Thursday - 26, June 2025

MCMC pastikan data telefon bimbit digunakan secara bertanggungjawab – Pakar

Share

Program Data Telefon Bimbit (MPD) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus menjadi perbincangan hangat, dengan kebimbangan mengenai privasi dan keselamatan data pengguna.

Namun, pakar keselamatan siber menegaskan bahawa program ini beroperasi dalam kerangka undang-undang yang ketat dan bertujuan untuk manfaat awam, bukan pengawasan.

Menurut Prof Emeritus Dr. Sureswaran Ramadass, data yang dikumpulkan di bawah program ini adalah agregat dan tanpa nama, tanpa mengandungi maklumat pengenalan peribadi (PII).

Manakala metadata yang direkodkan hanya merangkumi maklumat seperti kekuatan isyarat, aliran penggunaan rangkaian, dan lokasi kasar—bukan sejarah panggilan, semakan imbas, atau kandungan mesej.

“Menyamakan program ini dengan pengawasan yang melampau adalah tidak tepat. Data ini jauh lebih terhad berbanding apa yang dikumpul oleh platform teknologi seperti Google atau Meta,” jelas beliau yang merupakan Pengerusi Majlis IPv6 APAC.

Mengulas lanjut, Dr. Sureswaran berkata bagi memastikan data tidak disalahgunakan, akses hanya diberikan kepada pegawai MCMC terpilih untuk analisis, tanpa pendedahan kepada pihak ketiga atau tujuan komersial selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

“Operator rangkaian mudah alih (MNO) bekerjasama rapat dengan MCMC, dan data ini tidak boleh dikaitkan dengan individu tertentu,” tambah Dr. Sureswaran.

Menurutnya lagi, program tersebut penting untuk perancangan infrastruktur digital Malaysia, terutamanya dalam era 5G dan bandar pintar kerana data tersebut membantu meningkatkan liputan rangkaian, merapatkan jurang digital dan mempercepat tindak balas kecemasan, seperti semasa bencana atau wabak.

“Negara seperti Korea Selatan, Finland, dan Estonia telah lama menggunakan pendekatan serupa dengan hasil yang positif,”ujarnya.

Dr. Sureswaran menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan naratif yang tidak berasas.

“Ketelusan dan dialog terbuka antara MCMC, pakar siber, dan industri telekomunikasi adalah kunci untuk memastikan program ini terus memberi manfaat tanpa menjejaskan privasi.”

Beliau menegaskan Program MPD MCMC bukan alat pengawasan, tetapi langkah strategik untuk memastikan ketersambungan digital yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Dengan kerangka perlindungan data yang kukuh, ia diharap dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini MCMC mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.

SKMM berkata inisiatif ini mengikuti amalan terbaik antarabangsa yang menggunakan data telekomunikasi yang telah dibuang identiti untuk meningkatkan statistik negara tanpa menjejaskan privasi pengguna.-26/6/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru