TAHUKAH ANDA

Apa jadi jika Malbatt diserang tentera Israel ?

Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu bahawa Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang berada di Selatan Lubnan boleh membuat serangan balas terhadap tentera Israel jika kedudukan mereka diancam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beritahu demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Ikmal Hisham tanya sama ada pasukan Malbatt Malaysia di Lubnan boleh membuat serangan balas jika diserang tentera Israel.

Namun kata Khaled pasukan pengaman itu tidak dibenarkan membuat tindakan ofensif kerana peranan mereka adalah sebagai tentera pengaman.

“Jika berlaku serangan (oleh tentera Israel), dari segi kalau untuk ‘self defence’ (mempertahankan diri) memang boleh (serang balas), untuk kita membalas tembakan dan sebagainya.

“Tetapi kalau untuk lakukan ‘offensive attack’ (serangan ofensif), maka itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab pasukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL)ini adalah sebagai pengaman.

“Kalau dia diserang (dan) untuk ‘self defence’ (mempertahankan diri), maka ia (serangan balas) boleh dilakukan,” katanya.

Sejak 1 Okt lalu, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara besar-besaran dan operasi darat yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Lubnan.

Kementerian Kesihatan Lubnan, melaporkan angka korban akibat serangan Israel melebihi 2,300 orang sejak konflik itu memuncak.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, tentera Malaysia di Lubnan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan aset, sepanjang tempoh serangan Israel ke atas negara itu.

Justeru, katanya negara masih mengekalkan kedudukan pasukan Malbatt di Lubnan dan sebarang keputusan pengunduran tentera negara serta pasukan pengaman negara lain akan diputuskan oleh UNIFIL.

Mengakui ancaman tentera Israel semakin meningkat, Menteri Pertahanan itu berkata Unifil telah meletakkan garis panduan, bagi menjamin keselamatan semua pasukan di bawah misi pengaman berkenaan.

“Kesemua pasukan di bawah Unifil termasuk pasukan Malbatt 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan, telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

“Mengambil kira keselamatan petugas, markas Unifil juga telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu, mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel Benjamin Nentanyahu juga memberi amaran supaya pasukan UNIFIL segera meninggalkan Selatan Lubnan.- 17/10/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button