rafizi1

Tugas Menteri Ekonomi bukanlah menjadi Santa Klaus – Rafizi

Rafizi Ramli pada Jumaat mengeluarkan satu kenyataan untuk mematikan langkah penyokong pembangkang mencanang kegagalan reformasi ekonomi negara.

Katanya beliau tahu satu harapan mereka yang menggunung ialah melihat orang lain menjadi Menteri Ekonomi.

“Inilah isu yang dimainkan sejak setahun lalu, konon ekonomi telah tenat dan merudum. Dalam beberapa bulan pertama, mereka memainkan isu “tak de apa-apa” untuk membayangkan “menteri dan kerajaan tidak buat apa-apa”,katanya.

Beliau menghuraikan tugas Menteri Ekonomi bukanlah menjadi Santa Klaus membawa hadiah percuma kepada rakyat.

“Amanah saya ialah membetulkan struktur ekonomi negara yang telah menyimpang dari landasan pertumbuhan yang mampan akibat amalan-amalan ekonomi yang tidak lagi kita mampu tampung,”katanya.

Serentak dengan itu beliau mengariskan apa amalan-amalan yang telah gagal ditangani oleh pentadbiran-pentadbiran lalu.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH RAFIZI

Beberapa minggu lalu, kecoh isu rombakan Jemaah Menteri. Saya tahu satu harapan penyokong pembangkang yang menggunung ialah melihat orang lain menjadi Menteri Ekonomi, supaya mereka dapat canangkan kegagalan reformasi ekonomi negara.

Inilah isu yang dimainkan sejak setahun lalu, konon ekonomi telah tenat dan merudum. Dalam beberapa bulan pertama, mereka memainkan isu “tak de apa-apa” untuk membayangkan “menteri dan kerajaan tidak buat apa-apa”.

Menjelang Mei 2023, tempias ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat mempengaruhi nilai ringgit yang jatuh akibat perbezaan kadar faedah. Itu menguatkan lagi serangan pembangkang kononnya ekonomi merudum.

Lumrahlah seorang menteri ekonomi berdepan dengan semua ini. Sementara saya mengalu-alukan pandangan, ia mestilah bersandarkan penilaian yang menyeluruh dan bukan diambil sekerat-kerat. Ia juga mesti mengambil kira perspektif kedudukan ekonomi yang diambil alih Kerajaan Perpaduan setahun yang lepas.

Rakyat terbiasa dengan amalan pengumuman projek atau buah tangan sebagai bukti ada perancangan ekonomi di pihak kerajaan. Ada yang suka bertepuk tangan menyebut projek-projek mega berpuluh bilion yang pernah diusahakan pentadbiran lalu (tanpa mengira beban hutang yang mereka tanggung dan kini terpaksa ditangani kerajaan).

Ada juga yang rindukan zaman duit KWSP mereka dikeluarkan untuk berbelanja – senang sekejap tetapi susah untuk tempoh yang lama, disamping mendorong kenaikan harga barang apabila sejumlah wang disuntik ke dalam ekonomi dalam tempoh yang singkat.

Tugas Menteri Ekonomi bukanlah menjadi Santa Klaus membawa hadiah percuma kepada rakyat. Amanah saya ialah membetulkan struktur ekonomi negara yang telah menyimpang dari landasan pertumbuhan yang mampan akibat amalan-amalan ekonomi yang tidak lagi kita mampu tampung.

Apa amalan-amalan yang telah gagal ditangani oleh pentadbiran-pentadbiran lalu?

Satu:
Amalan subsidi pukal yang diberikan kepada semua – tidak kira kaya miskin, pelawat asing, pelancong, pekerja asing. Tanggungannya telah mencecah sekitar RM80 bilion setahun, sedangkan wang ini boleh diberikan terus kepada keluarga warganegara Malaysia yang layak menerima untuk dibelanjakan.

Dua:
Amalan berhutang dan menggagau apa-apa tabung yang ada asalkan kerajaan pada ketika itu boleh dilambung seperti Santa Klaus. Defisit yang berterusan tinggi, dividen dari PETRONAS yang diambil tinggi setiap tahun, membelanjakan tabung amanah rakyat tanpa ada rancangan untuk mengurangkan hutang negara.

Ketiga:
Pergantungan kepada pekerja asing yang telah mencecah 2.5 juta orang (yang didokumenkan, yang tidak didokumen lebih tinggi) yang menyempitkan ruang pekerjaan kepada warganegara. Kesannya bukan sahaja kepada peluang pekerjaan, tetapi juga aliran mata wang keluar apabila gaji mereka dihantar pulang setiap bulan (yang ada kesan secara tidak langsung kepada nilai ringgit).

Keempat:
Perangkap ekonomi nilai rendah yang menyebabkan “crowding out” atau “cannibalisation”, iaitu peniaga mikro, kecil dan sederhana bersaing sesama sendiri dalam pasaran setempat/nasional kerana tidak mampu untuk mengusahakan produk/perkhidmatan yang mempunyai kandungan nilai/teknologi lebih tinggi. Sebab itu 95% dari entiti perniagaan berdaftar di negara ini adalah perniagaan mikro dan kecil yang sukar menembusi pasaran nasional, apatah lagi antarabangsa.

Kelima:
Pertumbuhan gaji pekerja yang tidak selari dengan kenaikan harga barang yang menyebabkan rakyat terdedah kepada risiko kenaikan kos sara hidup apabila ada gangguan bekalan (dalam bentuk harga atau penawaran barangan/perkhidmatan).

Saya tahu saya akan terus menjadi sasaran serangan pembangkang kerana ia perkara yang termudah untuk mereka. Saya juga tahu tanggungjawab saya untuk terus memberi pencerahan supaya saya sendiri dapat meyakinkan rakan saya dalam Jemaah Menteri untuk tidak mengambil jalan pintas (seperti pentadbiran-pentadbiran lalu) dan lari dari menyelesaikan masalah-masalah pokok begini.

Fokus kepada reformasi ekonomi jangka sederhana dan panjang ini sangat penting. Menteri akan datang dan pergi, kami berkhidmat atas peluang yang diberikan rakyat dan ditentukan Allah. Amanah saya sebagai seorang menteri ialah untuk membantu mengeluarkan Malaysia dari jerat-jerat struktur ekonomi ini yang dibiarkan menjalar sebelum ini, supaya mereka yang datang selepas saya tidak perlu bergelumang seperti sekarang.

Saya membaca secara berterusan komen segenap lapisan rakyat – dari penganalisis ekonomi, tokoh akademik hingga rakyat biasa. Ada yang mengambil jalan mudah hanya menceritakan sekerat-kerat dan pandangan begitu senang dilambung (terutama oleh warga maya yang cenderung kepada pembangkang).

Namun banyak juga yang memahami tugas berat membetulkan struktur ekonomi negara ini.

Salah seorangnya ialah Profesor Dr. Geoffrey Williams, seorang ahli ekonomi lulusan University of Cambridge dan berpengalaman sebagai ahli ekonomi di universiti ternama dunia seperti University of Oxford dan University of London.

Beliau berpengalaman selama 17 tahun sebagai ahli ekonomi di Malaysia dan pernah melalui dasar ekonomi yang dilaksanakan pelbagai pentadbiran sebelum ini.

Bila beliau memberi nada positif kepada rombakan Jemaah Menteri dalam mengemudi agenda reformasi ekonomi negara, saya berharap lebih ramai yang mengambil perspektif menyeluruh mengenai cabaran ekonomi negara seperti disiplinnya seorang ahli ekonomi.22/12/2023

anwar-ilhamzzzz

SPRM sita Menara Ilham …ini komen Perdana Menteri

Kecuali ramai petugas media datang pada Jumaat membuat liputan sekitar Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin…suasana di bangunan 60 tingkat di Jalan Binjai,Kuala Lumpur adalah seperti hari biasa.

Tinjauan juga dapati tiada kawalan luarbiasa sekitar bangunan itu yang turut menempatkan hotel lima bintang selain dari ruang pejabat.

Kisah bangunan berkenaan disita oleh SPRM tersebar Khamis malam.

Ia dikatakan disita berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Urus niaga itu melibatkan syarikat Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Beberapa orang pekerja di bangunan itu juga seolah bingung tidak tahu menahu kisah bangunan itu disita dan berkata mereka setakat ini kerja seperti biasa sehingga ada arahan selanjutnya.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara meminta semua pihak tidak buat tafsiran dan serahkan pada SPRM jalakan tugas dan tanggongjawab mereka.

“Setiap kali kita sentuh orang besar maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil ribuan kita sentuh tidak ada apa-apa. Sistem apa begitu,” katanya.

Beliau menafikan ada muslihat tertentu berhubung tindakan SPRM menyita Menara Ilham.

Anwar berkata siasatan badan anti rasuah itu membuktikan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.

SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, sebab itu saya sebut Tun ke, Tan Sri, kalau tidak nanti ada kritikan ikan kecil ditangkap tetapi kepala tidak boleh disentuh,” katanya/

“Jadi itu tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran.- 22/12/2023

daim-ilham

SPRM sita Menara Ilham milik Daim Zainuddin….

Menara Ilham bangunan setinggi 60 tingkat milik bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bangunan berkenaan terletak di no 8 Jalan Binjai,Kuala Lumpur yakni seberang jalan tidak jauh dari tapak bekas bangunan Ampang Park.

Berita tindakan SPRM sita bangunan berkenaan dilaporkan Channel News Asia (CNA),saluran tv Singapura pada Khamis malam.

Ia memetik sumber berkata tindakan itu dibuat selepas tokoh korporat itu enggan mematuhi arahan SPRM untuk mengiytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarganya.

LAPORAN LANJUT AKAN MENYUSUL

pasdap

Pilihanraya PBT : Kepentingan ideoloji dan politik kepartian DAP ,bukan agenda nasonal

PAS memandang serius perkembangan mutakhir dalam naratif politik tanah air,
terutamanya yang melibatkan pemimpin veteran DAP kerana mendapati ia
sangat tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta suasana
tidak harmoni dalam masyarakat.

Selain itu, hakikat bahawa ia dibangkitkan oleh pemimpin kanan sebuah parti
yang merupakan komponen kerajaan juga menimbulkan kecelaruan dan syak
wasangka terhadap dasar dan hala tuju kerajaan sendiri, sekali gus menghakis
tahap kebolehpercayaan terhadap kepimpinannya.

Naratif terbaru yang dibawa DAP adalah gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur
yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya kerajaan mengembalikan
semula Pilihan Raya Tempatan (Pilihan Raya PBT) bermula di Kuala Lumpur
ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan,
Ahad lepas.

Bagi menyokong gesaan itu, beliau antara lain dilaporkan berkata, “Pilihan
Raya PBT sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu
ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih dan kerajaan
berorientasikan rakyat bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf
dunia yang kita semua banggakan”.

Terdahulu pada 29 November di Manchester, England, Penasihat DAP Tan Sri
Lim Kit Siang mencetuskan kegemparan yang serupa apabila berucap kepada
pelajar Malaysia di sana tentang Perdana Menteri bukan Melayu serta impian
sebuah negara hebat yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan, bukan
negara etnik tunggal.

Berbeza dengan Lim yang menyebut bahawa ucapannya itu hanyalah
pernyataan fakta, bukan realiti, Tan tidak pula meletakkan caveat kepada
gesaannya itu walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor
MIng ketika menjawab pertanyaan di Parlimen pada awal tahun ini telah
menegaskan bahawa Pilihan Raya PBT bukanlah keutamaan kerajaan pada
masa ini.
Sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan
sebelum ini, Tan seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap pendirian dan
dasar kerajaan semasa, bukan sebaliknya, kecualilah kenyataan itu juga
merupakan suatu sandiwara DAP dan Nga turut memegang watak penting.

Jika diteliti lebih dekat, walaupun kedua-dua kenyataan Tan dan Lim dihiasi
dengan kata-kata dan idea muluk tentang negara atau bandar raya hebat
bertaraf dunia, multiculturism, demokrasi, kecekapan pentadbiran dan
sebagainya, namun gesaan Tan ternyata bercanggah dengan penolakan Lim
terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian Perdana
Menteri bukan Melayu penasihat DAP itu.

Dengan penguasaan hampir mutlak kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur
oleh DAP, maka tidakkah Pilihan Raya PBT juga akan hanya menzahirkan citra
politik etnik tunggal dari segi perwakilan yang akan dipilih kelak?

PAS beranggapan kedua-dua kenyataan Tan dan Lim jelas bermotifkan
pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan
negara dengan mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua
pihak pada agenda dan budaya politik yang lebih waras, sederhana dan
munasabah.

Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang
Melayu terhadap niat sebenar DAP dan sama ada ia jujur dalam menjunjung
kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan
ideologi dan parokialismenya.

Perlu diingat bahawa keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan pilihan raya
di seluruh negara sejak lebih 50 tahun lepas yang dengan jelas termaktub
dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 antara lain bertujuan untuk menghindari
penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup
kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam
masyarakat.

PAS percaya hikmah dan tujuan penting keputusan itu masih terpakai dan perlu
pada hari ini, sekali gus menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
supaya mengawal dan menghentikan naratif beracun seperti ini kerana mereka
yang melupakan sejarah hanya akan mengulanginya.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh : 19 Disember 2023

shahrir-tomy

Shahrir bertindak balas….

Tan Sri Shahrir Samad yang telah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengiytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bertindak balas.

Bekas pengerusi Felda itu telah memfailkan saman terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas; bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya; SPRM dan kerajaan.

Beliau mendakwa pihak yang berkenaan melakukan pendakwaan berniat jahat terhadapnya.

Shahrir dibebaskan dari dakwaan berkenaan pada 5 Januari 2023.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu melalui firma guaman, Tetuan Fahri, Azzat & Co dan sesalinan dokumen terbabit diperoleh media lewat petang Khamis.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Shharir selaku plaintif itu mendakwa, selepas berlakunya perubahan kerajaan yang sebelum ini dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), ramai ahli-ahli politik daripada pelbagai latar belakang dan dari UMNO yang disiasat oleh SPRM.

Ujarnya, dirinya juga telah sasaran siasatan dan didakwa secara terpilih dengan niat jahat.

Pada 21 Oktober 2020, Shahrir telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala LUmpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak, 10 tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).- 21/12/2023

hisham-covid

Covid-19….’orang lama’ kata tak perlu bimbang

Lega juga rasanya mendengar suara ‘orang lama’ dalam isu ini.Siapa yang tidak kenal Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau adalah bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang masa zaman PKP Covid-19 pada 2020-2021 dulu hampir setiap hari rakyat mendengar kenyataan darinya untuk mendapat khabar perkembangan pendamik itu.

Bercakap dalam satu forum di kampus Uitm Shah Alam pada Khamis beliau yang sudah bersara dan kini Pengerusi Institut Jantung Negara berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes Covid-19.

Ini,katanya kerana Malaysia telah mencapai imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus rakyat negara ini telah mengambil vaksin Covid-19.

Menurut Dr. Noor Hisham rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah selama lima hari dan tidak ke tempat awam.

“Virus Covid-19 kini berada di sekeliling kita. Jadi, perlu terima hakikat bahawa Covid-19 ada di sekeliling kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui, mengendalikan kes Covid-19 selama lebih setahun merupakan cabaran paling besar pernah beliau tempuhi sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meminta semua negara membuat pengumuman sekiranya ada penduduk dijangkiti virus berkenaan pada awal kemunculannya.

“Menerusi genetic sequence (urutan genetik) yang diberikan pihak China, kita telah mengumpulkan 23 buah makmal milik kerajaan, universiti dan swasta melakukan kajian bagi mengesan virus tersebut.

“KKM juga telah melakukan beberapa persiapan awal seperti memperkemas sistem kesihatan awam supaya negara bersedia dijangkiti Covid-19 dan menutup pintu sempadan negara,” ujarnya

Beliau namun memaklumkan virus tersebut meledak pada Mac 2020 apabila beberapa peserta sebuah perhimpunan di Sri Petaling telah dijangkiti virus tersebut. – 21/12/2023

nik-bard

Dakwa wujud rasuah projek Rancangan Tebatan Banjir, Nik Nazmi saman Chegubard

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Nik Nazmi menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu yang mendakwa projek RTB dikendalikan kementeriannya mencecah RM16.6 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri, sebagai tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat.

“Tuduhan Chegubard tidak berasas dan menunjukkan beliau tidak memahami proses perolehan dan peruntukan belanjawan kerajaan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat ini dan akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap beliau dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata ini bukan kali pertama Chegubard membuat tuduhan liar dan tidak berasas.

Nik Nazmi berkata Kerajaan Perpaduan telah menilai semula cadangan-cadangan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi untuk memberikan keutamaan kepada kawasan-kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM11.8 bilion, dan bukannya RM16.6 bilion seperti yang didakwa oleh Chegubard.

“Hampir kesemua projek RTB kerajaan pada tahun ini masih melalui proses tender, dan untuk tahun ini 19 projek telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

“Belum ada perbelanjaan yang telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata projek RTB kerajaan melalui proses perolehan yang telus melibatkan tatakelola Kementerian Kewangan serta mesyuarat Lembaga Perolehan yang beliau sendiri tidak terlibat. – BERNAMA-21/12/2023

zim-kontena

ZIM perlu keluarkan 4,000 kontena yang terkandas dalam masa terdekat – Loke

PUTRAJAYA – Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, perlu mengeluarkan 4,000 kontena kargo transit yang masih terkandas di negara ini terutama di Pelabuhan Klang dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ia susulan keputusan Kerajaan Malaysia semalam untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat itu daripada memasuki mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

“Kesemua kontena tersebut dikendalikan oleh ZIM. Jadi apabila kita ambil tindakan ini… maka syarikat perkapalan ini perlu hubungi syarikat perkapalan lain supaya angkut keluar kontena-kontena ini dalam masa terdekat untuk ke destinasi seterusnya,” kata beliau.

Loke berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Putrajaya Khamis.

Bagaimanapun beliau berkata ZIM akan diberi sedikit masa untuk menguruskan kesemua kontena yang terkandas itu memandangkan ia melibatkan pelbagai destinasi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta selain melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Anwar berkata kerajaan yakin semua keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia. – BERNAMA-21/12/2023

oku1

Berita gembira untuk golongan OKU….

KUALA LUMPUR: Kalau sebelum ini golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hanya diberi diskaun 50 peratus untuk tambang perjalanan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)…mulai 1 Februari nanti…lain ceritanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Khamis umum tambang percuma semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di Lembah Klang kepada semua pemegang kad OKU.

Menurut menteri itu tambang percuma ini adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan untuk penumpang OKU.

“Penambahbaikan yang kita laksana sentiasa mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh termasuk Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Mekanisme pelaksanaan tambang percuma untuk warga OKU, seperti kelayakan, terma dan syarat ini akan diumumkan oleh Prasarana dalam masa terdekat.

“Ini satu inisiatif penting walaupun ada implikasi kewangan kepada pihak prasarana kerana hasil (kutipan tiket) berkurang. Namun, saya minta supaya Prasarana bersetuju dengan inisiatif ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya dalam ucapan perasmian Projek Perintis Koc Wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT, Bandar Tun Hussein Onn, dekat Kuala Lumpur. -21/12/2023

shafee-abdullah-e1538379531853

Tunggakan cukai pendapatan: Muhammad Shafee perlu bayar RM5.5 juta kepada LHDN

KUALA LUMPUR – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis supaya membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Hasil, Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah bahawa jumlah akhir yang perlu dibayar oleh Muhammad Shafee ialah RM5,529,577.70.

“Pihak kami juga memohon kos RM10,000,” kata Norhisham yang turut dibantu Peguam Kanan Hasil, Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Farhan Muhammmad Shafee, yang mewakili bapanya selaku defendan memohon kos RM5,000.

Roz Mawar kemudian membenarkan kos RM10,000 kerana jumlah tersebut adalah munasabah.

Sementara itu, Muhammad Farhan memberitahu mahkamah, pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Pada 15 Disember lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap peguam itu.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pada 28 September 2021, LHDN memohon supaya samannya terhadap Muhammad Shafee, yang difailkan pada 6 Mei 2021 diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

LHDN mendakwa peguam itu gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan ke atas jumlah yang dikenakan.

Pada 28 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Pihak pendakwaan yang merayu terhadap keputusan mahkamah itu bagaimanapun menarik balik rayuan berkenaan pada 5 Disember lalu. Ini menyebabkan pembebasan Muhammad Shafee dalam keempat-empat kes itu kekal. – BERNAMA- 21/12/2023