Ini penjelasan Ruhainies…saya tak boleh paksa sesiapa untuk percaya

“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.
“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi daripada saya.”
Itu antara kata pelakon Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas atau lebih dikenali sebagai Ruhainies menerusi laman Instagram berhubung dakwaan terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di ibu negara Jumaat lalu.
Dalam penjelasan Khamis malam yakni hyampir seminggu selepas kejadian dia menafikan dakwaan khalwat dengan Aliff.
Bagaimanapun, Ruhanies mengakui kekhilafannya di sisi agama kerana berada dalam situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dielakkan.
“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama PA (Pembantu Peribadi) pulang ke rumah. Hari itu juga, adik-beradik memang merancang tidur di rumah.
“Jadi, kami rancang makan bersama adik-beradik dan beberapa rakan lain.
“Memandangkan Aliff baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga serta adik-beradik saya sejak 10 tahun lalu.
“Aliff bersetuju sebab sudah lama tak berjumpa dengan mereka. Risteena ( kakak Ruhainies) maklumkan kepada saya, dia dalam perjalanan ke rumah, namun, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan shooting saya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ruhainies memberitahu, dia dan Aliff sempat berborak sementara menunggu dan tidak lama kemudian, pintu rumahnya diketuk.
“Saya ingatkan, itu kakak saya sebab dia cakap sudah nak sampai. Tapi, apabila mendengar suara lelaki, semestinya saya takut untuk membuka pintu atas faktor keselamatan.
“Kemudian, saya hubungi semula kakak supaya datang secepat mungkin dan periksa siapa di depan pintu. Apabila sampai, dia sahkan itu adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan polis.
“Dia maklumkan kepada mereka, dia memang sepatutnya sudah sampai dan berada bersama dalam rumah kerana berjanji untuk turut serta. Tapi, disebabkan kesesakan lalu lintas terpaksa ambil masa lebih lama memandangkan keesokan hari adalah hujung minggu,” tulisnya.
Tambah Ruhanies, kakaknya juga maklumkan bahawa Bella dan pihak media turut berada di depan pintu.
“Jadi, atas faktor keselamatan dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, kakak minta saya tidak membuka pintu dahulu.
“Selepas berbincang dan ada budi bicara agar pihak berwajib sahaja yang ada di depan pintu, barulah saya buka.
“Selepas dijalankan pemeriksaan, tidak ada apa-apa berlaku. Tetapi, hanya mengikut prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, saya hanya perlu memberi keterangan sahaja.
“Selepas selesai, saya kembali ke rumah,” katanya.
Bagaimanapun, Ruhanies mengakui kekhilafannya di sisi agama kerana berada dalam situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dielakkan.
“Siasatan dijalankan oleh JAWI dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka. Saya juga ingin berterima kasih kepada JAWI atas kerjasama, penjagaan penuh diberikan kepada saya ketika kejadian.
“Siasatan telus juga telah dibuat oleh JAWI.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi.
“Aliff adalah rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik-beradik sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Justeru, Ruhainies memohon maaf kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan beberapa pihak memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat.
“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah.
“Saya juga bersedia untuk berbincang apabila Bella sudah bersedia.
“Saya berharap kenyataan saya ini tidak akan dijadikan bahan provokasi kerana saya tidak ada niat ke arah itu, sebaliknya bersedia menjernihkan keadaan antara kami bertiga.
“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.
“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi daripada saya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.
Sumber berkata, tangkapan dibuat JAWI berdasarkan maklumat orang awam. Menurutnya, pasangan selebriti yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama, ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Renteten insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dilapor berjanji memberi penjelasan lanjut berhubung kontroversi terbabit.
Sebelum ini, melalui hantaran Instagram Story (IGs), Aliff atau nama sebenar, Mohammad Aliff Aziz mendakwa laporan ditahan anggota penguat kuasa JAWI ditokok tambah dan terlalu banyak spekulasi berbanding cerita sebenar.
Bagaimanapun, Aliff dilapor mengaku dirinya faham tanggapan yang timbul disebabkan apa yang berlaku menimbulkan syak wasangka yang boleh mendatangkan fitnah.
Aliff juga dilapor menafikan penjelasan yang bakal dibuat sebagai cuba menegakkan benang basah.
Sementara itu, Ruhainies atau nama penuh, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dalam reaksi balas dilapor menjelaskan hubungannya dengan Aliff sekadar rakan artis dan mereka sedang menjalani penggambaran drama.
Ruhainies mendakwa berkawan dengan Aliff sejak lebih 10 tahun lalu dan mereka sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Jerat. Ruhainies juga dilapor meminta semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kejadian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Bella memfailkan perceraian daripada Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada pada 11 Mac lalu.
Bella mohon cerai dari Aliff Aziz…
Bella Astillah, 29, isteri kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz,33 yang didakwa terlibat kes khalwat dengan pelakon Ruhanies,32 telah memfailkan permohonan perceraian daripada suami di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Permohonan itu difailkan pada Isnin dan sebutan kali pertama berlangsung hari ini,Rabu.
Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12.40 tengah hari ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah bagaimanapun Aliff tidak kelihatan.
Bella yang sebelum ini pernah rujuk dengan Aliff beritahu wartawan diketika ditemui dia nekad untuk bercerai.
“Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.
“Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar…Itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais berkata, Aliff tidak hadir atas urusan penggambaran dan prosiding diteruskan, bulan depan.
“Hari ini adalah sebutan pertama bagi kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah. Kami sudah failkan kes ini, kelmarin, iaitu perceraian secara ekspres sebab kami dapat berita sebelum ini Aliff bersetuju.
“Tetapi hari ini Alif cakap dia tidak bersedia kerana ada penggambaran. Jadi, saya sudah mohon tarikh sebutan seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman secara kendiri dan berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik,” katanya.
Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Jumaat lalu.
Tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdasarkan maklumat orang awam.- 13/3/2024