PM arah batal rombongan 68 penjawat awam hadiri pameran kecil di Berlin

Sudah sekian lama kedengaran gosip dan kritikan berkaitan lawatan dan rombongan pegawai kerajaan keluar negara yang ada antaranya didakwa hanya membazirkan wang rakyat.
Pelanggaran sebegini tidak boleh diizinkan…itu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ketika memberitahu beliau mengarahkan rombongan 68 penjawat awam untuk menghadiri pameran kecil di Berlin,Jerman dibatalkan.
Bercakap kepada wartawan selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama kariah Masjid Darussalam Puchong, di Puchong Perdana Menteri berkata, beliau harus bertegas kerana rombongan ke luar negara adalah membabitkan duit rakyat.
Anwar berkata rombongan itu sepatutnya membabitkan sebahagian kumpulan kecil sahaja.
Beliau menegaskan tiada keperluan untuk rombongan penjawat awam itu hanya untuk menghadiri pameran kecil walaupun tiket penerbangan dan hotel bagi semua penjawat awam itu sudah disediakan.
Beliau berkata, tindakan itu adalah sebahagian tindakan transformasi yang perlu dilakukan terhadap kementerian, agensi serta jabatan kerajaan hari ini.
“Transformasi dalam jabatan kerajaan, syarikat kerajaan dan agensi mesti berterusan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu, kita mengambil keputusan tegas untuk semua syarikat dan agensi kerajaan.
“Walaupun lembaga (pengurusan) berkuasa tetapi kadang-kala keputusan itu memihak kepada mereka.
“Oleh itu semua projek baharu, lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan, supaya yang ada akhirnya bertanggungjawab secara langsung.
“Keterlanjuran ini umpamanya ada pesta pameran kecil di Berlin tetapi saya lihat dari kakitangan kementerian dan agensi berkenaan, seramai 68 yang mendaftar yang pergi,” katanya.
“Pembatalan melalui keputusan tegas ini akan menjadi mesej yang jelas (iaitu) menteri mesti membentangkan kepada Jemaah Menteri dan biasanya kita akan membuat pemotongan kakitangan (rombongan), jika tak perlu atau tangguh untuk menjimatkan belanja,” katanya.
Tambah Anwar, dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Kementerian semalam turut menzahirkan ketegasan yang sama.- 20/9/2024