merujuk kepada Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau seperti dipetik oleh akhbar Jepun itu.

Anwar berkata teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.

  • Bernama-19/12/2023
kilau2

Raja Gelek Datuk Daud Kilau sudah tiada….

Baru saja penyanyi Ibnor Riza meninggal pada Ahad…hari ini Isnin Raja Gelek Datuk Daud Kilau pula pergi jam 4.40 petang tadi di Hospital Teluk Intan.

Berita duka itu disampaikan anak lelakinya iaitu Ahmad Zaini Mohd Daud, 52.

Katanya keadaan kesihatan bapanya itu tidak stabil sejak dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.

“Ayah saya memang ada penyakit diabestes, darah tinggi dan jantung. Dia dimasukkan ke hospital baru-baru ini sebab kesihatannya tidak stabil.

Sejak tiga hari lalu keadaannya semakin teruk dan asyik meracau. Masalah kencing manis juga semakin merebak,” katanya.

Menurut Zaini, doktor sepatutnya mahu melakukan pembedahan memotong kedua-dua kaki namun tidak dapat dilakukan kerana tekanan darah tidak stabil.

“Sepatutnya hari ini (Isnin) nak potong kedua-dua belah kaki sebab masalah diabetes. Tapi apabila doktor bius periksa, ia tidak boleh dilakukan sebab tekanan darah tidak stabil.

Ini kali ketiga pembedahan ditangguhkan sebab masalah sama,”katanya.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak selepas solat Zohor, Selasa.- 18/12/2023

pkp005

Covid-19: Buat masa ini tiada rancangan laksana PKP

Kenangan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara gara Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021 ibarat ‘mimpi ngeri’ bagi rakyat negara ini.

Banyak pengalaman perit dari segi kesihatan,ekonomi dan segala macam dilalui waktu yang getir itu.

Harapan ramai pasti semua tidak mahu melaluinya lagi keadaan yang amat merumitkan kehidupan harian dari segenap segi.

Ekoran peningkatan kes Covid-19 dan negara ini dan serata dunia kebelakangan ini sudah timbul pelbagai spekulasi.

Namun kita boleh menarik nafas lega pada Isnin bila Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan langkah PKP tidak dipertimbangkan, buat masa ini kerana keadaan masih terkawal.

“Kementerian kesihatan harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP.

“(Buat masa ini) kita tak cakap pasal PKP… untuk sekarang ini tak ada (rancangan untuk melaksana semula) PKP,” katanya pada sidang media mengenai situasi Covid-19 di Putrajaya.

Sepanjang tempoh 10 hingga 16 Disember, jumlah kes Covid-19 ialah 20,696, meningkat 62.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dr Dzulkefly berkata bagi menghadapi lonjakan kes Covid-19 ketika ini, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama.

Strategi pertama adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2 manakala strategi kedua adalah pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).

Sementara itu, strategi ketiga adalah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi dan strategi keempat adalah pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan.

Katanya, strategi kelima adalah pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.- 18/12/2023