
Vape akan diharamkan di seluruh negara… kajian di peringkat akhir
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau ‘vape’ bagi mengekang isu itu secara lebih berkesan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagaimanapun berkata pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesan kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.
Menurutnya penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada serta keperluan dasar yang lebih menyeluruh demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat secara keseluruhan.
“Bagi mencapai kawalan yang lebih menyeluruh, khasnya dalam agenda pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik, ia masih lagi di bawah kuasa kerajaan persekutuan.
“Seiring dengan itu, KKM sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau ‘vape’ bagi mengekang isu ini secara lebih berkesan,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 28 Julai.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Ahmad Saad, mengenai pendirian KKM terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dalam negeri masing-masing.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pihaknya turut menyambut baik langkah enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang memutuskan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan ‘vape’.
“Kementerian menyambut baik keputusan tersebut memandangkan kuasa pelesenan premis perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kerajaan negeri.
“Pendekatan ini juga sejajar dengan aspirasi untuk melindungi kesihatan awam.
“Namun begitu, kawalan yang dilaksanakan pada masa ini hanya membabitkan larangan penjualan produk merokok di premis tertentu seperti kedai khas dan tidak merangkumi kedai runcit atau serbaneka,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, KKM memberi keutamaan kepada pendekatan kawal selia yang ketat terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“(Ia) merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan terhadap penjualan serta larangan merokok di tempat kawasan larangan merokok,” katanya.-29/7/2025