
Rasuah perolehan pertahanan adalah khianat kepada negara – Anwar
Rasuah perolehan Pertahanan adalah pengkhianatan kepada negara – Anwar
Ketika nyawa prajurit, keberkesanan operasi, dan masa depan ketahanan negara dipertaruhkan, amalan rasuah dalam perolehan pertahanan bukan sekadar salah laku—ia adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan ancaman eksistensial terhadap kedaulatan bangsa.
Dalam konteks inilah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan amaran keras: tiada ruang lagi untuk komisen, kepentingan peribadi, atau budaya “cekau” yang selama ini menggerogoti industri pertahanan negara.
Anwar mengutuk sekeras-kerasnya amalan rasuah, kepentingan peribadi serta komisen yang terpalit dalam perolehan Kementerian Pertahanan.

Beliau turut memberi amaran keras kepada semua pihak agar menghentikan segera budaya yang disifatkan sebagai merosakkan negara dan industri pertahanan.
Beliau menegaskan amalan itu bukan sahaja menjejaskan tadbir urus kerajaan, malah mengkhianati amanah rakyat terhadap Angkatan Tentera yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara dan masa depan generasi akan datang.
“Sebab itu tidak boleh lagi kita teruskan dengan amalan bobrok yang merosakkan bukan sahaja kita sebagai negara, tetapi industri itu sendiri. Bayangkan harapan seluruh negara kepada satu angkatan untuk menjaga keselamatan kita, anak-anak kita dan masa depan kita, tetapi diringankan (diburukkan) dengan kepentingan-kepentingan peribadi,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di MITEC pada Rabu.
Beliau berkata adalah mustahil untuk merangka dasar pertahanan dan perolehan senjata terbaik sekiranya keputusan masih dipengaruhi kepentingan peribadi, komisen dan kekayaan, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pimpinan politik serta penjawat awam.

“Mana mungkin kita tetapkan suatu dasar pertahanan dan perolehan senjata terbaik kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan. Amaran keras ini tanpa kecuali,” katanya.
Perdana Menteri turut mengakui industri pertahanan merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan songlap dan cekau sekiranya tidak dikawal dengan sistem tadbir urus yang ketat dan telus.
“Saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang di mana amalan songlap dan cekau ini paling ganas. Sebab itu kita bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan tata kelola yang sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan meneruskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan ATM dan PDRM serta agensi berkaitan.
Beliau berkata semua perolehan yang telah diluluskan sebelum ini akan diteliti semula dan dipantau rapi sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan, dengan mengambil kira keupayaan kewangan negara

“Saya tegaskan (proses) pembekuan semua perolehan tidak harus sesiapa pun ganggu-gugat, ia mesti melalui proses yang lebih telus dan dipertanggungjawab kepada Menteri bersama Ketua Setiausaha (KSU).
“Kita ada dasar industri pertahana, tapi saya terangkumkan (perlu) ada satu agensi atau atau pusat yang memutuskan secara lebih telus.
“Penentuan jenis senjata dan kelengkapan yang diperlukan bukan ditentukan oleh saya, tetapi oleh mereka yang mempunyai kepakaran, mengikut keutamaan serta keterbatasan yang ada mengikut proses yang telus dan munasabah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pembekuan perolehan itu turut diselaraskan di KDN memandangkan penglibatan beberapa agensi berkaitan, dan semua keputusan perolehan mesti dinilai dalam konteks strategi DIPN bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kecurangan.-21/1/2026



