Lawatan PM ke UAE bawa pelaburan jangka panjang untuk Malaysia

Pelaburan jangka panjang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia dijangka membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga.
Ini kejayaan susulan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri ASnwar Ibrahim ke negara teluk itu bermula Ahad lepas.
Menerusi satu hantaran di platform X pada Isnin, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.
“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam meneroka pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.
“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah,” katanya.
Perdana Menteri memulakan hari kedua lawatan kerja dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu iaitu Pengarah Urusan ADIA Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
Anwar dijadual menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di ADNEC Center di sini.
Antara pemimpin dunia yang dijangka mengambil bahagian di ADSW ialah Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan dan Presiden Uganda Yoweri Museveni.
Pemimpin lain termasuk Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama, Perdana Menteri Finland Petteri Orpo, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.
Pada sidang Pleno ADSW, Perdana Menteri akan terlibat dalam dialog ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’. Ia sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Anwar turut dijadual menghadiri Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed dan forum ‘Youth 4 Sustainability’.
Hari ini juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA), yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
Lawatan perdana menteri ini adalah atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai, untuk menghadiri ADSW 2025.-14/1/2025