Covid-19: Buat masa ini tiada rancangan laksana PKP

Kenangan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara gara Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021 ibarat ‘mimpi ngeri’ bagi rakyat negara ini.
Banyak pengalaman perit dari segi kesihatan,ekonomi dan segala macam dilalui waktu yang getir itu.
Harapan ramai pasti semua tidak mahu melaluinya lagi keadaan yang amat merumitkan kehidupan harian dari segenap segi.
Ekoran peningkatan kes Covid-19 dan negara ini dan serata dunia kebelakangan ini sudah timbul pelbagai spekulasi.
Namun kita boleh menarik nafas lega pada Isnin bila Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan langkah PKP tidak dipertimbangkan, buat masa ini kerana keadaan masih terkawal.
“Kementerian kesihatan harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP.
“(Buat masa ini) kita tak cakap pasal PKP… untuk sekarang ini tak ada (rancangan untuk melaksana semula) PKP,” katanya pada sidang media mengenai situasi Covid-19 di Putrajaya.
Sepanjang tempoh 10 hingga 16 Disember, jumlah kes Covid-19 ialah 20,696, meningkat 62.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Dr Dzulkefly berkata bagi menghadapi lonjakan kes Covid-19 ketika ini, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama.
Strategi pertama adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2 manakala strategi kedua adalah pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).
Sementara itu, strategi ketiga adalah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi dan strategi keempat adalah pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan.
Katanya, strategi kelima adalah pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.- 18/12/2023