
Dadah, migran dan minyak: Rasional Trump serang Venezuela
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan Amerika akan “mengendalikan” Venezuela buat sementara waktu sehingga satu “peralihan yang selamat, wajar dan berhemah” dapat dilaksanakan.
Kenyataan itu dibuat selepas pasukan Amerika menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dalam satu operasi ketenteraan yang jarang berlaku dan membawanya ke New York untuk berdepan pertuduhan berkaitan dadah dan senjata.
Serangan dan penahanan itu menandakan kemuncak kepada kempen tekanan berbulan-bulan oleh Washington terhadap pemerintah Maduro, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai motif sebenar Amerika, kesahihan undang-undang antarabangsa, serta masa depan Venezuela.
Penglibatan Amerika didorong oleh empat faktor utama: Isu dadah dan dakwaan narco-terrorism (keganasan berkaitan dadah terkawal); pertikaian keabsahan politik yang berlarutan; tekanan melalui sekatan ekonomi serta kepentingan minyak; dan naratif keselamatan serantau yang menyifatkan Venezuela sebagai punca ketidakstabilan serta jenayah rentas sempadan.
Trump menyalahkan Maduro atas kemasukan ratusan ribu migran Venezuela ke Amerika.
Penghijrahan besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada hampir lapan juta rakyat Venezuela yang meninggalkan negara itu sejak 2013 akibat krisis ekonomi, kemerosotan perkhidmatan awam dan penindasan politik.
Tanpa mengemukakan bukti, Trump mendakwa Maduro telah “mengosongkan penjara dan hospital mental” serta “memaksa” tahanan dan pesakit berhijrah ke Amerika.

Dakwaan itu sering diulang Trump sebagai alasan keras terhadap Caracas.
Trump juga menjadikan isu dadah sebagai teras serangannya.
Beliau menuduh Venezuela membanjiri Amerika dengan kokain dan fentanil, walaupun pakar antidadah antarabangsa mempertikaikan dakwaan tersebut.
Pentadbiran Trump telah meletakkan dua kumpulan jenayah Venezuela, iaitu Tren de Aragua dan Cartel de los Soles, dalam senarai Pertubuhan Pengganas Asing oleh Amerika.
Trump turut mendakwa kartel terakhir itu dipimpin oleh Maduro sendiri.
Maduro menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menuduh Amerika menggunakan “perang terhadap dadah” sebagai alasan menyingkirkannya dan menguasai sumber minyak Venezuela.
Pakar antidadah menyatakan Venezuela hanyalah negara transit kecil dalam perdagangan dadah sejagat. Colombia, bukan Venezuela, kekal sebagai pengeluar utama kokain dunia.
Menurut laporan Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA), hampir tiga perempat kokain yang memasuki Amerika melalui laluan Pasifik, manakala hanya sebahagian kecil melalui Caribbean.
Fentanil pula hampir sepenuhnya dihasilkan di Mexico dan dibawa masuk melalui sempadan darat Amerika.
Venezuela tidak disenaraikan sebagai negara sumber fentanil dalam laporan ancaman dadah kebangsaan terbaru DEA.
Sejak Trump memulakan penggal keduanya, tekanan terhadap Caracas meningkat secara berperingkat.
Amerika menggandakan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penahanan Maduro.
Pada masa yang sama, pasukan Amerika mula menyasarkan kapal-kapal yang dituduh membawa dadah dari Amerika Selatan.
Lebih 30 serangan dilaporkan di Laut Caribbean dan Pasifik, mengorbankan lebih 110 orang.
Pentadbiran Trump mendakwa ia terlibat dalam konflik bersenjata bukan antarabangsa dengan rangkaian pengedar dadah, namun ramai pakar undang-undang antarabangsa menyifatkan sasaran tersebut bukan sasaran ketenteraan yang sah.
Pada Oktober, Trump mengesahkan Agensi Risik Pusat (CIA ) telah diberi kebenaran menjalankan operasi sulit di Venezuela.
Beliau turut mengumumkan sekatan laut sepenuhnya ke atas kapal minyak Venezuela, menjejaskan sumber pendapatan utama pemerintahan Maduro.
Venezuela memiliki simpanan minyak mentah terbesar di dunia.
Namun, sekatan antarabangsa, kekurangan pelaburan dan salah urus syarikat minyak negara telah merosakkan sektor tersebut.

Pada 2023, Venezuela hanya menghasilkan 0.8 peratus minyak mentah sejagat.
Negara itu kini mengeksport sekitar 900,000 tong sehari, dengan China sebagai pembeli utama.
Trump menafikan dakwaan tindakan Amerika bertujuan merampas minyak Venezuela.
Namun, kenyataannya mengenai “menyimpan minyak” dari kapal yang dirampas menimbulkan kecurigaan.
Masa depan Venezuela kekal tidak menentu.
Amerika berdepan pilihan sama ada berundur selepas menyingkirkan Maduro, atau terlibat lebih jauh dalam pembentukan pemerintahan baru.
Kekosongan kuasa di Caracas, risiko penentangan dalaman, tekanan undang-undang antarabangsa dan reaksi kuasa besar seperti Russia dan China akan menentukan sama ada tindakan itu membawa kestabilan atau krisis lebih mendalam.
Yang pasti, operasi itu menjadi ujian terbesar terhadap doktrin dasar luar Trump dan akan membentuk persepsi dunia terhadap peranan Amerika di hemisfera Barat.-7/1/2026



