PM umum peruntukan tambahan RM200 juta perkasa TVET

Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah mendapat suntikan dana tambahan sebanyak RM200 juta untuk memperkasakan lagi bidang itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum berita gembira itu semasa merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, pada Sabtu.
Beliau berkata peruntukan tambahan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu, antara lain bertujuan menggalakkan institusi TVET membangun dan memperkasa program latihan seiring keperluan semasa pihak industri.
“Kita mahu supaya bidang-bidang berkaitan industri berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik, bahan termaju atau advanced materials, teknologi elektrik, mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan perladangan, diberi nilai tambah selaras perkembangan teknologi semasa.
“Ini juga memberi peluang kepada institusi TVET mewujudkan lebih banyak segmen TVET kepada masyarakat golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta orang asal di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan hampir RM8 bilion yang disediakan kerajaan, merupakan antara yang tertinggi dalam sejarah bidang pendidikan TVET dan ia seharusnya meletakkan bidang itu ditahap tertinggi, sebagaimana negara maju lain.
“Kenapa kita terus bagi penekanan kepada pendidikan TVET? Antara sebabnya ialah negara memperoleh pelaburan atau FDI tinggi, yang pastinya pelabur memerlukan tenaga kerja mahir bagi pengoperasian syarikat mereka di sini.
“Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Jerman juga begitu yakin dengan kemahiran yang ada pada jurutera Malaysia dan untuk itu kita perlu terus perkasakan bidang TVET untuk penyediaan tenaga kerja mahir yang berterusan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara; Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.- 8/6/2024