FOKUS

PM tidak mahu isu kenaikan gaji penjawat awam jadi bahan debat…kerajaan akan cari jalan laksana

“Saya tahu ada yang mengkritik, ada Ahli Parlimen yang berkata mana tahu dalam Parlimen tidak akan lulus, saya nak tengok muka mana yang menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam.

“Kalau ada orang yang berani menentang ini tanpa ada alasan yang munasabah, kita humbankan mereka dalam pilihan raya. Usaha-usaha kita lakukan ini, walaupun saya beritahu ekonomi tidak begitu baik, tetapi sekarang berkembang.

“Wang tidak ada, saya kena cari. Yang boros saya kena tamatkan. Yang rasuah saya kena uruskan. Siasat, tangkap dan akhir hukum supaya jadi pengajaran,” katanya.

Ini antara kata kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyentuh soal kenaikan gaji penjawat awam yang beliau umumkan pada Hari Pekerja pada 1 Mei baru ini.

Berucap di perhimpunan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Tambuh pada Sabtu Anwar turut menegaskan kenaikan gaji penjawat awam lebih daripada 13 peratus ini merupakan terbaik dalam sejarah dan ini merupakan usaha beliau sebagai Perdana Menteri untuk mengurangkan kesenjangan gaji.

“Bagi kalangan yang di bawah, peringkat bawah, kenaikan gaji lebih tinggi kerana kita tidak mahu kesenjangan terlalu tinggi di antara gaji pegawai tinggi dengan gaji yang di bawah.

“Sebab itu skim kita ini akan berubah supaya tentunya yang tinggi harus tinggi, orang yang berkhidmat 30 tahun tak mungkin gajinya sama dengan orang berkhidmat 3 tahun. Orang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran mesti diberi pengiktirafan. Tetapi jangan terlalu berlaku kesenjangan,” katanya.

Perdana Menteri berpendapat soal kenaikan gaji tidak harus jadi bahan perdebatan kerana kerajaan akan cari jalan untuk laksana keputusan itu.

Katanya sudah 12 tahun sejak skim gaji dikaji semula.

“Ada yang mungkin persoal kenapa kita nak laksana memandangkan situasi ekonomi sekarang.Keadaan sekarang ini diwarisi oleh kerajaan sekarang dan saya sendiri sebagai Perdana Menteri,”katanya.

Baginya adalah tidak adil untuk bebankan kakitangan awam dengan isu berkenaan.

“Kita perlu hentikan amalan yang membazir dan isu rasuah dalam kerajaan,”tegasnya.- 4/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button