TAHUKAH ANDA

Rundingan kerajaan – PN mengenai peruntukkan ahli parlimen pembangkang temui jalan buntu

Mengambil kira dari cakap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin nampak gaya rundingan antara PN dan kerajaan mengenai peruntukkan bagi ahli parlimen pembangkang ‘sudah langgar tembok’

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu secara terbuka berkata PN tidak akan mengemukakan cadangan balas pada draf memorandum persefahaman (MOU) mengenai peruntukan dari kerajaan yang mereka telah tolak

Bercakap kepada media di Kluang, beliau menganggap langkah mengemukakan cadangan balas tersebut sebagai “tiada faedah” kerana menjangkakan ia masih tidak akan mencapai apa yang mereka inginkan.

Baginya usaha berunding itu tidak menunjukkan hasil selepas mendakwa ia berlanjutan sejak dua tahun lalu.

“Bagi kami, tak ada tujuan dan faedah kalau kita (PN) nak buat cadangan balas,” katanya.

“Nak berunding, lebih daripada runding… dah dua tahun.

“Kalau orang nak makan, (dalam tempoh dua tahun orang itu) nak mati dah. Nasib baik kami ni masih hidup lagi, bertahan,” katanya sinis.

PN telah menerima draf memorandum persefahaman (MOU) mengenai peruntukan sekata untuk semua ahli parlimen pembangkang pada 6 Ogos lalu.

Antara lain ia menyentuh ketetapan yang diperlukan daripada ahli parlimen PN untuk tidak menggunakan isu 3 R, serta mereka perlu mengisytiharkan harta masing-masing.

Beberapa hari kemudian PN secara rasmi mengumumkan mereka menolak draf tersebut. Langkah berkenaan disusuli dengan pendedahan butiran draf MOU itu kepada umum untuk dinilai oleh orang ramai.- 20/9/2024

Kerajaan tunggu surat rasmi pembangkang tolak draf MoU peruntukan – Fadillah

Kerajaan menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang yang dilaporkan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah berkata setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan tersebut menerusi laporan media.

“Saya menunggu surat rasmi daripada mereka dan apabila ada nanti, saya akan bawa ke peringkat jawatankuasa majlis perundingan Kerajaan Perpaduan. Dari situ, kita akan berbincang lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Regata Pusa di Betong,Sarawak,Ahad.

Media hari ini melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

Menyentuh asas penolakan itu, Fadillah berkata apa yang dikemukakan adalah draf MoU dan beliau mengharapkan pihak pembangkang akan mengemukakan cadangan balas terhadap perkara-perkara yang tidak dipersetujui dalam draf berkenaan.

“Kita akan bincang lanjut sama ada kita perlu meneruskan rundingan atau jika ini adalah keputusan muktamad daripada pihak pembangkang yang mereka tidak mahu berunding lagi,” tambahnya.— BERNAMA – 15/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button