Wan Saiful selamat dari kena gantung hadiri sidang Dewan Rakyat 6 bulan

Gara gara perbahasan di Dewan Rakyat pada 28 Februari yang antara lain dakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin korup,Ahli Parlimen Perikatan Nasional Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan nyaris kena gantung enam bulan.
Ini setelah pada Selasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik usul gantung hadiri sidang Dewan Rakyat enam bulan selepas Wan Saiful membuat pernyataannya semula di Dewan Rakyat termasuk memohon maaf atas kenyataannya pada minggu lalu.
Bekas Ketua Penerangan BERSATU itu yang diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul itu dibacakan Zahid, turut mengakui kekhilafannya dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini juga menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan menarik usul itu kemudiannya dipersetujui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya ‘move on’.
“Ini bermaksud Yang Berhormat (Tasek Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Untuk itu, saya terima dan menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf sudah dibuat. Ini episod yang sudah berlalu dan Ahli Parlimen kiri (blok pembangkang) dan kanan (blok kerajaan) ‘move’ ke depan.
“Kita bincang masalah rakyat dengan tertib dan aman, akhirnya memberi natijah lebih baik. Jadi, kita tutup kes ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat.
Terdahulu, ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang bangun mencelah menghargai keputusan penarikan usul itu oleh kerajaan.
“Saya ambil kesempatan ini dengan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Speaker atas tindakan yang bijaksana dan menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin. Rakyat nampak Ahli Parlimen ini bertanggungjawab,” katanya.
Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bangun selepas itu turut meminta tindakan yang dibuat Wan Saiful dijadikan pengajaran dan iktibar.
Ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja minggu lalu, Wan Saiful mendakwa Anwar sudah menyalahgunakan kuasanya.
Kenyataan Wan Saiful itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat sehingga memaksa pemimpin BERSATU itu menarik balik kenyataannya atas arahan Speaker.- 5/3/2024