Zahid sahkan wujud gerakan ‘Langkah Dubai’…kata ia hanya buang masa

Sekarang ini sudah sah bahawa ‘Langkah Dubai’ bukan fantasi atau fatomorgana dan sebaliknya satu realiti.
Orang yang kata gerakan ini wujud ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu mendakwa ‘Langkah Dubai’ bukan saja disertai oleh pemimpin dari parti pembangkang bahkan juga melibatkan pemimpin tertentu dari blok kerajaan.
Bercakap dalam sidang akhbar di Putrajaya Selasa beliau bagaimanapun menilai gerakan mereka ‘buang masa’ kerana kerajaan perpaduan mendapat sokongan lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.
Beliau enggan sebut nama mereka yang terlibat.
“Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu kita perolehi,” katanya.
Zahid menasihatkan mereka yang terlibat gerakan itu menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.
“Pada hemat kami langkah itu hanya membuang masa,”katanya.
“Bukan soal-soal politik. Tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kalau mereka mahu tukar kerajaan. Kerajaan yang ada akan beri tumpuan untuk perkukuhkan ekonomi, membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Isu ‘Langkah Dubai’ mula meletop Sabtu lalu bila Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop, mendakwa ada rancangan sulit digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dakwanya gerakan itu tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN serta ahli parlimen kerajaan di Dubai baru-baru ini.
Bagaimanapun ada kalangan pimpinan kerajaan dan juga pembangkang tidak yakin wujud gerakan itu.
Malah bekas Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Mazlan menilai khabar itu satu ‘fatamorgana’ yakni benda tak wujud yang dikatakan wujud.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dakwa ia cerita rekaan semata mata.- 2/12/2024