vape1

Menteri Kesihatan mesti rangka peraturan kawal selia kandongan vape

Kerajaan mesti memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia kandungan vape. Sekarang ini tiada apa-apa peraturan yang dikenakan untuk mengawal bahan-bahan yang dicampur dalam cecair vape dan kita tidak tahu jika bahan merbahaya juga digunakan.

Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Tidak ada sebab kenapa kerajaan tidak mahu memperkenalkan peraturan ini.
Untuk itu, hari ini saya telah menghantar satu surat kepada Menteri Kesihatan dan surat yang sama disalinkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan di Parlimen.

Dalam surat tersebut, saya mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan merujuk kepada piawaian di negara-negara yang telah memperkenalkan peraturan berkaitan vape sebelum ini.

Contohnya, ada negara yang telahpun menguatkuasakan peraturan untuk mengawal bahan-bahan yang terkandung dalam cecair vape, kandungan nikotin, dan kepekatan cecair vape. Dalam Kesatuan Eropah, setiap kartrij hanya dibenarkan mengandungi 2 ml cecair vape, manakala kandungan nikotin pula mestilah tidak lebih dari 20 mg per ml. Negara kita tidak mempunyai peraturan seperti ini dan peraturan tersebut mesti diperkenalkan segera.

Saya banyak dihubungi oleh pelbagai pihak yang menyatakan persetujuan mereka terhadap pandangan saya bahawa negara perlu mempunyai peraturan yang jelas mengenai vape. Mereka terdiri dari ibu bapa, guru-guru, pengusaha vape, dan juga NGO, baik dari kawasan saya di Tasek Gelugor mahupun dari kawasan lain.

Amat penting kandungan vape dikawal selia supaya kita dapat memastikan bahawa bahan-bahan yang digunakan adalah selamat dan tidak memudaratkan.

YB Datuk Wan Saiful Wan Jan
Ahli Parlimen Tasek Gelugor
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

13 Februari 2024

agong-j1

Agong berkenan nikmati santapan minum petang bersama PM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Selasa berkenan meluangkan masa menikmati santapan minum petang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.

Seri Paduka Baginda terdahulu berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara.

Menurut hantaran di Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda kemudiannya memandu sendiri, dari Istana Negara bersama perdana menteri, ke Restoran Paul di Pavilion Kuala Lumpur.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda bersama Anwar juga meluangkan masa menyaksikan persembahan tarian singa. – BERNAMA-13/2/2024

bersatu-1-1

Bersatu kapal yang makin tenggelam

Dalam perbincangan cytro Bersatu yang turut disertai oleh Raja Petra Kamaruddin tahun lalu, RPK buat dakwaan pedas kepada Muhyiddin.

Dalam perbincangan di talian itu RPK mendakwa, Muhyiddin “failure because, he is surrounded by stupid peoples”. Siapa? Azmin, Radzi Jidin, Wan Saiful, Peja atau Hamzah?

Katanya lagi “you buy peanut you get monkeys”. Sudah setahun parti Bersatu belum berani jawab. Cyber-trooper Bersatu lagi kecut.

Rasanya dakwaan RPK itu tidak tepat. Mereka tidak “stupid” tetapi “over pandai”. Bersatu tenggelam oleh keyakinan palsu.

Ahli Bersatu penat menunggu buah yang tidak gugur. Tiada jawatan ketua kampung, ahli majlis, board GLC atau agensi.

Bersatu adalah kapal yang semakin tenggelam tanpa ihsan PAS. Lebih baik tinggalkan segera kapal dan kaptennya yang hilang halatuju.

Datuk Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno

johormb

MB Johor umum penstrukturan semula portfolio Exco 2024-2027

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bagi2024-2027, dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Aznan Tamin sebagai muka baharu barisan pentadbiran negeri itu.

Onn Hafiz berkata, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan dan penstrukturan semula itu serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Selasa.

Beliau berkata Aznan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor yang baharu menggantikan ADUN Johor Lama Norlizah Noh.

‘Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu negeri Johor ke arah yang lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Onn Hafiz yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor, menambah Pelancongan dalam portfolio beliau.

Berikut senarai Exco dan portfolio masing-masing:

1.Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) – Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor

  1. Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor
  2. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor
  3. K. Raven Kumar (ADUN Tenggaroh) – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor
  4. Khairin – Nisa Ismail @ Md On (ADUN Serom) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor

6.Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin) – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor

  1. Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah) – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor
  2. Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng) – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor
  3. Lee Ting Han (ADUN Paloh) – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor
  4. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir) – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor
  5. Aznan Tamin (ADUN Tanjung Surat) Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor- BERNAMA – 13/2/2024
zahid drmxxx

Perbicaraan kes ‘Kutty’ Dr Mahathir VS Zahid tangguh ke 19 Julai

Ingat balik…kes isu Kutty dimana Tun Dr Mahathir Mohamad saman Datuk Seri Zahid Hamid atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang telah menjejaskan reputasinya.

Hari ini Selasa sekali lagi perbicaraan kes itu yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hingga 16 Februari terpaksa ditangguhkan.

Kali pertama ia ditangguhkan pada Ssptember tahun lalu.

Pada hari ini ia ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani rawatan di Institiut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Oktober ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu susulan permohonan peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi yang memberitahu bahawa anak guamnya tidak sihat.

Mior Nor Haidir memaklumkan Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lepas dan pihak IJN menghantar surat kepada mahkamah memaklumkan anak guamnya tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini.

“Anak guam kami diberi sijil cuti sakit oleh IJN dari 26 Januari hingga 18 Februari ini. Kami mohon supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan,” kata Mior Nor Haidir yang turut dibantu peguam Rafique Rashid Ali.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Zahid mencadangkan perbicaraan kes itu bermula Oktober.

Sementara itu, Mior Nor Haidir memaklumkan kepada mahkamah pihak plaintif mengemukakan dua saksi iaitu Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.

Mohamed Shahrul Fazli pula berkata timbalan Perdana Menteri itu dan seorang lagi saksi sepina akan memberi keterangan pada perbicaraan nanti.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Tun Dr Mahathir mendakwa Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dalam ucapan di majlis UMNO itu Zahid merujuk Dr Mahathir sebagai ‘anak kepada Iskandar Kutty’.

Dr Mahathir dalam samannya dakwa kenyataan Zahid adalah palsu dan fitnah bertujuan merosak status beliau sebagai seorang negarawan dan tokoh politik.

Zahid kemudian dalam kenyataan belanya telah nafi dakwaan itu dan menjelaskan beliau cuma merujuk kepada seseorang individu berasaskan salinan kad pengenalan lama.- 13/2/2024

bayar-cukaixx

Kutipan cukai Malaysia antara paling rendah di rantau ini

MALAYSIA merupakan antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata Malaysia tertinggal di belakang Singapura serta Thailand dan sedang berusaha untuk mengejar. Kedua-duanya menggunakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) termasuk Nilai Tambah (VAT).

“Kita sebenarnya jauh tertinggal disebabkan negara jiran menggunapakai GST dan baru-baru ini misalnya Singapura telah meningkatkan kadar cukai, jadi, kutipan cukai kita masih jauh lebih rendah.

“Semasa mengenakan GST dahulu, Malaysia mengutip sehingga RM40 bilion, sekarang dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kita hanya kutip kurang daripada RM30 bilion dan hasil daripada sektor perkhidmatan tidak sampai separuh,” katanya kepada Bernama.

Barjoyai berkata secara keseluruhan, kutipan SST hanya menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah kutipan cukai.

Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia, Raja Kumaran berkongsi pandangan yang sama, sambil menyatakan bahawa kerajaan tidak akan dapat mengembangkan sumbangan cukainya kepada KDNK jika sistem cukai tidak meliputi rantaian bekalan sepenuhnya.

Baca artikel lain: Selangor teruskan pengecualian cukai pemilik kediaman kampung pendapatan sederhana

Raja berkata dengan menaikkan kadar SST mulai 1 Mac 2024 kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus, Kementerian Kewangan telah menganggarkan tambahan RM3 bilion hasil pada tahun depan.

Kadar baharu ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta serta logistik, tetapi skop perkhidmatan bercukai telah diperluaskan merangkumi pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2024 pada tahun lepas.

Beliau mencadangkan agar Malaysia mengenakan cukai ke atas perkhidmatan kesihatan, pendidikan swasta, penyewaan hartanah komersil dan infrastruktur bagi meluaskan skop cukai, sekali gus meningkatkan pendapatan negara.

“Saya fikir kita bergerak lebih ke arah cukai penggunaan yang boleh dipercayai dan kita berharap apabila ekonomi bergerak naik, sumbangan cukai tidak langsung akan bertambah tetapi untuk mempunyai sistem pengagihan cukai yang baik, kita perlu mempunyai infrastruktur yang berkesan, penguatkuasaan yang wajar dan komunikasi yang jelas termasuk ketelusan kepada pelabur,” katanya.

Secara keseluruhan, kerajaan persekutuan mengunjurkan kutipan hasil pada 2024 menokok 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.

–BERNAMA-12/2/2024

taib888

Lagi kisah Taib Mahmud….

Siasatan kes bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari wad ICU sebuah hospital swasta di Kuching pada minggu lalu menjurus kepada perbuatan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan beliau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain kata siasatan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan itu bukan atas insiden beliau dilarikan.

Laporan polis yang tersebar dan mendakwa Taib Mahmud telah dibawa keluar dari sebuah hospital adalah laporan yang sahih.

Beliau bagaimanapun tidak sebut siapa yang buat laporan polis itu.

Laporan awal media mengenai insiden yang berlaku pada Sabtu malam minggu lalu sebut laporan polis dibuat oleh anggota keluarga Taib Mahmud.

Razarudin kata kertas siasatan kes telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak pada Jumaat dan masih menunggu arahan lanjut.

“Tiada istilah dilarikan kerana yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas TYT berkenaan,” katanya.

Razarudin juga mengesahkan Taib Mahmud kini berada di ibu negara dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.

Kisah Taib Mahmud heboh sikit baru baru ini bila tersebar dakwaan beliau ‘diculik’ yakni dibawa keluar dari wad ICU sebuah hospital swasta di Kuching tanpa kebenaran doktor.

Seorang ahli keluarga terdekat dikatakan telah mengeluarkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Taib Mahmud tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Beliau kemudian diletakkan di atas sebuah kerusi roda dan diusung keluar dari hospital dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.

Kemudian isterinya isteri Taib Mahmud iaitu Toh Puan Ragad Kurdi telah menafikan beliau membawa keluar suaminya tanpa kebenaran doktor.

Menerusi laman instragram beliau kata,’ itu tidak benar.’

Sebagai bukti Ragad tunjuk nota perubatan yang didakwa ditulis oleh seorang jururawat.

Menurut nota yang dikongsi Raghad, pada jam 1.40 tengah hari Sabtu, doktor dimaklumkan yang Raghad ingin membawa Taib Mahmud pulang dan seorang doktor mengambil maklum permintaan itu.

Kemudian pada pukul 1.45 tengah hari, seorang doktor berkata infusi perlu dilakukan sebelum Taib Mahmud dibawa keluar.

Ragad yang dilahirkan di Syria mendirikan rumah tangga dengan Taib Mahmud di usia 30 tahun pada 18 Disember 2010.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kali kedua Taib Mahmud selepas isteri pertamanya, Laila Taib meninggal dunia pada 2009.

Sudah menjadi rahsia umum hubungan Ragad dengan kalangan anggota keluarga Taib Mahmud ada masalah.

Tahun lalu, seorang anak Taib Mahmud, Sulaiman Abdul Rahman memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang saham sebuah syarikat dipindah milik kepada Raghad.

Taib Mahmud yang berusia 87 kebelakangan ini dikatakan kurang sihat.Sebelum jadi Yang Dipertua Negeri beliau adalah Ketua Menteri Sarawak.

Bekas Speakar Dewan Negara Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah dilantik sebagai yang Dipertua Negeri yang baru ganti Taib Mahmud.- 11/2/2024



KEMASKINI : Mengarut, kata KPN jawab dakwaan Taib Mahmud diculik

ADA yang tidak beres dengan hu ha membabitkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud tapi laporan beliau diculik dari hospital mengarut, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, polis telah menjalankan siasatan selepas menerima pelbagai laporan, termasuk daripada anak Taib dan peguam, mendakwa beliau diculik.

“Beliau dibawa keluar dari hospital ke kediamannya. Adakah beliau diculik atau dilarikan? (Dakwaan ini) tentunya tidak masuk akal.

“Anak-anak dan adik beradik bebas melawat di kediamannya, yang mana ada keberadaan doktor dan jururawat,” katanya kepada media selepas meluncurkan Op Selamat 2024 sempena Tahun Baharu Cina.

Razarudin berkata, dakwaan sebelum ini datang dari maklumat tidak tepat dan tidak disahkan disebarkan melalui media sosial seperti WhatsApp.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, memberitahu media Taib berada di kediamannya di Kuching bersama isteri, Raghad Kurdi Taib.

Sebelum ini, tersebar laporan polis di media sosial, mendakwa Raghad membawa keluar Taib dari hospital swasta dengan mengetepikan nasihat perubatan. Beliau kemudian menafikan perkara itu.

Mancha berkata, polis menerima lapan laporan polis terhadap Raghad.-2/7/2024

Taib Mahmud ‘dibawa lari’ dari wad ICU hospital…isteri nafi

Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Taib Mahmud didakwa telah ‘dibawa lari’ oleh seorang anggota keluarga terdekat ketika menjalani rawatan di wad ICU sebuah hospital swasta di Kuching.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Sabtu malam lalu dan beliau dibawa keluar tanpa kebenaran doktor.

Seorang ahli keluarga terdekat dikatakan telah mengeluarkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Taib Mahmud tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Beliau kemudian diletakkan di atas sebuah kerusi roda dan diusung keluar dari hospital dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.

Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata dalam satu kenyataan memaklumkan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

“Tindakan menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iatu kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya.

Taib Mahmud yang berusia 87 kebelakangan ini dikatakan kurang sihat.Sebelum jadi Yang Dipertua Negeri beliau adalah Ketua Menteri Sarawak.

Bekas Speakar Dewan Negara Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah dilantik sebagai yang Dipertua Negeri yang baru ganti Taib Mahmud.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan isteri Taib Mahmud iaitu Toh Puan Ragad Kurdi telah menafikan beliau membawa keluar suaminya
tanpa kebenaran doktor.

Menerusi laman instragram beliau kata,’ itu tidak benar.

Sebagai bukti Ragad tunjuk nota perubatan yang didakwa ditulis oleh seorang jururawat.

Menurut nota yang dikongsi Raghad, pada jam 1.40 tengah hari Sabtu, doktor dimaklumkan yang Raghad ingin membawa Taib Mahmud pulang dan seorang doktor mengambil maklum permintaan itu.

Kemudian pada pukul 1.45 tengah hari, seorang doktor berkata infusi perlu dilakukan sebelum Taib Mahmud dibawa keluar.

Pada pukul dua petang, nota tersebut mencatatkan vital Taib Mahmud ketika itu, dan mengakhiri nota itu dengan catatan “awaiting to discharge (menunggu untuk dikeluarkan)”.

Ragad yang dilahirkan di Syria mendirikan rumah tangga dengan Taib Mahmud di usia 30 tahun pada 18 Disember 2010.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kali kedua Taib Mahmud selepas isteri pertamanya, Laila Taib meninggal dunia pada 2009.

Sudah menjadi rahsia umum hubungan Ragad dengan kalangan anggota keluarga Taib Mahmud ada masalah.

Tahun lalu, seorang anak Taib Mahmud, Sulaiman Abdul Rahman memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang saham sebuah syarikat dipindah milik kepada Raghad.- 5/2/2024

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), 10 Februari, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may r

PM di rumah terbuka MCA….

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, Jalan Ampang pagi Sabtu bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan pimpinan parti itu menyambut kedatangan beliau.

Hadir sama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Luar Datuk Mohamed Hasan.

Anwar kemudian memenuhi undangan rumah terbuka Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Beliau berharap sambutan pada tahun ini dapat menyemarakkan lagi kasih sayang antara semua kaum di negara ini.

“Hidupkan nilai kebersamaan dan hidup berdamping kerana itu adalah resam negara yang berukun dan hidup aman damai menghormati antara satu sama lain,” katanya.- 10/2/2024

Tengku-Maimun-ok

Mahkamah Syariah, Undang-Undang Islam tidak akan terkubur – Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA – Kes dua wanita Islam yang mencabar isu perlembagaan bagi membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel sembilan anggota Mahkamah Persekutuan hari ini berkata, isu yang perlu diputuskan adalah sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes ini,” kata beliau ketika membacakan penghakiman dalam kes itu.

Menerusi keputusan majoriti 8-1, Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah enakmen itu adalah batal dan tidak sah.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Tengku Maimun berkata, jika ada pihak mencabar undang-undang digubal oleh Badan Perundangan Negeri yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah atas alasan ia tidak memiliki kuasa untuk berbuat demikian dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran itu, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah kerana undang-undang yang dicabar bukanlah sesuatu yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, sebaliknya oleh Badan Perundangan Negeri.

Beliau berkata, jika isu pencabaran undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan negeri atau badan perundangan negeri dilihat dari sudut ini maka tidak timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Maka melihat kepada cabaran ini sahaja, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.

“Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia.

“Dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan, yang mengikut hujahan pempetisyen telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tengku Maimum berkata, terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir.

Beliau berkata, hudud adalah hukuman yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah, manakala qisas ialah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan.

“Seperti hudud, qisas juga ditentukan oleh Allah. Perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa. Diyat yang bermaksud pampasan atau ganti rugi adalah sebahagian daripada hukuman qisas.

“Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan/pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim,” katanya.

Tengku Maimum berkata, setakat hari ini, Mahkamah Syariah di Malaysia tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas tetapi hanya takzir, sama seperti Mahkamah Sivil.

Beliau berkata, justeru, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem melaksanakan hukuman takzir.

Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksana oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri, manakala hukuman takzir yang dilaksana oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan dan diluluskan oleh Parlimen.

“Ingin juga dinyatakan bahawa hukuman takzir Mahkamah Syariah adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang setakat hari ini mengehadkan hukuman penjara kepada tempoh tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5, 000 dan sebat tidak melebihi enam kali,” katanya. – BERNAMA-9/2/2024