TAHUKAH ANDA

Anwar ulas pasal kapal tentera laut China berlabuh di Pulau Pinang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melabuhkan tirai terhadap kontroversi kapal tentera China berlabuh di Pulau Pinang baru baru ini dengan menjelaskan hanya kapal Israel sahaja tidak dibenarkan.

“Kita nak jelaskan dasar untuk berbaik dengan semua negara, kapal yang nak berlabuh dalam semua pelabuhan kita bagi, semua negara kita izinkan, tiada kompromi, kecuali kapal Israel.

“Yang lain masukkanlah. Itu dasar yang kita amalkan. Tapi ini dijadikan isu (bahawa) China dah ambil alih, bila Anwar baik dengan Jinping (Presiden China, Xi Jinping) … kapal perang China dah masuk,’’ katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ACCIM ke-78, di Kuala Lumpur,Ahad.

Anwar mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang menyifatkan tindakan membenarkan Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China sebagai tidak sensitif dengan konflik berkaitan Laut China Selatan.

Pembangkang turut mempersoalkan kenapa kehadiran tentera laut China itu diberikan sambutan luar biasa selain diizinkan melawat sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata bahawa kunjungan kapal tentera dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang adalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Mohamad Hasan berkata permohonan berkaitan kunjungan delegasi China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang juga telah dibuat secara rasmi kepada kementerian berkaitan. – 13/10/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button