Maklumat separuh masak di media sosial kononnya ada pengganas serang sekolah menyebabkan ramai tersentak di pagi Isnin ini… siap ada video lagi lelaki bersenjata di koridor bangunan sekolah.
Siasat punya siasat rupa-rupanya letupan dan serangan oleh sekumpulan individu bersenjata di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh disahkan sebahagian daripada latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan yang dijalankan oleh Pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, latihan berskala kecil itu melibatkan insiden di mana sekumpulan individu tidak dikenali menjadikan seorang pensyarah serta beberapa pelajar sebagai tebusan.
“Berdasarkan kejadian, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan daripada pegawai keselamatan PUO mengenai insiden tersebut.
“Latihan berskala kecil ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan agensi yang terlibat, termasuk polis, PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya.
Beliau menjelaskan latihan itu dijalankan bagi memastikan pengurusan serta tindakan dalam menangani krisis keganasan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seperti digariskan dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 18.
Sehubungan itu, kehadiran ramai anggota polis, kenderaan pasukan keselamatan dan perubatan, termasuk sebuah helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), di kawasan PUO adalah sebahagian daripada latihan Ex Kurung.
Menurutnya, latihan seperti itu diadakan dari semasa ke semasa bagi menguji keberkesanan pelan tindakan pengurusan krisis keganasan, sekali gus memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dan mengelak daripada menyebarkan spekulasi tidak tepat mengenai kejadian serta latihan itu.
Terdahulu, beberapa rakaman video yang tular menunjukkan pelajar PUO dalam keadaan panik dan cuba menyelamatkan diri.
Beberapa video turut merakam bunyi letupan yang kedengaran di lokasi kejadian.-17/3/2025