christmas2

Dah beres …tiada larangan tulis ucapan ‘Merry Christmas’ pada kek di kedai halal

Isu ini sudah tidak berbangkit lagi.Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Isnin telah keluar kenyataan membatalkan arahan pada tahun 2020 melarang premis perniagaan yang mempunyai sijil pengesahan halal untuk menulis sebarang ucapan perayaan bukan Islam pada tempahan kek atau seumpamanya.

Menurut Jakim menerusi satu kenyataan hari ini arahan berkenaan ( tahun 2020) tidak lagi terpakai.

Isu ini menjadi tular susulan pekeliling dalaman dari sebuah syarikat kek yang memberitahu kakitangannya supaya tidak menulis ucapan “Selamat Hari Krismas” pada kek kerana dikhuatiri melanggar pensijilan halal syarikat mereka.

BERIKUT IALAH KENYATAAN JAKIM

Kenyataan JAKIM pasal tulisan perayaan ‘Merry Christmas’ pada kek oleh premis halal

1- Berpandukan kepada kenyataan JAKIM pada 16 Disember 2023 berhubung isu di atas, jelaslah bahawa tiada halangan bagi premis perniagaan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk menulis sebarang ucapan perayaan pada tempahan kek atau seumpamanya.

2-JAKIM akan membuat semakan dan membuat penilaian semula terhadap mana-mana perkara berkaitan dalam MPPHM.

3- Kenyataan JAKIM terdahulu pada tahun 2020 adalah tidak terpakai dengan penjelasan ini.

Terima kasih.

18 Disember 2023M

akmal1

Pemuda UMNO bersuara isu pilihanraya PBT dan PM bukan Melayu….

  1. Saya terpanggil beri pandangan berkenaan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan DAP sejak akhir-akhir ini antaranya kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Lim Kit Siang berkaitan impian bukan Melayu menjadi Perdana Menteri dan terkini Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai pula membuat kenyataan mengusulkan supaya diadakan Pilihanraya bagi PBT, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur sebagai negeri perintis.
  2. Saya berpandangan kenyataan-kenyataan sebegini amat tidak perlu dan hanya mencetuskan ketidaharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah saya percaya dalam Kerajaan Perpaduan sendiri juga tidak selesa. Ia umpama provokasi sengaja terhadap “status quo” persefahaman diantara kaum yang dikecapi selama ini. Provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang.
  3. Misalnya jika hendak dilakukan pilihanraya PBT di Kuala Lumpur, demografi penduduk bedasarkan bancian di Wilayah Kuala Lumpur adalah seramai 1,588,750 orang, daripada jumlah itu hanya 45.9% merupakan penduduk bumiputera. Jika diadakan pilihanraya, semestinya ketidakseimbangan akan wujud dan boleh dijangka apa kesudahannya.
  4. Selama 6 dekad Malaysia ditadbir, ia bedasarkan konsensus dan kemuafakatan. Disokong dan disenangi oleh majoriti. Kenyataan-kenyataan sebegini seolah ada mesej atau isyarat yang tersirat yang hendak disampaikan. Pimpinan DAP harus lebih sensitif dan menghormati kehormanian sedia ada, bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat dan sesama kaum.
  5. Pemuda UMNO tidak sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini. Berada di dalam Kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP tetapi ia dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam,bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pon berganjak apa lagi mengalah!!


    YB Dr Akmal Saleh
    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
    – 18/12/2023
covid-dos

Tiada arahan wajibkan semua rakyat dapatkan dos penggalak Covid-19

Tiada arahan wajibkan semua rakyat dapatkan dos penggalak Covid-19

Sila ambil perhatian…inilah kenyataan rasmi dari kerajaan mengenai suntikan vaksin ekoran peningkatan kes Covid-19.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengakui ni sedikit salah faham yang berlaku mengenainya akibat media sosial.

Beliau selaku jurucakap kerajaan perpaduan mengulas hal berkenaan selepas atu majlis di Wisma Bernama Kuala Lumpur pagi Isnin.

Secara jelas Fahmi memberitahu setakat ini tiada arahan atau kewajipan untuk seluruh rakyat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak vaksin susulan peningkatan kes Covid-19, seperti yang tular di media sosial ketika ini.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini, hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19, terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.

“Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar, kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan dia agak berbeza, dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Xinhua yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif) Nur-ul Afida Kamaludin.

Turut hadir, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Fahmi berkata beliau juga akan bertemu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menyarankan beliau untuk mengadakan perjumpaan dengan ketua pengarang akhbar dan media di negara ini, dalam memperjelas isu berkaitan dos penggalak tersebut.- 18/12/202

mi-jip

Jogja kota ramah untuk hati yang lelah

CATATAN HELME HANAFI (BAHAGIAN KE ENAM) ….

DIY di Indonesia bukanlah rangkaian francais Do It Yourself (Kedai DIY) seeprti di Malaysia sebaliknya Daerah Istimewa Yokyakarta atau singkatannya Jogja.

Kota romantis untuk mengubat hati yang lelah kata orang-orang di Jakarta.

Apa yang istimewanya di sini adaah ia menawarkan para pengunjungnya pakej yang sempurna. Dari kuliner yang enak dan khas Jawa, kepada monumen purba seperti candi candi Budhha (Burobudur) dan candi Hindu (Prambanan).

Gunung berapi paling aktif di Indonesia iaitu Gunung Merapi (meletus kali terakhir bulan Mac 2023).

Pesisiran pantai-pantai Selatan di daerah Gunung Kidul yang terkenal dengan ombak yang ganas serta keunikan tebing-tebing pantai yang dihempas ombak Lautan Hindi.

Selain tempat membeli belah yang terpusat sepwrti di Jalan Malioboro.

Sebagai tiba di Jogja petang Sabtu, kami hanya berehat di hotel, melepas lelah selepas lima hari dalam perjalanan roadtrip keliling Pulau Jawa melalui Jalur Selatan.

Malamnya kami berleggar sekitar jalan Marioboro, isteri saya cuci mata melihat berbagai jenis batik khas Jogja dan Solo yang dijual di butik-butik sepanjang jalan tersebut.

Sehelai baju batik lelaki yang berkualiti berharga sekitar RM150 sehingga yang termahal saya jumpa RM1450.00.

Saya pecinta batik, tapi dalam perancangan awal, kami akan shopping batik di Solo, yang menurut ahlinya batik, lebih asli batik Jawa.

Pagi Ahad, kami ambil pakej sehari (12 jam) untuk ke tour Merapi (dengan jeep), candi Plaosan, Pantai Timang untuk makan lobster dan naik gondola serta sunset di skyview.

Saya mencadangkan, untuk sahabat yang mahu berkunjung ke sini, asingkan Pantai Timang dari Merapi Tour, sebab jauh lokasi Pantai Timang ini.

Berkereta pergi balik 4/5 jam, penat jika aktiviti kita bermula pagi di Merapi.

Kami keletihan dan skip sunset view, di Jogja ini elok ambil pakej santai-santai tiga hari dua malam.

Saya ambil sehari sahaja, sebab hendak meneruskan perjalanan ke Solo pulak hari ini.

Pakej yang saya ambil agak murah. Ini pakej untuk penduduk tempatan sebenarnya, dari servey saya, pakej sehari biasanya RM290 sekepala, saya dapat dengan harga RM175 sekepala.

Dan sudah tentu bukan sekali dengan tiket masuk ke candi candi utama seperti Burobudor dan Prambanan yang untuk pelancong dijual dengan harga 450 ribu rupiah ataupun RM130 duit kita, itu masuk dalam kawasan saja, nak naik ke stupa harga lain.

Jadi untuk berjimat. Saya pergi ke candi yang murah yang orang tempatan pergi, tapi tidak kalah serunya iaitu candi Praosan.

Satu perkara yang saya perhatikan di Jogja ini, orangnya ramah dan jujur, walaupun di kawasan pelancongan. Kami makan nasi padang berempat hanya bayar dengan harga RM18 sahaja.

Cuma untuk makan lobster, pakej kami ambil untuk tiga orang lobster dan sotong ditawarkan dengan harga RM210. Kita boleh tolak jika tidak mahu makan lobster dengan ambil menu lain yang jauh lebih murah.

Tapi pada saya, memang lobster mahal, susah dapat, apatah lagi lobster lautan hindi yang liar bukan diternak.

Saya pernah makan di Krabi sepinggan lobster yang dimasak dua jenis hidangan berharga 1500 baht atau RM200 belum campur nasi dan lauk-lauk lain.

Yang penting kita diberikan pilihan, jadi ikut kesesuaian poket masing-masing. Kena pandai atur, jimat di sini, lebihkan di sana. Begitulah kehidupan ini, tiada yang sempurna.

Masa untuk berhenti, saya perlu bersiap-siap, pak supir akan jemput sementar lagi untuk meneruskan kembara kami, dari Jawa Tengah ke Jawa Timur, lagi empat hari lagi untuk sampai ke Bali.- 18/12/2023


Sekitar Jogja….


Kata Sudjiwo Tedjo, pergi ke Jogja adalah caranya metertawakan kesibukan orang-orang Jakarta.

Percutian terbaik bukannya mengenai kemewahan tapi meluangkan masa dengan keluarga tercinta di Jojga.

Izinkan kami selalu ke sini lagi…- 18/12/2023

langgar-mahkamah

Langgar lari….pegawai polis didakwa

KEMASKINI: Kawasan Mahkamah Majistret Ipoh pagi Isnin menjadi tumpuan ramai bila pegawai kanan polis yang ditahan kerana disyaki melanggar pelajar lelaki tingkatan lima hingga maut di Jalan Taman Jati dekat Meru Jumaat lalu, didakwa di situ.

Tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, tiba di mahkamah itu dengan kawalan ketat oleh pasukan polis.

Dia didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Lelaki berpangkat Deputi Superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi bersama Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.

Terdahulu, Azlina memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan-laporan lain termasuk laporan kimia dan mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes.

Dalam kejadian Jumaat lalu sekitar pukul 12.30 tengah hari, seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Suspek dikatakan telah mengejar motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.- 18/12/2023





———————————————————————————————

Pegawai polis hadapi pertuduhan bunuh dalam kes langgar lari pelajar….

Selain kes Zayn Rayyan pelajar autisme yang ditemui mati dekat rumahnya di Damansara Damai…insiden langgar lari yang akibatkan kematian pelajar tingkatan lima di Ipoh Jumaat lalu Muhammad Zaharif Affendi Mohd Zamrie telah mendapat perhatian ramai.

Insiden menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu ketika sedang menunggang motosikal.

Dalam insiden itu seorang pegawai kanan polis yang memandu Perodua Ative didakwa melanggar pelajar berkenaan.

Remaja berusia 17 tahun itu mati ditempat kejadian selepas cedera di bahagian dada dan abdomen.

Suspek dilaporkan melarikan diri. Lelaki berusia 44 tahun itu kemudian ditangkap dan polis memberi jaminan siasatan akan dibuat dengan telus.

Keluarga mangsa terutama bapanya, Muhd Zamrie Zainal Abidin dalam keadaan amat berduka dengan apa yang terjadi.

Dia dilaporkan tidak makan sejak hari kematian anaknya.

Muhd Zamrie juga mendakwa anaknya bukan seorang mat rempit.

Tanda tanya orangramai pasal kes berkenaan terjawab Ahad malam bila Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan ringkas berkata pegawai kanan polis yang terlibat akan didakwa atas tuduhan bunuh.

AGC dalam kenyataan itu berkata, ada cukup bukti dan keterangan untuk mendakwanya atas pertuduhan itu, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AGC berkata, pegawai kanan tersebut – yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah – akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain kata keputusan AGC menuduh pegawai kanan polis yang terlibat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah bukti siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah telus.

“Keputusan ini adalah kebijaksanaan Jabatan Peguam Negara dalam membuat penilaian bersandarkan kepada siasatan yang dilakukan pegawai penyiasat.

“Kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik serta berkredibiliti,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, pegawai kanan berkenaan akan ditahan kerja sebaik sahaja pertuduhan dibaca esok.- 17/12/2023



KRONOLOJI KEJADIAN….

Tular di media sosial kes langgar lari SMK Jati yang mana mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia. Berikutan berita tersebut yang berlaku pada hari jumaat sewaktu persekolahan telah menggemparkan pelbagai pihak.

Apa yang mengejutkan lagi bahawa mangsa yang dilanggar masih lengkap berpakaian sukan sekolah dilihat tidak bermaya diatas jalan berhadapan sekolah terbabit.

Dikatakan pelanggaran ini berlaku akibat ketidakpuasan hati pemandu berkenaan dengan sikap mangsa yang membuat bunyi bising ekszos.

Siapakah Mangsa Pelajar SPM yang Maut Dilanggar?

Mangsa adalah bernama, Muhammad Zaharif Affendi Muhammad Zamri, 17 tahun adalah merupakan pelajar bakal SPM tahun hadapan di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Jati.

Beliau adalah merupakan seorang anak bongsu dari empat beradik.

Siapakah Suspek Kes Langgar Lari SMK Jati?

Suspek merupakan seorang pegawai kanan polis dan berusia 44 tahun. Beliau adalah seorang pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.

Dikatakan, Isterinya adalah seorang guru di sekolah tersebut. Suspek memiliki kereta Perodua Ativa yang kini disiasat oleh pihak Polis menurut seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987 dan kes kesalahan melibatkan membunuh di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.

Kronologi Kes Langgar Lari SMK Jati

Pelajar SPM maut selepas motosikal ditunggangnya telah dilanggar oleh sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Jati di Meru.

Menurut kejadian yang berlaku kira-kira jam 12:30 hari itu, mangsa adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) Muhammad Zaharif Affendi Muhammad Zamri, 17 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai diseret kereta yang dilanggar sejauh lebih 5 meter.

15 Disember 2023 ( Hari Kejadian)

Pukul 12.30 Tengahari

Difahamkan kejadian itu berlaku selepas pemandu kereta Perodua Ativa yang berusia 44 tahun dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membuat bunyi bising ekzos ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah di SMK Jati bersama tunggangan motosikal jenis Yamaha.

Daripada ketidakpuasan hati itu dikatakan suspek telah terdorong dengan kereta berkenaan bertindak mengejar motosikal ditunggang remaja tersebut sejauh kira-kira 1 km sebelum melanggarnya dari sudut belakang.

Disebabkan pelanggaran itu mangsa yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah dipercayai terjatuh dari motosikal dan telah diseret oleh kenderaan terbabit sejauh lebih 5 meter.

Menurut saksi kejadian memaklumkan bahawa pemandu kereta berkenaan kemudian dikatakan berpatah balik ke lokasi bagi melihat keadaan masa sebelum segera beredar apabila menyedari kehadiran orang ramai.

Selepas pelajar tersebut dilanggar kebetulan kakaknya yang baru sahaja tiba di kawasan sekolah untuk menghantar anak telah dimaklumkan bahawa adik bangsanya telah dilanggar kenderaan.

Tanpa berfikir panjang lalu kakaknya segera mendapatkannya yang dikerumuni oleh orang ramai.

Kakaknya,Zawani, 28 tahun adalah merupakan seorang Jururawat telah memangku kepalanya dan mendapati beliau masih bernyawa dan cuba menyelamatkannya dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) namun tiada tindak balas.

Melihat keadaan itu, seorang ustaz yang mengajar di sekolah tersebut membantu adik mengucap ayahnya juga melakukan perkara yang sama sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Walaubagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan mayatnya dihantar ke hospital raja permaisuri bainun untuk dibedah siasaT.

Hasil tinjauan dari Jabatan Forensik mendapati ahli keluarga mangsa telah tiba di situ sementara menunggu proses bedah siasat selesai.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Muhammad Fauzi Mahson turut dilihat hadir ke jabatan forensik berkenaan untuk menzahirkan rasa dukacita atas kejadian itu terhadap keluarga pelajar yang terkesan.

Jenazah mangsa telah dibawa keluar dari HRPB Ipoh sekitar jam 6.30 petang untuk urusan pengebumian.

Susulan hari kes itu pegawai kanan polis telah ditahan berhubung kemalangan yang mengakibatkan kematian pelajar spm tersebut.

Menurut ketua polis daerah ipoh assistant commissioner yahaya hassan telah berkata pegawai dari polis pdrm KontinjEn kedah itu ditahan dan akan menjalani proses permohonan reman bermula hari ini bagi siasatan lanjut.

Kes akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987 dan kes kesalahan melibatkan membunuh di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.

Hasil kes mendapati kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan bahagian dada dan epidormen akibat kemalangan jalan raya.

Tegas pihak pdrm tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri seandainya mempunyai bukti yang kukuh. Orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kerisauan awam.

Polis juga meminta kepada orang awam yang mengetahui atau menyaksikan kejadian tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat kes inspektor jong pit chiao di talian 016-8849163.

16 Disember 2023

Pihak keluarga mangsa mohon pegawai penyiasatan ditukar. Pihak polis akan pertimbangkan dan menuruti permintaan ahli keluarga bagi memastikan penyiasatan kes mendapat kepercayaan dan mendapat kebenaran mengikut undang-undang.

Seramai tujuh individu telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru,

17 September 2023

Pukul 9 Malam
Pegawai kanan polis/suspek akan dituduh di mahkamah esok bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan – Peguam Negara

rumah-tiang1

Kenapa begini…?


·
Lebih 50 tahun aku menyaksikan keadaan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan beberapa negeri lagi. Satu hal yang aku ambil kesimpulan, rakyat di negeri-neger berkenaan serta kerajaan tidak pernah belajar dari apa yang berlaku.

Aku lihat rumah-rumah lama dan yang baru dibina masih di atas tanah tanpa tiang meskipun di kawasan rawan banjir Sepatutnya perkara ini perlu diubah.

Semasa aku di Sabah lebih 30 tahun lalu aku lihat rumah mereka bertiang tinggi. Sesetengahnya sampai 6 kaki. Dengan keadaan tiang yang setinggi ini banjir tidak menjadi masalah kepada mereka. Cuma rumah-rumah di atas tanah tanpa tiang sahaja yang tenggelam oleh banjir.


Aku saksikan visual di tv, semua rumah yang ditenggelami bajir adalah rumah atas tanah. khususnya rumah teres. Lainlah kalau rumah di ataas bukt atau tanah tinggi macam rumah aku, memang tak pernah kena banjir.


Rumah di atas tanah mekskipun banjir kilat, rumah sudah dimasuki air. Aku masih ingat rumah aku semasa di kampung lebih 50 tahu lalu. Tiangnya 6 kaki dan tak pernah dimasuki air walaupun di musim banjir besar. Atok aku nampaknya lebih bijak dari menteri-meneri yang banyak bercakap tentang usaha mengelak banjir.


Penduduk di kawsan yang sering banjir tak kan tak terpikir nak buat rumah bertiang tinggi. Jangan peprcaya sangat kata-kata menteri yang bercakap pasal tebatan banjir. Entah apa yang mereka tebat, tiap tahun banjir masih menjadi masalah.


Itu saja aku nak cakap….

Syahbuddeen Abdulah ( dipetik dari facebooknya)

umno-bendera

Veteran UMNO bantah cadangan DAP adakan pilihanraya PBT

KENYATAAN MEDIA VETERAN UMNO MALAYSIA:

  1. Veteran UMNO Malaysia kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai yang mahukan kerajaan melaksanakan pilihanraya Pihak Berkuasa (PBT). Keputusan itu yang dicapai dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur menyarankan supaya ianya bermula dengan Kuala Lumpur.
  2. Veteran UMNO berpendapat tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihanraya PBT ini. Struktur yang sedia ada didalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah cukup. Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihanraya bagi mewakili kesemua kawasan parlimen dalam Kuala Lumpur. Kita ada ahli majlis yang dilantik mewakili semua kaum untuk membantu Dato Bandar. Jadi untuk apa perlukan pilihanraya lagi?.
  3. Veteran UMNO faham hasrat DAP itu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP. Sudah pastinya kalau pilihanraya itu diadakan maka wakil-wakil masyarakat Cina akan menang mudah dikawasan majoriti mereka. Sekiranya pilihanraya ini dibenarkan di Kuala Lumpur, maka nanti akan ada tuntutan untuk PBT di Pulau Pinang, Ipoh, Kelang, Melaka, Johor Bharu dan lain-lainnya.
  4. Nampaknya DAP masih terbawa-bawa dengan idealism lamanya dengan desakan-desakan yang berbau perkauman. Seperti juga dengan apa yang disuarakan oleh Lim Kit Siang mengenai PM dari kaum bukan Melayu.
  5. Veteran UMNO berharap kepimpinan baharu DAP akan dapat membendung cara berfikir Pengerusi DAP Kuala Lumpur ini. Jangan ada lagi sebarang usaha untuk membakar dan menyemarakkan rasa benci dan perkauman diantara parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. Jangan sampai desakan seperti itu boleh ditafsirkan sebagai mencabuli 3R yang boleh membawa padah.

Sekian.

DATUK HJ MUSTAPHA YAAKUB
PENGERUSI

17/12/2023

zayn6

Belum ada petunjuk baru kes Zayn….

Sudah 10 hari berlalu sejak kes bunuh pelajar Zayn Rayyan Abdul Matiin berlaku tetapi belum ada petunjuk baru ditemui.

Pihak polis dan media masih ‘berkampong’ sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai dimana kejadian berlaku.

Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 172 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan terbabit.

“Keseluruhan individu yang telah dirakam keterangan melibatkan ibu bapa mangsa, saksi, jiran dan penduduk sekitar.

“Usaha mengesan bukti dan pelbagai petunjuk masih dijalankan terutamanya melibatkan kawasan blok kediaman mangsa,” katanya.

Anggota Unit Forensik PDRM dilihat masih melakukan siasatan di sekitar kawasan Apartmen Idaman pada Ahad.

Sebelum ini dilaporkan dua kanak kanak nampak kelibat Zayn petang 5 Disember.

Dua orang kanak kanak mendakwa mereka melihat kelibat pelajar itu di Block R, Apartmen Idaman .

Hal ini diberitahu oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Khamis.

Katanya dua saksi kanak-kanak berkenaan berjaya dikesan ketika ‘mass DNA screening’ (ujian DNA beramai-ramai) dijalankan di apartmen itu pada Ahad lalu.

“Hasil ‘mass screening’ sebelum ini, kita berjaya mengesan dua saksi kanak-kanak yang nampak mangsa (Zayn Rayyan) di blok R.

“Menurut saksi, Zayn dilihat berseorangan berada di tingkat 2 dan 3 blok R pada petang 5 Disember lalu,”ujarnya.-17/12/2023

cukai-online

Ini hal sebenar isu cukai jualan produk bawah RM500…

KUALA LUMPUR :Isu ini sudah hangat di media sosial.Ini membuatkan ada yang sudah melompat dan marah marah.

Ia berpunca dari salah faham menduga kerajaan kenakan cukai jualan 10 peratus bagi pembelian semua barang dalam talian bernilai RM500 ke bawah berkuat kuasa 1 Jan 2024.

Kalau betul…ini memang sudah kes berat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tampil segera pada Ahad untuk menjelaskan cukai berkenaan hanya dikenakan bagi produk yang DIIMPOT bernilai RM500 ke bawah

Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur beliau memberitahu langkah ini bagi memastikan daya saing produk tempatan dapat ditingkatkan dan cukai itu tidak memberi kesan kepada produk dalam negara yang dibeli secara dalam talian.

“Yang penting untuk dijelaskan ia hanya terpakai bagi produk import yang dijual secara dalam talian di Malaysia.

“Produk yang dihasilkan dalam negara tidak terkesan, jadi saya harap ini dapat kurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut.

“Kita boleh rujuk laman rasmi Jabatan Kastam untuk maklumat lebih terperinci dan dari semasa ke semasa kita akan pantau untuk pastikan adakah rakyat terutama penjual dan pembeli yang laksanakan transaksi dalam talian benar-benar faham kenapa ia dilaksanakan dan apa kategori produk yang terkesan,” katanya.

Semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan negara akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) diimport yang dijual secara dalam talian mulai 1 Jan 2024.- 17/12/2023

ibnor-ok

Penyanyi ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ sudah tiada….

Akhirnya…setelah disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu….Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza meninggal dunia petang Ahad.

Penyanyi yang antara lain popular dengan lagi ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ DAN ‘Berdiri Seorang Perindu’ meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) dekat Kuala Lumpur.

Khabar duka itu dikongsi rakan artis juga penyanyi seangkatan Salwa Abdul Rahman yang jelas sangat terkesan dengan pemergian penyanyi legenda terbabit.

“17.12.23. Sahabatku dah (sudah) xde (tiada). Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Allahyarham dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.

Sejak disahkan sakit, dia membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga buah kereta miliknya. – 17/12/2023