aliff33xx

KEMASKINI : Telefon bimbit dan kad sim Aliff Syukri disita MCMC untuk siasatan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah sita telefon bimbit dan kad sim milik Datuk Aliff Syukri yang memuat naik video lagu hari raya yang cetus kontrovesi.

Kad sim itu disita semasa beliau dipanggil untuk rakam percakapan di ibupejabat MCMC.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kata telefon bimbit dan kad sim itu dihantar ke forensik untuk siasatan.

Beliau yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang Khamis kata setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat terperinci mengenai hal itu.- 5/4/2024

BERITA SEBELUM INI : Video raya ‘terlampau’…Alif Syukri disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia…

Gelagat ‘terlampau’ dalam video raya Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang mencetuskan kecaman ramai pihak akhirnya bawa padah.

Usahawan kosmetik itu pada Rabu kena berdepan dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588] dan jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC beritahu menerusi satu kenyataan agensi itu telah merakam percakapan Aliff Syukri

Rakaman percakapan itu dibuat susulan aduan yang diterima berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik Aliff Syukri.

Rakaman yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu telah diadakan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,” katanya hari ini.

MCMC menambah, setelah kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Pegawai penyiasat pada masa sama turut menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

Berbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh telah mengecam aksi dalam video berkenaan.

Malah Akmal ajak rakyat Malaysia boikot produk Aliff Syukri untuk ajar erti penyesalan pada dirinya.

Sementara itu pada Selasa menerusi hantaran video dalam Instagram Aliff Syukri membuat permohonan maaf selepas memuat naik klip video lagu baharu berjudul Love Raya yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan pada Ramadan.

Dia turut memohon maaf kepada ibunya yang juga usahawan, Rozita Ibrahim selepas ditegur kerana memuatnaik video tidak sepatutnya pada bulan Ramadan.

“Kepada mak saya (Rozita) dan semua netizen yang melihat video, saya minta maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki.

“Memang saya kecil hati sebab sudah bersusah payah siap keluarkan modal puluhan ribu ringgit untuk penari dan juru video.- 3/4/2024

Agong-KK-Mart

Pengerusi KK Mart mengadap YDP Agong mohon maaf

Pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Chai Kee Kan pada Rabu mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pada sesi mengadap itu selama 15 minit itu Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sultan Ibrahim kemudian bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Sultan Ibrahim.- 3/4/2024

spanco3xxx

Tauke Spanco didakwa tipu kerajaan syarikatnya ada 30 peratus saham bumiputra untuk dapat kontrak RM3.9 billion

Bukan kecik anak…kontraknya bernilai RM3.9 billion.

Kontrak itu adalah untuk pembekalan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan milik kerajaan.

Tauke syarikat Spanco Sdn Bhd (Spanco) didakwa tipu kerajaan dengan mendakwa sekurang-kurangnya 30 peratus pemegang saham Spanco adalah Bumiputera untuk dapatkan kontrak itu.

Pengerusi syarikat itu Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah pada dakwaan lakukan penipuan pada tahun 2019.

Mengikut pertuduhan, Hua Choon didakwa menipu Kementerian Kewangan (MOF) dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta, MOF bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat Spanco.

Ia menerusi dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’, dan dia dituduh secara tidak jujur telah mendorong MOF untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleeť bernilai RM3.9 bilion kepada syarikat itu.

Sedangkan kementerian tersebut tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta MOF Putrajaya, antara 27 dan 28 Februari 2019.

Jumlah genap kontrak berkenaan ialah RM3,966,386,628.

Pertuduhan dibuat di hadapan hakim Suzana Hussin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabit bersalah.

Ditanya jurubahasa mahkamah sama ada beliau memahami pertuduhan dan pengakuannya, Hua Choon berkata “saya tidak bersalah’.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat mencadangkan ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin, dengan alasan ia dipersetujui secara bersama peguam bela.

Mahadi turut memohon syarat tambahan termasuk Hua Choon menyerahkan pasport antarabangsa atau diplomatik, selain melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sebulan sekali.

Katanya, taikun perniagaan itu tidak boleh dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Wan Azmir Wan Majid memohon mahkamah mengubah masa kepada sekali setiap tiga bulan, dengan menyatakan bahawa anak guamnya yang berusia 83 tahun bersetuju dengan kebanyakan syarat dan kini mengalami beberapa penyakit.

Penyakit itu termasuk hipertensi, lutut dan sakit belakang yang memerlukan beliau bergantung kepada tongkat untuk bergerak dan melakukan aktiviti seharian.

Hakim Suzana kemudian memerintahkan kekerapannya adalah sekali setiap dua bulan, di samping mengekalkan ikat jamin dan syarat lain seperti dimaklumkan.

Terdahulu, Wan Azmir turut memaklumkan bahawa peguam utama Hua Choon ialah Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 19 Januari lalu SPRM melancarkan serbuan di kediaman seorang ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ sebagai sebahagian daripada siasatannya, berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan.

Operasi itu adalah kesinambungan daripada siasatan berterusan agensi anti rasuah itu yang bermula Julai tahun lalu.

Pada 31 Januari lalu, dilaporkan beberapa akaun bank peribadi bernilai puluhan juta ringgit milik ahli perniagaan itu, dibekukan SPRM hasil siasatannya berhubung perkara sama.

Spanco, ditubuhkan pada tahun 1988 merupakan pembekal swasta terbesar bagi penyelesaian pengurusan kenderaan kerajaan Malaysia.

Spanco sebelum ini mendapat kontrak menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.

Pada 2020 Spanco sekali lagi dianugerahkan pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.– 3 /4/2024

alif-nnnn

Dr Akmal ajak rakyat ajar erti penyesalan pada Aliff Syukri

“Cukup cukuplah dengan drama minta maaf dan air mata yang diulang setiap tahun

“Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan?sila tunggu produk kamu akan diboikot.

“Ini bukan content luar kotak,ini adalah content tiada otak!!

Itu ditegaskan oleh Ketua Pemuda Umno Dr akmal Saleh menerusi video di laman facebooknya pada Selasa.

Ini sebagai mengulas kontroversi terbaru berkait dengan video sempena hari raya oleh Datuk Aliff Syukri.

Kata Dr Akmal “Saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengajar erti sebuah penyesalan pada dato aliff ini dengan kita boikot semua produk yang dijual oleh beliau

“Kalau KKmart kita boleh boikot,apa lagi produk dia ni.

“Setiap tahun ulang perkara yang sama,langsung tak ada perasaan sensitiviti pada rakyat di negara ini

“Saya mohon pihak kerajaan untuk menyekat video ini dan tindakan undang2 perlu diambil,yang mana kes pada tahun 2022 pon masih lagi berjalan untuk mamat ni mengenai isu yang sama”.-2/4/2024

pm-rumahxx

PM tak buat majlis sambutan Aidilfitri di Seri Perdana…langkah jimat cermat

“Janganlah bersaing siapa lebih megah… bukan duit kamu pun.” Itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meminta setiap agensi dan kementerian agar tidak bermegah dalam mengadakan majlis sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Serentak dengan itu beliau umum tidak bercadang untuk membuat sebarang majlis sambutan Aidilfitri di kediaman rasminya di Seri Perdana tahun ini.

Katanya sebaliknya beliau hanya mahu mengikuti sambutan anjuran kementerian di negeri-negeri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan harus mengamalkan langkah berjimat cermat, dan beliau mahu supaya tindakan itu dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan yang lain

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu Anwar berkata keputusan kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang diakui sedikit meningkat ketika ini, selain memenuhi keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

“Malam (Ahad) saya fikir (mengenai BKK itu) dan nak tidur pun terganggu. Jadi saya fikir bagi jelah sikit kurang-kurang reda sikit (beban) dan kerja pun semangat. Harap kita belanja dengan cermat dan berhemat.

Anwar mengakui agihan bantuan RM2,000 (Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) kepada penjawat awam bulan lepas, tidak dapat menampung keperluan sedia ada.

“Saya telah jelajah ke Sarawak, Pahang, Perak dan Perlis, saya lihat masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup yang meningkat sedikit,” katanya.

Semalam Anwar mengumumkan BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini, di samping BKK Aidilfitri RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Anwar seterusnya menggesa semua agensi, badan-badan berkanun kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk mengumumkan bantuan sama kepada pekerja mereka.

“Kalau boleh bagilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi sambut Aidilfitri,” katanya.- 3/4/2024

tabunghajixxxx

Dividen Tabung Haji…3.1%

Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa umum agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023.

Kadar dividen berkenaan ialah sama seperti kadar tahun kewangan sebelumnya.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH dan juga setelah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023.- 3/4/2024

enam1

Cakap siapa nak pakai pasal isu pindaan perlembagaan Bersatu…

Berita terbaru yang diterima pada Selasa mengenai pindaan perlembagaan Bersatu ialah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan pindaan berkenaan.

Mengikut salinan surat kelulusan itu yang ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan, Mohd Zulfikar Ahmad ia bertarikh 1 April 2024.

Ketua Armada BersatuKetua Armada parti itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa langkah seterusnya selepas kelulusan ROS adalah mengosongkan enam kerusi parlimen supaya pilihan raya kecil (PRK) dapat diadakan.

Enam kerusi Parlimen Perikatan Nasional dari Bersatu yang dimaksudkannya ialah mereka yang ‘lompat’ umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak keluar parti.

Ahli Parlimen berkenaan ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 2 Mac lalu, Perhimpunan Agong Khas Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi melucutkan keahlian parti bagi wakil rakyat yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti.

Isu yang menjadi persoalan sekarang dari tarikh bilakah pindaan perlembagaan Bersatu itu berkuatkuasa.

Apa yang pasti sekarang ini mana mana Ahli Parlimen dari Bersatu Bersatu yang ‘lompat’ umum sokong Perdana Menteri secara automatik gugur sebagai Ahli Parlimen.

Persoalan ini timbul kerana Ahli Parlimen PN dari Bersatu kawasan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mendakwa pindaan perlembagaan Bersatu yang baru diluluskan tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai ahli parlimen bersama lima rakannya yang lain.

Katanya berdasarkan pekeliling ROS kepada Bersatu, yang dikongsikan oleh Wan Ahmad Fayhsal menunjukkan bahawa pindaan Artikel 10 perlembagaan parti itu hanya berkuatkuasa mulai 1 April.

“ROS kata perlembagaan baru ini berkuat kuasa mulai 1 April .. Kalau tanya saya, komen saya berdasarkan apa yang saya lihat iaitu muka surat pertama notis itu.

“Saya fikir adalah selamat untuk saya katakan, baca dari apa yang ROS katakan, pemahaman orang biasa ialah perlembagaan baru ini hanya berkuat kuasa pada 1 April dan ia bukan retrospektif.

“Jika katakan ROS berkata ia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2023, maka secara automatik kita semua akan terkesan,” kata Suhaili.

Katanya beliau bercadang bertemu lima ahli Parlimen PN lain yang ‘sudah’ lompat’ sepertinya pada minggu ini.

Suhaili berkata beliau akan menunggu surat daripada Bersatu dan keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung kedudukannya.

“Kalau Bersatu ke mahkamah selepas speaker buat keputusan, saya akan lawan mereka…tak kisah sampai bila-bila pun.

“Sekarang ini saya tetap sokong PMX (Anwar),” katanya.

Selain enam Ahli Parlimen Bersatu terdapat seorang ADUN yakni ADUN kawasan Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang ‘ lompat’ menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.- 2/4/2024

kk-mart444xxx

Kejadian ketiga…serangan bom petrol di KK Mart Kuching

Yang pertama di Bidor Perak pada 26 Mac…kedua di Kuantan,Pahang 30 Mac dan kini yang ketiga di Kuching Sarawak.

Kes ketiga ini berlaku di KK Mart di Jalan Satok,Kuching pada 31 Mac.

Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah mengesahkan kejadian itu menerusi satu kenyataan.

“Polis menerima laporan daripada pekerja kedai berusia 25 tahun yang melaporkan bahawa molotov cocktail itu menyebabkan kotak berisi minuman yang diletakkan di lima kaki di hadapan kedai itu terbakar,” katanya.

Menurut Ashmon, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat mendatangkan kerosakan.- 2/4/2024

BERITA SEBELUM INI : Insiden kedua lempar bom petrol di KK Mart…kali ini di Kuantan

Pada awal pagi 26 Mac baru ini ada orang lempar bom petrol pada kedai KK Mart di Bidor,Perak

Namun dalam kejadian 5.34 pagi bom petrol itu tidak terbakar.

Pada jam pagi Sabtu satu lagi kejadian lempar bom petrol berlaku.

Insiden kedua ini berlaku sekitar jam 5 pagi di kedai KK Mart di Sungai Isap, Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pelaku yang tidak dikenali melemparkan bom petrol di hadapan kedai berkenaan.

Serangan itu menyebabkan bahagian hadapan kedai itu terbakar, termasuk beberapa barangan yang diletakkan di situ.

Pekerja yang menyedari serangan berkenaan setelah mendengar bunyi letupan segera memadamkan kebakaran menggunakan pemadam api.

Menurut Wan Mohd Zahari, polis sedang menyiasat di sekitar kawasan untuk mendapatkan bukti dan memeriksa rakaman CCTV dari kedai-kedai berdekatan.

Siasatan awal mendapati pelaku mungkin melemparkan bom dari jauh untuk mengelakkan diri dirakam oleh kamera keselamatan di kedai serbaneka berkenaan.- 30/3/2024

agong-hadiah2

Ini hadiah ada makna…

“Sebagaimana saya tegaskan sebelum ini, my honeymoon is over, now go catch the bees,” itu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menghadiahkan sebekas madu kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ia dimaklumkan di media sosial baginda semasa semasa baginda menerima mengadap Azam Baki di Istana Negara, pada Isnin.

Penganugerahan itu sebagai simbolik kepada titah supaya SPRM memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara yang juga tumpuan utama pemerintahan baginda.

Dalam sesi pertemuan selama hampir 30 minit itu, Sultan Ibrahim turut dipersembahkan antara lain mengenai perkembangan terkini agensi penguatkuasaan itu.

Pada 19 Mac lepas, Sultan Ibrahim bertitah akan melaksanakan cara pemerintahan yang sebenar setelah hampir tempoh bulan madu.

Baginda juga bertitah bahawa baginda “bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri”.

Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama lima tahun dalam upacara di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 31 Januari lalu.- 1/4/2024

ANWAR-RAYA

Bantuan Aidilfitri RM500 pada penjawat awam, RM250 untuk pesara

Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar Jumaat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata turut mendapat bantuan khas itu adalah pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.

“Insya-Allah saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya dalam majlis perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan, walaupun bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 telah disalurkan pada 23 Feb lepas.

Katanya, BKK itu juga mengambil kira keluhan penjawat awam yang ditemui di bazar Ramadan ketika lawatan kerjanya ke Pahang dan Sarawak baru-baru ini.

Anwar berkata sekiranya politik stabil, dasar ekonomi jelas dan pelaburan domestik dan asing bertambah, kerajaan boleh mempertimbangkan penyaluran bantuan lain kepada rakyat.

Turut bersama dalam perhimpunan bulanan itu adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.-Bernama -1/4/2024