FADHLINA-1xx

Isu kafir: Keratan video tular diambil di luar konteks, cubaan calar imej, main isu 3R – Fadhlina

MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek berkata video tular di media sosial berkaitan isu kafir telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau pada Ahad, Fadhlina menyifatkan penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina berkata video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah.

“Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah ‘kafir’ di rumah.

“Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir.

“Saya sebutkan, bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah ‘kafir’ yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim (bukan Muslim) yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta.

“Isu sebutan ‘kafir’ atau ‘non-Muslim‘ bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran,” katanya dalam hantaran itu.

Sebaliknya, Fadhlina berkata ia adalah isu pemilihan panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian, mengambil contoh tokoh ulama Almarhum Prof Dr Sheik Yusuf al-Qaradawi dan bekas rektor Universiti Al-Azhar Prof Dr Ibrahim al-Hudhud yang mengakui penggunaan ‘ghayru Muslim’ (non-Muslim) termasuklah dalam panggilan sosial.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata pada mulanya beliau tidak berhasrat untuk menjawab isu yang tular kerana mereka yang mendengar ucapan itu dapat menilai konteks sebenar yang hendak disampaikan.

Namun, disebabkan sentimen video tular itu telah menimbulkan ancaman keselamatan terhadap beliau dan keluarga, maka beliau tidak boleh berkrompromi.

“Rakan menasihatkan agar laporan polis dibuat atas faktor keselamatan. Kumpulan peguam menyarankan tindakan undang-undang dan sivil kepada mereka terlibat. ⁠Peguam juga sedang mengumpulkan bukti menerusi media sosial. Kelihatan banyak pengguna media sosial telah bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Fadhlina juga memohon maaf jika telah mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan kehilafan dari dirinya.

Semalam, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Atiqah Syairah Shaharuddin membuat laporan polis di Kuching, Sarawak berhubung penularan video tular dan gambar poster Fadhlina itu yang didakwa telah disunting serta bersifat fitnah sehingga menimbulkan reaksi negatif netizen.— BERNAMA-31/3/2024

sprm-tahan

KEMASKINI : Anwar ulas kes 34 anggota kastam di KLIA tidak amanah rugikan negara hampir RM2 billion

Perdana Menteri Anwar Ibrahim buka cerita pasal kes 34 anggota Kastam tidak amanah bersubahat dengan sendiket penyeludupan di bahagian kargo KLIA yang dibongkar SPRM akibatkan kerugian pada negara hampir RM2 bilion

“Orang yang meremehkan isu rasuah lupa yang dalam jabatan kecil kastam, masih boleh menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara,” katanya.

Berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin beliau berkata kerugian dihadapi negara adalah lebih tinggi jika turut mengambil kira ketirisan subsidi dalam minyak masak dan diesel.

“Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak makan (masak) diambil oleh kalangan tertentu, kalau kita kumpul semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan maklumat daripada badan penguatkuasaan, termasuk SPRM, menunjukkan pegawai tinggi dalam kerajaan masih terhindar daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan,” katanya.

Sementara itu menyentuh pasal harga barang Perdana Menteri kata harga seperti ayam, telur dan minyak masak masih rendah dan stabil jika dibandingkan ketika di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata masih ada sesetengah pihak yang menyelar Kerajaan Madani seolah-olah tidak melakukan apa-apa bagi menangani soal kos sara hidup rakyat.

“Jangan lupa sekitar 2021, 2022 harga ayam adalah RM13 (sekilogram) (kg), sekarang jauh lebih rendah ada yang RM9/kg, RM9.50/kg.

“Dia (pembangkang) ingat kita lupa, masa dia jaga (mentadbir kerajaan) (harga) minyak masak lima kg cecah RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam – sampai tiada telur (dalam pasaran). Sekarang Alhamdullillah stabil,” katanya.-1/4/2024

BERITA SEBELUM INI : RM2 billion cukai tiris di bahagian kargo KLIA…

Harapkan pagar…pagar makan padi.Tindak tanduk tidak amanah sebilangan angggota dan pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia di telah menyebabkan bahagian Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ‘bocor’

Mereka yang bersubahat dengan sendiket penyeludupan telah mengakibatkan negara kerugian kutipan cukai mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini, seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Mereka bergiat melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Menurut Azam Baki anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercaya menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan.

“Perkara ini dijangka berlaku begitu lama, ia dikesan sejak 2017 hingga baru-baru ini. Kerugian (kerajaan Malaysia) untuk tempoh tiga tahun kerana sindiket ini adalah RM1.5 bilion hingga RM2 bilion iaitu kutipan cukai tiris,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Ops Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.

Azam berkata SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sejumlah 232 akaun bank milik syarikat dan individu ditahan termasuk akaun keldai berjumlah lebih RM17 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.

“Transaksi (rasuah) dikesan babitkan 34 penjawat awam ini adalah penyaluran iaitu masuk akaun peribadi menggunakan keldai akaun,” katanya menambah, proses analisis akaun akan dibuat LHDN, BNM dan SPRM.

Ditanya modus operandi sindiket ini, beliau berkata sindiket itu menggunakan perkhidmatan ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan.

“Ini bagi melicinkan proses penyeludupan barangan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya,” katanya.

Azam berkata sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi dalam, kegiatan pelacuran dan juga melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

“Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ dikesan diwujudkan melibatkan pelbagai jenis perniagaan untuk kelirukan pihak berkuasa terutama LHDN,” katanya.

Beliau berkata SPRM ketika ini memfokuskan usaha membanteras kegiatan rasuah membabitkan anggota penguat kuasa kerana ia memberikan kerugian buat negara.

“Walaupun dah beberapa tahun lepas kegiatan rasuah berlaku, jangan ingat mereka terlepas… ini amaran kepada pihak penguat kuasa,” katanya.- 29/3/2024

hujan

Hujan…fasa peralihan monsun telah bermula

KualaLumpur – Orang ramai berpayung ketika meredah hujan lebat untuk membeli juadah berbuka puasa di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Keadaan hujan itu menandakan fasa peralihan monsun telah bermula iaitu dari 29 Mac dan berterusan sehingga Mei 2024.

Fasa tersebut akan menyaksikan negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.- Hafiz Sohaimi | BERNAMA

pistol2xx

Pasangan suami isteri tempatan ditahan bekal senjata kepada lelaki Israel

Siapakah yang bekal enam pistol kepada lelaki Israel yang ditahan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur Rabu lalu?

Soalan penting itu dipercayai terjawab bila polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, jam 7.15 Jumaat malam.

Pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebaik ditahan polis membawa suspek ke kediaman mereka, juga di Kuala Selangor.

Di situ ditemui sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz milik mereka.

Pasangan itu dipercayai membeli senjata itu dari Thailand sebelum diserahkan kepada lelaki Israel berkenaan.

Enam pistol yang mereka bekal kepadanya termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru.

Semua senjata berkenaan ditemui di bilik hotel lelaki Israel itu menginap di Jalan Ampang.

Sumber kata pasangan suami isteri itu akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Selain itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Pada Jumaat malam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain beritahu wartawan mengenai penahanan warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.

Semasa soslsiasat lelaki yang guna paspot Peranchis semasa tiba di KLIA mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga.

Namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.- 30/3/2024

anwar-kk-ok

Isu KK Mart: PM ingatkan jangan ambil tindakan sendiri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri susulan insiden melempar bola api ke kedai serbaneka KK Mart Sungai Isap di Kuantan pada 5 pagi tadi.

Beliau berkata sebaliknya orang awam perlu menghormati dan mematuhi proses perundangan jika terdapat sebarang salah laku.

“Kita akan bertindak terhadap orang yang melakukan tindakan (lempar bola api itu) terutama yang melibatkan keganasan.

“Negara ini negara aman. Jangan guna isu kaum atau agama untuk memporak-perandakan (negara). Saya juga telah beritahu pihak polis supaya tidak bertolak ansur sama sekali dalam perkara ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak 2024 di Kota Samarahan pada Sabtu.

Insiden di KK Mart Sungai Isap telah menyebabkan kebakaran kecil di hadapan pintu masuk kedai serbaneka itu.

Sebelum ini cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak turut mengalami nasib serupa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata polis akan mengerah seluruh kekuatan bagi mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di Malaysia susulan insiden tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Sarawak, Perdana Menteri berkata segala isu berbangkit boleh dibincang dengan baik.

“Pendaftaran PADU di Sarawak baik, perbincangan juga baik. Terdapat beberapa kebimbangan yang kita terima dan kita akan tangani dengan baik, semua isu boleh dibincangkan dengan baik,” kata beliau.-Bernama-30/3/2024

polis-1

Polis tahan lelaki Israel yang mengaku datang ke Malaysia bagi mencari seseorang untuk dibunuh

Seorang warganegara Israel yang mengaku datang ke Malaysia untuk cari seseorang untuk dibunuh ditahan bersama enam pucuk pistol.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu lelaki yang mengunakan paspot Peranchis itu masuk ke negara ini pada 12 Mac lalu melaui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bukit Aman telah merampas enam pucuk senjata api di dalam beg di bilik hotel,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Enam senjata api itu adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

“Siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

“Kita sedang menyiasat bagaimana senjata itu dibawa masuk ke negara ini dan siapa yang menyeludupnya, kita pun nak tahu siapa penerima pembayaran itu,” katanya.

“Dia tiba di Malaysia baru dia membeli (senjata). Penerbangan dia melalui Emeriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia,” katanya.

Hasil soal siasat, katanya suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Kata beliau polis percaya suspek tidak bergerak solo dan mungkin mempunyai rangkaian dengan individu tertentu yang masih dikenal pasti.

Beliau memberitahu lelaki itu juga dipercayai berpindah randah dan telah duduk di dua atau tiga hotel berlainan sebelum diberkas.

“Pada mulanya kita mendapat maklumat awam pergerakannya yang meragukan sebelum kita mengekori dan menahan suspek,” katanya.

“Apa yang membimbangkan di sini, isu di Palestin dan Israel.

“Kita juga waspada terutama keselamatan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai, orang kenamaan yang kita perlu ambil kira.

“Mungkin dia ada agenda yang lain yang dia datang sini bermula 12hb sehingga tertangkap,” kata Razarudin.

Ketika ditanya jika individu ditahan itu perisik Israel, Razarudin berkata siasatan pihaknya juga turut mengambil kira aspek berkenaan.

“Kita siasat ke arah itu,” katanya.

Suspek kini direman bermula semalam hingga 31 Mac ini dan beliau tidak menolak kemungkinan reman ke atas suspek akan disambung sekiranya ada keperluan untuk menyelesaikan siasatan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah pertama, mengikut Akta Pasport (1966) dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu menyeludup (berdagang) senjata api yang boleh membawa hukuman gantung”,katanya.- 29/3/2024

isa12-xxx

Beli kondo mewah: Mahkamah perintah Isa Samad, bekas CEO bayar FGV RM3.31 juta

Mahkamah Tinggi pada Jumaat memerintahkan bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah membayar lebih RM3.31 juta kepada syarikat itu berhubung pembelian dua unit kondominium mewah di ibu negara.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan FGV terhadap Mohd Isa dan Mohd Emir Mavani pada 2018 untuk menuntut ganti rugi RM7.69 juta membabitkan pembelian kondominium di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa melebihi harga pasaran.

Mahkamah berpendapat bahawa defendan secara salah menggunakan dan membaik pulih unit kerana ia tidak dilakukan mengikut prosedur syarikat.

“Mereka juga telah meletakkan kepentingan mereka dalam konflik dengan syarikat dan tidak bertindak demi kepentingan terbaik plaintif.

“Defendan kedua (Mohd Emir) juga telah melanggar tugasnya dengan menyalahgunakan sistem carpool dan kad petrol. Jadi, defendan harus bertanyggungjawab dan perlu membayar ganti rugi,” katanya.

Hakim Mohd Arief bagaimanapun menjelaskan bahawa kedua-dua defendan tidak melanggar tugas dalam pembelian unit kerana ia dilakukan mengikut resolusi Lembaga.

Beliau berkata FGV tidak mengalami sebarang kerugian berhubung pembelian unit Troika kerana ia masih dimiliki oleh syarikat.

Mahkamah memerintahkan Mohd Isa membayar RM990,502 kepada FGV termasuk RM300,000 ganti rugi teladan dan RM200,000 sebagai kos manakala Mohd Emir membayar RM2,328,705.86 termasuk RM500,000 sebagai ganti rugi teladan dan kos RM200,000.

Hakim Mohd Arief berkata ganti rugi teladan sedemikian dikenakan memandangkan kedudukan kedua-dua mereka dalam syarikat.

Keputusan itu dibuat menerusi prosiding yang dikendalikan secara aplikasi Zoom dengan dihadiri peguam Andrew Chiew Ean Vooi mewakili FGV, manakala Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan mewakili Mohd Isa, Vincent Lawrance dan Abdul Rahim Abdul Rahim mewakili Mohd Emir.- Bernama – 29/3/2024

najib-penxx

Ketua Pengarah Penjara jawab dakwaan Najib terima layanan ‘sangat istimewa’ ….

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhammad menafikan dakwaan wujudnya unsur layan istimewa pada individu tertentu dalam penjara.

Ini sebagai menjawab dakwaan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima layanan ‘sangat’ istimewa di Penjara Kajang ketika ini.

Pada 23 Ogos 2022 Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Wan Ji dipenjara selama sembilan bulan di Penjara Kajang sejak tahun lalu selepas gagal dalam rayuannya berhubung sabitan kes menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, 11 tahun lalu dibebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu.

Namun dia telah keluar penjara sejak 1 Januari lalu melalui Program Pembebasan Banduan secara Berlesen (PBSL).

Wan Ji mengakui bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu sememangnya ditempatkan di Penjara Kajang.

Wan Ji dipetik portal Malaysiakini pada 25 Mac mendakwa Najib menerima layanan yang ‘sangat istimewa’ berbeza dengan banduan-banduan lain.

“Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.

“Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan.

“Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat,” katanya.

Wan Ji turut memberitahu bahawa Najib juga ditempatkan di “blok istimewa” sekaligus menolak spekulasi bahawa Najib sebenarnya tidak menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Nordin menjelaskan, semua banduan diuruskan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sesiapa sahaja yang menerima hukuman dilayan sama mengikut peraturan ditetapkan.

“Ini termasuklah kepada Najib yang sedang menerima hukuman di Penjara Kajang, beliau tetap tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995,” katanya.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pegawai penjara yang memberi layanan istimewa kepada seseorang banduan.

“Melanggar peraturan ditetapkan adalah perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, sekiranya dikesan wujud perbuatan sedemikian, maka tindakan segera diambil.

“Soal ini kami di pihak penjara sama sekali tidak akan berkompromi, asas undang-undang kami sentiasa junjung tinggi,” katanya.- 29/3/2024

asb-yes

ASB 2 agih pendapatan 5.25 sen seunit, ASM 4.75 sen

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah pembayaran pengagihan sebanyak RM670 juta itu bakal memanfaatkan 552,297 pemegang unit.

Pengurus dana itu juga mengumumkan pengagihan pendapatan 4.75 sen bernilai RM1.33 bilion untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024, yang bakal memanfaatkan 699,807 pemegang unit.

Menurut PNB, sehingga 25 Mac, 2024, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta manakala ASM sebanyak RM1.42 bilion.

“Kedua-dua dana memperoleh pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik dan antarabangsa dalam persekitaran inflasi yang tidak menentu serta kebimbangan terhadap peningkatan kemelesetan ekonomi.

“Kedua-dua dana juga menjana hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil,” katanya.

PNB berkata pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.25 peratus dan 4.75 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras deposit tetap 12-Bulan Maybank pada 2.84 peratus sebanyak 241 mata asas bagi ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2024,” katanya.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan semula urus niaga di portal myASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 April 2024.- Bernama-28/3/2024

tol1x

Tol percuma pada 8, 9 April sempena Aidilfitri

Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April kepada semua pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian) yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Dia berkata pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 April (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.

“Keputusan ini adalah melalui mesyuarat jemaah menteri pada 7 Feb lepas bertujuan meraikan kesemua rakyat terutama masyarakat beragama Islam yang menyambut Aidilfitri dan sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia.

“Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini juga, jumlah kenderaan dijangka meningkat 2.46 juta sehari di kesemua jaringan lebuh raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (arah Selatan) di Seremban, Khamis.

Dalam pada itu Nanta berkata bagi pengguna lebuh raya Utara Selatan (Plus), mereka digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi digital MyPLUS-TTA.

Dia berkata menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian.

Katanya lagi, bagi mengurangkan kesesakan semasa Aidilfitri ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya Plus yang telah dikenal pasti berlaku kesesakan kritikal bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar.

Menurutnya bilangan ini termasuk tiga lokasi baru berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan Smart Lane semasa perayaan Tahun Baharu Cinam Februari lepas.

Jelasnya, pemasangan papan tanda peringatan pengaktifan Smart Lane dibuat di setiap sela 500 meter dan papan tanda amaran 200 meter sebelum ia bermula dan berakhir, selain pemasangan lampu indikasi smart lane (blinking light) setiap satu kilometer.

“Selain itu, paparan Mesej Elektronik (VMS) mudah alih turut dibuat untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/penamatan operasi Smart Lane…Ia hanya diaktifkan pada waktu puncak sekali gus meringankan beban pengguna,” katanya.

Nanta turut mengingatkan pengguna motosikal supaya berwaspada ketika menggunakan lorong kecemasan berikutan kemungkinan mereka tidak menyedari lorong itu telah diaktifkan Smart Lane dan ada kenderaan lain turut menggunakan laluan itu.

Sementara itu, dia berkata dari 1 hingga 17 April ini, mana-mana lorong di lebuh raya tidak boleh ditutup untuk kerja penyelenggaraan bagi melancarkan aliran lalu lintas dan mengelakkan kesesakan sekali gus memudahkan pengguna lebuh raya.

“Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaran yang tidak melibatkan penutupan lorong boleh dilakukan kecuali ada kecemasan atau kemalangan, memang kita terpaksa tutup lorong…Pada masa sama, Plus turut menyediakan 11 lokasi yang ada Emergency Response Team (ERT),” katanya.

-Bernama-28/3/2024