
Kerajaan teliti undang-undang kawal caj melampau hospital swasta
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti beberapa pindaan penting terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dalam usaha memperkukuh kawal selia terhadap isu caj berlebihan di hospital swasta yang semakin meresahkan pengguna.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni menegaskan langkah itu tidak boleh ditangguh lagi memandangkan peningkatan inflasi kos perubatan turut melibatkan peranan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia serta sektor insurans.
“Memang kita sedang mengkaji beberapa pindaan bersesuaian untuk memperluas kawal selia di bawah Akta 586 … selain fi konsultasi, kita ingin perluas beberapa caj lain supaya inflasi kesihatan dapat dikawal,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator R. A. Lingeswaran mengenai tindakan segera kerajaan untuk meminda akta tersebut bagi mengawal selia caj bukan profesional yang sering membebankan pesakit.
Menjawab soalan tambahan Senator S. Vell Paari pula, Lukanisman menjelaskan bahawa Akta 586 pada masa ini hanya meliputi caj konsultasi dan tatacara prosedur, manakala caj lain seperti harga ubat dan peralatan tidak berada di bawah kawalan KKM.
Menurutnya, KKM menerima 817 aduan tahun lalu, dengan 188 kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan — termasuk aduan caj konsultasi (70), caj prosedur (48), caj ubat (25) dan selebihnya berkaitan pelanggaran di bawah kerangka kawal selia sedia ada.
Beliau turut mengingatkan orang awam yang dikenakan caj konsultasi berlebihan supaya membuat aduan melalui laman sesawang KKM atau menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Lukanisman menegaskan bahawa fasiliti swasta yang gagal mematuhi jadual fi di bawah Akta 586 boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk surat amaran atau kompaun mengikut Subseksyen 106(4).
“Jika disabitkan, denda maksimum ialah RM5,000 bagi pemilik tunggal dan RM15,000 bagi pertubuhan, perbadanan, perkongsian atau organisasi,” katanya lapor Bernama.
“Notis tunjuk sebab untuk pembatalan lesen juga boleh dikeluarkan dalam kes bersesuaian,” katanya.-9/12/2025



