kk-lm-ok

Ini bukan ‘silap mata’…

Ini agak lawak sikit…oleh kerana guna warna tema garisan oren dan hijau seperti KK Mart…sebuah kedai runcit L&M Super Mart di Bukit Bintang,Kuala Lumpur juga terkena tempias boikot.

Berlegar dakwaan di media sosial pengurusan KK Mart nak main ‘silap mata’ untuk kelirukan pelanggan dengan menukar logo mereka.

Langkah ini didakwa ekoran kempen boikot anjuran Pemuda Umno terhadap rangkaian kedai serbaneka itu kerana isu stoking tetera kalimah Allah.

Sebaliknya L&M Mart milik L&M Dynamic Enterprise tiada kaitan langsung dengan KK Mart yang dimiliki KK Supermart & Superstore Sdn Bhd

Seorang pelanggan kedai itu mengakui warna tema yang mirip itu boleh cetus kekeliruan.

Apapun menurutnya latar belakang logo L&M berwarna kuning sedangkan KK Mart warna putih.

Seorang kakitangan kedai itu dilapokan kata setakat ini bisnes mereka jalan lancar seperti biasa.

Dalam pada itu turut dilaporkan antara kedai yang terkena tempias kempen boikot ialah kedai KK Fresh Mart di Jitra Kedah.

Sedangkan KK pada kedai itu adalah singkatan kepada perkataan Kuala Kedah.- 28/3/2024

tza-ok

Mengapa Tengku Zafrul beraksi ala James Bond…?

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yakni Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah seorang yang aktif di media sosial khususnya Instagram.

Baru baru ini beliau buat kejutan bila buat pembukaan posting dengan aksi ala James Bond mengenai rangkuman menyertai lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman.

Gayanya seperti babak permulaan setiap siri filem James Bond yang popular itu.

Lokasi Tengku Zafrul aksi bergambar untuk posting berkenaan ialah di Hotel Atlantic di Hamburg yang merupakan tempat mesyuarat utama Perdana Menteri semasa lawatan ke bandar itu.

Kebetulan hotel berkenaan merupakan salah satu lokasi bagi filem James Bond, ‘Tomorrow Never Dies’ yang dibintangi Pierce Brosnan.

Turut bintangi filem tahun 1997 sebagai heroin ialah pemenang Academy Awards for Best Actress dari Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Tengku Zafrul telah membuat posting video untuk menjelaskan mengapa beliau tampil dengan stail yang sempoi itu.

“Baru-baru ini saya buat rangkuman lawatan rasmi PM semasa di Hamburg guna ‘opening’ ala James Bond. Ada yang tanya ini Menteri ke influencer (pempengaruh).

Beliau menjelaskan kelainan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej (yakni program kementerian dan pencapaian pelaburan sebagainya) kepada semua peringkat khususnya golongan muda.

“Mengapa saya buat kelainan dalam video rangkuman dan penerangan? Mengapa tak buat style video macam biasa-biasa je?

“Kalau kita nak pastikan maklumat sampai kepada semua peringkat khususnya kepada golongan muda sekarang, tak boleh bergantung kepada media massa konvensional…”

“Kita gunakan media yang mereka selalu guna, kalau orang muda ada di TikTok, kita pergi ke TikTok, kita buat video yang boleh menarik perhatian mereka, barulah maklumat kita sampai,” katanya.

Posting dengan pembukaan gaya ala James Bond beliau telah mendapat komen komen yang positif.

Antaranya :

Hebat TZA, dare to be different, yg penting keje settle

Terbaik. Myself pun berhenti sekejap at this post.. satu cara nak tarik perhatian and at the same time kongsi info

Buat je.. 1st they mengata and laugh.. Later they copy…

Terbaik… suka cara Tuan bt kelainan.

Innovasi dan kreatif…takde masalah pun…we are waiting for the next video @tzafrul_aziz

anwar-far3xxx

Anwar akan semak dengan Perbendaharan dan keluar kenyataan isu bekas Setiausaha Politiknya, Farhash

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyemak dengan Perbendaharaan mengenai dakwaan terhadap ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung pembelian saham sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion.

Anwar berkata beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan, selepas mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Saya akan semak butiran dengan Perbendaharaan dan keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Ashabus Solihin, Taman Rakan Rabu.

Sebelum ini bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil, meminta polis menyiasat Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar kerana didakwa melalui syarikat pelaburan Rosetta Partners, telah membeli saham syarikat Heitech Padu sebanyak 16.1 juta unit, dianggarkan bernilai RM40 juta.

Terdahulu Anwar meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk sekitar Taman Rakan dan pelajar tahfiz di Masjid Ashabus Solihin, yang turut disertai oleh anaknya Nurul Izzah Anwar.

Perdana Menteri yang tiba pada 6.50 petang dengan berbaju Melayu hijau muda, kemudiannya turut menyertai hadirin menunaikan solat fardhu Maghrib.-BERNAMA-27/3/2024

kk-mart1-polis

Isu stoking kalimah Allah: ‘stand down… sudah-sudahlah’

“Saya nak ambil peluang untuk menasihatkan semua pihak, stand down… sudah-sudahlah”. Itu kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengenai keadaan semasa isu stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata ketika ini keadaan agak panas dan isu stoking yang mengundang kemarahan sesetengah pihak boleh menjadi pemangkit kepada krisis yang lebih buruk.

Bercakap dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak menyumbang apa-apa yang boleh membawa kepada peningkatan ketegangan di dalam negara.

Beliau menyokong cadangan bekas menteri dan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, agar semua pihak “stand down” kerana pelbagai tindakan sudah dan sedang diambil pihak berkuasa.

Semalam Khairy dalam siaran podcast Keluar Sekejap menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan umat Islam yang marah terhadap KK Mart agar menghentikan kecaman mereka terhadap syarikat itu.

Khairy berkata, kemarahan umat Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah telah disuarakan dengan jelas dan tiada keperluan lagi untuk terus melanjutkannya.

“Pertamanya, bagi orang Islam, kita kena berhenti sekejap. Are we going too far (Adakah kita telah melampau)?

“Dan mungkin kita bagi nasihat kepada sahabat kita, Akmal. Anda telah nyatakan pendirian anda. Saya sebenarnya tak salahkan Akmal. Memang tugas dia sebagai ketua pemuda (Umno).

“Tetapi sekarang masanya untuk berhenti. Kita serah kepada pengguna Islam di Malaysia sama ada mereka nak pergi KK Mart atau tidak,” katanya

Mohd Shuhaily kata,”Saya bersetuju apa yang saudara Khairy kupas, pihak kami cukup bimbang ada perkara (yang asalnya) tidak libatkan isu perkauman tapi libatkan dua kaum berbeza, ia boleh dijadikan pemangkin kepada isu ini (perkauman).

“Kami tak nak lihat insiden seperti Kampung Medan berulang, ia hanya memburukkan imej negara,”katanya.

Sementara itu menerusi hantaran di facebook pada Rabu Dr Akmal berkata untuk meredakan keadaan beliau serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan semua pihak yang terlibat sehingga mereka ini didakwa di mahkamah semalam.

“Kita menghormati proses undang2 untuk dilaksanakan mengikut aturannya tetapi pada masa yang sama kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan agar ia memberikan pengajaran yang hebat kepada mereka dan mana2 pihak yang ingin menghina agama Islam pada masa hadapan.

“Kita juga mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KKmart dan ugutan bunuh terhadap saya.”katanya.- 27/3/2024

polis-1

Polis tahan wargaemas yang kata Dr Akmal lebih lebih isu KK Mart satu hari pasti kena tembak mati…

Gara gara suarakan ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana tidak puashati kelantangannya dalam isu stoking kalimah Allah…seorang wargaemas ditahan polis.

Wargaemas berusia 68 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 Selasa di sekitar kawasan Kandang,Melaka selepas menerima satu laporan daripada pengadu yang terdengar kata-kata ugutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar ugutan disuarakan suspek ketika berada di sebuah bengkel kereta miliknya.

“Pada 20 Mac lalu semasa pengadu berada di bengkel kereta itu, suspek telah memberitahu bahawa ‘Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr Akmal Salleh) lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak mati’.

“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki tersebut dan pada pagi tadi pengadu telah tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut sebelum suspek kemudian ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan satu pondok yang didirikan untuk menjalankan kerja membaiki kenderaan.

Menurutnya suspek mengaku memberitahu pengadu ketidakpuasan hatinya terhadap kenyataan yang dikeluarkan Dr Akmal.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Akmal mengenai isu KK Mart.

“Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

Dalam hal yang berkaitan Dr Akmal telah buat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Melaka itu berkata laporan yang dibuat kira-kira 5 petang Selasa adalah bagi melindungi keselamatan diri dan keluarga daripada ancaman.

“Saya fikir ia perkara yang serius untuk saya melindungi keselamatan ahli keluarga, walaupun pada mulanya saya tak nak buat.

“Kita tunggu apa keputusannya selepas ini dan berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan,” katanya kepada media selepas membuat laporan itu.

Dr Akmal berkata meskipun menerima ugutan sebegitu, beliau tidak akan berganjak walaupun seinci dalam isu kalimah Allah pada stoking baru-baru ini.

Beliau berkata perkara itu bukan isu politik dan perkauman, tetapi isu bagaimana umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela agama daripada dihina.

“Walaupun dengan ugutan yang ada ini, saya tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan berkenaan.- 27/3/2024

mokhzani-mirzan-mukhriz-sprm-2

SPRM luluskan permohonan Mokhzani lanjutkan tempoh isytihar harta sebulan lagi…

Asalnya tempoh sebulan dari 25 Januari hingga 25 Februari 2024.Kemudian SPRM bagi kebenaran dilanjutkan tempoh sebulan lagi hingga 25 Mac.

Terbaru SPRM bagi lanjutan tempoh sebulan lagi hingga 25 April kepada Tan Sri Mokhzani Mahathir bagi mengisytihar harta.

Ini bermakna sudah dua kali tokoh koprat anak Tun Dr Mahathir Mohamad diberi lanjutan tempoh.

Pada 26 Januari lalu, SPRM telah menyerahkan satu perintah notis kepada Mokhzani untuk beliau mengisytihar harta di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini SPRM juga telah meluluskan permohonan abang beliau Mirzan untuk lanjutkan tempoh sebulan sehingga 15 April yakni juga lanjutan kali kedua.

Mirzan asalnya diberikan tempoh sebulan antara 15 Januari sehingga 15 Februari untuk berbuat demikian namun memohon untuk melanjutkannya sehingga 15 Mac.

SPRM mengarahkan Mokhzani dan Mirzan untuk mengisytiharkan harta mereka sejak 1981 yakni tahun yang sama Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kedua-duanya memang dikenali sebagai ahli perniagaan dan dikatakan memiliki kekayaan yang besar.

SPRM menyatakan siasatan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan. Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Suruhanjaya itu menyatakan siasatan dimulakan pada Ogos 2022 terhadap semua entiti yang disebut dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki enggan mengulas dakwaan dua anak Dr Mahathir itu pada Bloomberg kononnya bapa mereka adalah sasaran sebenar siasatan SPRM berhubung kewangan mereka.

Ketika dihubungi media, Azam berkata beliau perlu melihat fakta terlebih dahulu berhubung dakwaan terbabit.- 27/4/2024

bom-petrol-kk

Kejadian lontar bom petrol di KK Mart Bidor…Dr Akmal dakwa berdepan ugutan

Ini sudah lain cerita…satu kejadian melontar bom petrol terjadi pada sebuah cawangan kedai KK Mart di Bidor,Perak.

Kejadian berlaku kira kira jam 5 pagi Selasa.

Bagaimanapun bom petrol yang dilontar pada kedai berkenaan terletak di Jalan Bruseh itu tidak meletup.

Juga tiada siapa yang cedera dan pekerja KK Mart berkenaan membuat laporan polis sebaik sahaja insiden itu berlaku.

Seorang pekerja KK Mart itu memberitahu ketika kejadian hanya ada dua pekerja di pasar raya itu dan orang ramai masih belum kelihatan di kawasan sekitar ekoran masih awal pagi.

Katanya kejadian itu disedari oleh rakan sekerjanya yang melihat sebuah kereta berhenti di hadapan pasar raya berkenaan.

Menurutnya sejurus kereta itu berhenti, seorang lelaki dilihat keluar dari tempat duduk penumpang hadapan dan melontar botol sedang terbakar ke arah pasar raya berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada letupan yang berlaku dan hanya botol itu yang masuk ke dalam pasar raya ini dan ia sudah tidak terbakar.

“Pekerja yang menyedari perkara itu terus memaklumkan kepada kedai berhampiran dan mereka melaporkan kepada pihak polis,” katanya.

Rakaman televisyen liter tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencampakkan objek yang sedang terbakar dipercayai molotov cocktail ke arah pasar raya itu.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendakwa menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali pada Selasa.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka itu berkata, dakwaan ugutan bunuh itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang,Jasin pagi tadi.

“Saya terima satu panggilan telefon daripada seorang hamba Allah yang menyatakan bahawa dia risau kerana dia mendengar ada ugutan bunuh terhadap saya, malah dia memaklumkan, ugutan jika Ketua Pemuda UMNO ini terus bercakap mengenai soal (pasar mini) KK Mart ini dia pasti akan ditembak mati satu hari nanti.

“Jadi, hamba Allah ini menunjukkan dia betul-betul serius mengenai ugutan yang didengari ini dan dia pun sudah membuat laporan polis mengenai apa yang dia sendiri dengar.

“Insya-Allah, jam 5.30 petang ini saya juga akan buat laporan polis untuk melindungi saya dan juga keluarga. (Bagaimanapun) jangan risau, saya tidak akan berganjak walau seinci terhadap pendirian (sebelum ini). Saya akan tetap (teguh dengan pendirian) sebab saya percaya dalam Surah Muhammad, ayat tujuh Allah berfirman: “Kalau kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu, malah akan meneguhkan lagi pendirian kamu.”

“Kita ada Allah, Lillahi Taala, insya-Allah saya serahkan (segalanya) kepada Allah dan juga pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya. Jangan mengalah, kekal boikot,” katanya.

Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin lantang menyuarakan bantahan terhadap penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaiannya pada 13 Mac lalu.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO melancarkan kempen boikot KK Mart di seluruh negara.

Berkaitan perkembangan terbaru ini Dr Akmal Saleh mengecam tindakan membaling bom petrol di cawangan KK Mart di Bidor.

Dia berkata tindakan melampau seperti itu tidak boleh diterima.

“Sudah tentu kami mengecam sekerasnya tindakan melampau itu,” katanya.

Akmal bagaimanapun berkata kempen boikotnya terhadap KK Mart akan diteruskan, tetapi menasihati mereka yang memboikot supaya bertenang.- 26/3/2024

Bazaar_Ramadhan

Harga juadah meningkat kerana kos sewa tapak…bukan cukai jualan – PM

Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim berkata kos sewa tapak bazar Ramadan yang terlalu tinggi dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) jadi punca kenaikan harga juadah kali ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan kata ia bukanlah disebabkan oleh kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam kepada lapan peratus.

Menurut beliau peningkatan itu lebih ketara sekiranya peniaga berurusan melalui ejen berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi kita telah beri arahan, kalau kos sewa itu dikendalikan oleh majlis perbandaran, jangan tekan peniaga dalam keadaan sekarang.

“Sebahagian tapak majlis perbandaran itu diberikan kepada ejen-ejen, jadi akhirnya penyewa tidak menyewa secara langsung dari majlis perbandaran. Kos meningkat.

“Saya akui ada impak kecil kenaikan harga, tetapi saya tidak fikir kerana SST yang menyebabkan tingkat naik. Bazar Ramadan tidak ada kena mengena langsung dengan SST,” katanya.

Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa yang bertanyakan sama ada kenaikan SST bermula 1 Mac mengundang rungutan peniaga bazar Ramadan.

Dalam pada itu, Anwar mahu kerajaan sedaya upaya mengurangkan kesan kenaikan cukai berkenaan terhadap rakyat.

Namun Ahli Parlimen Tambun itu mengakui terdapat kesan sampingan kecil yang mesti dikawal.

“Saya setuju kita harus terus pantau tetapi secara khusus perniagaan di bazar Ramadan ini, kebanyakan yang mengeluh ialah kerana kadar sewa tinggi.

“Pada pendapat saya, Majlis-Majlis Bandaran tidak ada sebab mengapa mengenakan sewa yang tinggi kepada bazar Ramadan,” ujarnya.- 26/4/2024

stoking-kk

KK Mart dan pembekal stoking akan berentap di mahkamah…saman RM38 juta

Disebalik pendakwaan dikenakan keatas tauke KK Mart dan pembekal stoking tertera kalimah Allah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi Selasa…ada satu kes lain yang tentu menarik parhatian.

Dalam kes itu KK Mart atau nama penuh syarikat itu KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dilaporkan sudah memfailkan saman terhadap syarikat pembekal stoking tertera kalimah Allah, Xin Jian Chang Sdn Bhd (Xin Jian Chang), dan pengarahnya Soh Chin Huat.

Melalui tindakan undang-undang itu KK Mart membuat tuntutan keseluruhan sekurang-kurangnya RM38 juta

Ini termasuk melibatkan aspek kerosakan jenama dan pembatalan cadangan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Peguam rangkaian kedai serbaneka itu, David Gurupatham, mengesahkan anak saman sivil tersebut difailkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

Dalam tuntutan, KK Mart memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pembekal terbabit telah mengganggu perniagaan mereka secara tidak sah.

Mereka juga mahu mendapatkan perintah agar Xin Jian Chang dan Soh menanggung kerugian tersebut, selain menyerahkan kepada mahkamah menilai kerugian daripada purata pendapatan perniagaan sebanyak RM1.5 juta seminggu.

Tuntutan lain termasuk RM10.5 juta untuk kerosakan pada nama jenama dan nama baik syarikat kedai serbaneka itu di pasaran, dan RM20.3 juta disebabkan pembatalan cadangan penyenaraian di bursa saham.

KK Supermart juga menuntut ganti rugi teruk lain untuk dinilai oleh mahkamah, dan ganti rugi punitif dan teladan.

Dalam pernyataan tuntutannya, KK Mart berkata, pada 5 Feb lalu Xin Jian Chang memohon untuk membekalkan penutup lengan dan ia dipersetujui secara konsainan.

KK Supermart mendakwa di sebalik terdapat keterangan bertulis mengenai penutup lengan itu bersama kod barnya, mereka tidak pernah memberi kebenaran untuk konsainan dengan kod bar itu digunakan untuk paparan atau penjualan stokin kontroversi.

Syarikat itu juga mendakwa Xin Jian Chang telah meletakkan stoking sedemikian tanpa pengetahuan kedai mereka di cawangan Bandar Sunway.- 26/3/2024

strok-habaxx

Pemuda 22 tahun jadi korban strok haba….

KUALA LUMPUR: Satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan berlaku setakat ini membabitkan seorang pemuda berusia 22 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kes kematian itu berlaku di Maran, Pahang pada 2 Februari lalu.

“Kita bersyukur, kita belum berada di tahap ketiga iaitu gelombang haba ekstrem, namun ini boleh berlaku bila-bila masa jika kita lihat bahawa perubahan iklim dan berlakunya penipisan lapisan ozon menyebabkan negara kita tidak terlepas daripada cuaca panas ekstrem.

“Mudah-mudahan kita berusaha dengan cara yang baik termasuk pembenihan awan yang dilakukan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Angkatan Tentera Malaysia di beberapa kawasan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara pada Isnin.

Menjawab celahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai kos pembenihan awan, Ahmad Zahid berkata setiap operasi berkenaan menelan belanja kurang RM100,000 dan ia bergantung kepada keadaan awan dan tiupan angin yang sesuai. – BERNAMA-25/4/2024