
Terima kasih PM Anwar… Reaksi rakyat Thailand dan Kemboja selepas pengumuman damai
Perang memang melelahkan… terutamanya kepada lebih 200 ribu penduduk di sempadan Thailand dan Kemboja yang terpaksa dipindahkan ke zon selamat berikutan konflik bersenjata antara dua negara jiran tersebut.
Syukurlah petang Isnin, perang yang masuk hari kelima itu berakhir dengan pengumuman gencatan senjata tanpa syarat oleh kedua-dua pihak.
Berkat kepimpinan berkesan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerlahkan kewibawaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Tidak menunggu lama, ruangan komen di laman Facebook rasmi Perdana Menteri dipenuhi dengan penghargaan kepada Anwar susulan kejayaan memediasi gencatan senjata antara kedua-dua negara itu.
Ramai warga kedua-dua negara menyatakan terima kasih atas kepimpinan Malaysia dalam menyelesaikan konflik secara aman.

Adisak Theeranuphattana dari Thailand menulis, “Terima kasih, Perdana Menteri Anwar, atas kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang memudahkan penyelesaian damai antara Thailand dan Kemboja. Ini satu pencapaian besar bagi rantau kita yang menegaskan komitmen bersama terhadap kemanusiaan, diplomasi dan dialog membina.”
Warga Kemboja, Lynin Thy pula menyatakan, “Rakyat Kemboja amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, kerana mengambil inisiatif menyelaras dan menganjurkan mesyuarat penting ke arah gencatan senjata antara kedua-dua negara.”
Sementara itu, Sokheng Thourk dari Kemboja turut menulis, “Rakyat Kemboja berterima kasih kepada Perdana Menteri yang dihormati kerana membawa keamanan dan membantu lebih 300,000 penduduk di sempadan kedua-dua negara.”
Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang tumpang berbangga dengan langkah berani Perdana Menteri itu, yang disifatkan sebagai bukti kesungguhan Malaysia memacu diplomasi serantau dan memperkukuh keamanan melalui dialog.
Inisiatif Malaysia yang berjaya meyakinkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan gencatan senjata dianggap sebagai satu detik bersejarah dan membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh keamanan serantau melalui pendekatan diplomasi.-29/7/2025