TAHUKAH ANDA

FAM, JPN dipanggil beri keterangan kes dokumen palsu pemain warisan

Polis menerima 45 laporan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, dengan sembilan individu telah memberi kenyataan bagi membantu siasatan.

Antara yang dipanggil termasuk daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan penipuan.

“Setakat ini kita (polis) terima 45 laporan dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sudah selesai rekod kenyataan sembilan individu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.

Menurut FAM, tindakan itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka.

Dalam kenyataan sebelum ini, FAM turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

SPRM pada 28 September 2025 mengesahkan bahawa dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan FAM kepada FIFA tidak membabitkan sebarang unsur rasuah.

FAM dan tujuh pemain warisan membabitkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca telah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.-8/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button