Pesawat ringan terhempas dekat Sungkai…jurulatih penerbangan dan pelatih cedera

Jurulatih penerbangan Kapten Shahrul Imran, 30 dan pelatih Le Ho Jia, 20 sungguh bernasib baik mereka cuma alami kecederaan.
Ini berdasarkan pada keadaan teruk pesawat ringan jenis CESNA 172 (9M ADA) mereka naiki yang terhempas dekat Ladang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), di Besout 2 Tambahan,Sungkai pada Sabtu.
Kapten Shahrul Imran mengalami patah paha kiri manakala pelatih Le Ho Jia cedera dimuka akibat kemalangan terbabit.
Pesawat ringan itu adalah milik Layang Layang Flying Academy.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 9.46 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dibantu anggota daripada BBP Bidor dan BBP Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian.
“Kedua-dua mangsa selamat dan mereka juga berjaya di keluarkan dari lokasi nahas.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.- 4/5/2024