35,000 Rumah MADANI bakal dibina di Pulau Pinang…

Pulau Pinang bakal menyaksikan pembangunan 35,000 unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Bakat Baru MADANI sebagai langkah progresif kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat melalui projek perumahan berkualiti tinggi.
Projek ini, yang melibatkan kawasan Seberang Jaya dan Batu Kawan, menawarkan harga antara RM225,000 hingga RM420,000, dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan ini tidak sekadar memenuhi keperluan asas perumahan, tetapi juga menitikberatkan aspek kemanusiaan dan keadilan sosial.
“Jika perumahan golongan kaya ada kolam renang, sekurang-kurangnya rakyat juga harus ada kolam yang boleh dimanfaatkan. Kita mahu mereka rasa diiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya dalam ucapan semasa majlis menandatangani perjanjian pembangunan bersama antara Penang Development Corporation (PDC), PDC Properties, dan SkyWorld.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada kesenjangan dalam pembangunan perumahan, selaras dengan prinsip MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek perumahan khususnya rumah mampu milik, mesti memenuhi aspek manusia dan keperluan asas rakyat.
Beliau berkata, dalam mencapai kemajuan pembangunan, adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kesenjangan dalam memenuhi keperluan asas perumahan untuk masyarakat secara keseluruhan.
Anwar berkata di sebalik meraikan kejayaan negara dalam pelbagai bidang, kejayaan itu tidak akan bermakna sekiranya projek pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Saya singgung soal kemajuan cip mikro, kecederdasan buatan (AI) yang tentunya dikuasai oleh golongan mahir, namun tiada kejayaan yang tercapai tanpa usaha golongan seperti tukang bersih, tukang masak, juruteknik dan tukang cuci.
“Sebab itu, dalam membicarakan soal pembangunan, kita tidak seharusnya menyisihkan keperluan semua elemen ini (kemanusiaan), kerana tanpa peringatan, kita akan mudah lupa,” katanya.
Pada majlis tersebut, Anwar bersama Nga dan Chow turut menyaksikan pemeteraian perjanjian itu melibatkan pihak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PDC Properties Ir Ismail Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Datuk Aziz Bakar, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Skyworld Development Berhad Datuk Seri Ng Thien Ping dan Ketua Pegawai Eksekutif Skyworld Development Berhad Lee Chee Seng.
Mengulas mengenai projek itu, Anwar berharap kerajaan Pulau Pinang dengan pihak Pemaju dapat menyelesaikan urusan kelulusan projek dalam tempoh kurang 45 hari.
Beliau juga menegaskan agar projek perumahan rakyat ini, tidak terganggu atau terjejas akibat kelewatan urusan kelulusan.
“Dalam peluncuran Projek Residensi MADANI di Taman Desa Kuala Lumpur, saya beri tempoh 45 hari untuk selesai semua dokumen kelulusan… boleh pula? biasanya enam bulan.
“Oleh itu, saya akan luncurkan projek ini sekitar akhir Januari atau minggu pertama Februari depan…maknanya kurang dua bulan semua kelulusan mesti dilakukan, masalah diselesaikan dan dalam tempoh dua minggu projek boleh mula,” katanya.-10/12/2024