TAHUKAH ANDA

Keluarga Teoh Beng Hock tolak permohonan maaf SPRM

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menolak permohonan maaf dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung insiden 16 tahun lalu.

Adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan, 45, berkata permohonan maaf itu tidak menggambarkan keikhlasan.

Malah, katanya, hasrat SPRM untuk memberikan sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan adalah tindakan memalukan keluarganya.

Menurutnya, permohonan maaf seumpama itu tidak membawa sebarang makna selagi tidak ada pengakuan atau tindakan.

“Keluarga menolak tawaran itu, dan mendesak pegawai SPRM terbabit didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Azam yang mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi antirasuah itu pada 2009.

Permohonan maaf itu dikemukakan pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock, yang juga Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Azam dilaporkan berkata, SPRM bersedia memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi, Ng Yap Hwa turut menyifatkan permohonan maaf terbabit tidak ikhlas dan tanpa sebarang penyesalan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan sumbangan ihsan ditawarkan SPRM, sebaliknya mahu individu bertanggungjawab atas kematian demi menegakkan keadilan buat keluarganya.

Peguam keluarga mendiang iaitu Chew Pong Him pula menggesa supaya lima pegawai SPRM terbabit dikenakan tindakan mengikut undang-undang secara adil.

Katanya, tiada mana-mana individu yang bertanggungjawab atas kematian Beng Hock sejak 16 tahun lalu.

“Mereka sepatutnya diberkas, disiasat dan dihadapkan ke mahkamah, sama ada bersalah atau tidak biar mahkamah buat keputusan. Tapi apa yang berlaku, tiada seorang pun (didakwa),” katanya.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.

Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.

Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Siasatan semula kes berkenaan dibuat susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan.-18/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button