SPRM cekup Pengarah PBT labur saham guna dana awam RM50 juta

Seorang pengarah sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka, ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kuasanya untuk melabur saham berjumlah RM50 juta.
Difahamkan, lelaki berusia 50-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka, kira-kira 1 tengah hari, hari ini.
Sumber berkata, suspek disyaki menyalahgunakan kuasanya untuk melabur saham dan perbuatan itu dilakukan pada tahun 2020 sehingga 2023.
“Suspek dipercayai melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.
“Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana wang awam dan wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, SPRM akan mendapatkan permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pada Selasa.-17/6/2025